Reviu PRN Johor 2026: MUDA Dan PSM, Blok Progresif Yang Semakin Regresif

PRN Johor 2026 sepatutnya menjadi pentas untuk MUDA (dan tidak lupa PSM) membuktikan bahawa parti itu masih relevan selepas beberapa tahun hidup sebagai “suara anak muda” yang semakin lama semakin kabur bunyinya. Namun keputusan pilihan raya kali ini bukan sekadar tamparan. Ia lebih kepada hukuman bahawa politik tidak boleh hidup lama hanya dengan slogan yang menarik, poster media sosial yang kemas atau semangat berontak anak muda tanpa kekuatan akar umbi sebenar.

PRN Johor 2026 berkesudahan dengan Barisan Nasional (BN) menang di 48 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh lapan kerusi. Dalam lanskap politik sebesar itu, MUDA yang bertanding empat kerusi gagal menang satu pun, hanya mengumpul 10,236 undi atau sekitar 0.5% undi popular keseluruhan. Sekutunya PSM pula bertanding satu kerusi dan memperoleh hanya 964 undi, iaitu sekitar 0.1%. Gabungan MUDA-PSM atau “Blok Progresif” secara keseluruhan hanya mengutip 11,200 undi, bersamaan kira-kira 0.60% undi popular.

Dalam bahasa mudah, blok ini bukan sahaja gagal mencipta gelombang, malah hampir tidak meninggalkan riak.

Lebih pedih, kesemua empat calon MUDA dan calon tunggal PSM juga hilang desposit apabila gagal mendapat satu perlapan dari keseluruhan undi dalam kawasan bertanding.. Ini bukan sekadar kalah. Ini kalah dalam bentuk yang paling teruk. Kalau sebelum ini MUDA boleh berkata mereka parti kecil yang sedang membina kekuatan, keputusan PRN Johor kali ini menunjukkan binaan itu sebenarnya sedang roboh tanpa disedari.

Kerusi Puteri Wangsa yang dibanggakan MUDA selama ini menjadi simbol paling jelas kepada kemerosotan ini. Pada 2022, kerusi itu menjadi bukti kekuatan MUDA melalui kemenangan Amira Aisya. Namun pada 2026, kerusi tersebut berpindah kepada PH melalui Maszlee Malik. Dengan kata lain, kerusi tunggal yang pernah didakwa sebagai bukti bahawa MUDA boleh menang kini turut terlepas daripada genggaman mereka. Ia sebenarnya mendedahkan pekung sebenar iaitu pada PRN Johor 2022, kemenangan Amira Aisya di Puteri Wangsa sebenarnya adalah hasil sokongan pengundi PH.

Lebih ironik, MUDA masuk ke gelanggang bersama PSM atas nama “Blok Progresif”. Bunyinya hebat, politik baharu, kiri progresif, anak muda, reformasi sosial dan satu gerakan melawan politik lama. Tetapi di peti undi, jenama itu nyata tidak mendapat sambutan. MUDA bertanding di Simpang Jeram, Maharani, Puteri Wangsa dan Bukit Batu; PSM pula di Skudai. Namun keputusan akhir menunjukkan pengundi Johor tidak begitu teruja dengan pakej progresif yang ditawarkan. Sama ada mereka tidak berminat dengan istilah itu, atau mereka merasakan jenama progresif itu boleh sahaja dibawa oleh mana-mana parti politik sedia ada, BN contohnya.

Selepas keputusan buruk itu, MUDA melalui kenyataan presiden parti berikrar untuk membina semula kepercayaan selepas kemunduran di Johor. Tetapi masalah MUDA bukan sekadar kepercayaan. Sebaliknya masalah yang lebih besar ialah hala tuju parti. Parti ini mahu menjadi parti yang bagaimana? Alternatif kepada PH? Saingan kepada BN? Rakan kepada PSM yang tampak lebih kurang sosialis? Atau sekadar ruang politik sementara untuk anak muda yang kecewa singgah sebelum akhirnya berhijrah ke parti lain yang nampak lebih jelas hala tujunya?

PRN Johor 2026 membuktikan satu perkara: pengundi tidak memberi undi hanya kerana parti mengaku lebih bersih, lebih muda atau lebih progresif. Pengundi mahu struktur, naratif, kepimpinan, jentera dan hala tuju. MUDA pula kelihatan seperti parti yang masih tercari-cari ayat pengenalan untuk dirinya sendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ibarat anak muda yang masih belum jelas tujuan hidupnya.

Maka masa depan MUDA selepas PRN Johor nampaknya semakin gelap. Bukan kerana politik anak muda tidak diperlukan, tetapi kerana MUDA gagal meyakinkan bahawa merekalah kenderaan terbaik untuk membawanya. Kalau parti ini tidak segera memilih sama ada mahu menjadi gerakan serius atau sekadar jenama politik bermusim, PRN Johor mungkin akan dikenang bukan sebagai kemunduran sementara, tetapi sebagai permulaan kepada satu pengakhiran.

Atau tidak, MUDA akhirnya akan senasib seperti rakan sekutunya PSM. Ada tetapi tiada.

Komen