Realpolitik adalah istilah dari bahasa Jerman yang merujuk pada politik yang berasaskan pertimbangan kuasa dan praktikal, bukannya bersandarkan pada fahaman ideologi atau nilai moral. Oleh kerana ia berasaskan pada kuasa dan praktikal, maka istilah realpolitik juga acapkali digunakan apabila merujuk kepada sesuatu tindakan politik yang keji atau hina, tindakan yang tidak berpaksikan moral tetapi lebih bersifat mabuk kuasa.
Politik Malaysia sendiri telah banyak berdepan dengan keadaan realpolitik sejak Merdeka. Tetapi tidak ada rasanya tindakan realpolitik yang lebih keji atau hina berbanding apa yang berlaku sejak Langkah Sheraton tanggal 23 Februari 2020.
Dalam Langkah Sheraton, mastermind utama tindakan realpolitik ini adalah Muhyiddin Yassin. Menggunakan krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) sebagai pemangkin, Muhyiddin berjaya ‘merampas’ kerajaan dari Mahathir Mohamad, individu yang kita semua maklum merupakan seorang mastermind dan pengamal realpolitik sepanjang 22 tahun bergelar Perdana Menteri ke-4. Usaha ‘merampas’ kerajaan ini berjaya dilakukan dengan Muhyiddin sendiri menggunakan realpolitik bagi mendapatkan sokongan dari puak Kartel dalam PKR, serta dari tiga blok politik lain iaitu Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera (GS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gula-gula Muhyddin bagi mendapatkan sokongan dari blok-blok yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ada terkandung dalam rakaman ucapan Scheme of Things beliau. Tawaran pangkat dan kuasa digunakan bagi memperolehi sokongan majoriti yang cukup bagi mengabsahkan kerajaan baharu beliau. Kita semua tahu inilah tunjang realpolitik yang jelas menggadaikan fahaman ideologi dan nilai moral.
Scheme of Things Muhyiddin disambut baik oleh mereka yang dahagakan pangkat dan kuasa, khususnya dari UMNO dan PAS yang merupakan dua parti politik terbesar selain BERSATU dalam kerajaan baharu Muhyiddin. Di kalangan rakyat, persekongkolan ini dihiasi dengan alasan perpaduan ummah dan tawaran kerajaan yang didominasi oleh Melayu Islam, berlawanan dengan perpaduan seluruh bangsa Malaysia dan kerajaan pelbagai kaum yang berlaku ketika era kerajaan PH.
Mungkin ramai antara kita yang melihat Langkah Sheraton sebagai satu langkah yang cukup makan dan Scheme of Things Muhyiddin sebagai satu tindakan reapolitik yang tidak akan pergi jauh, tetapi selepas lebih setahun kerajaan Muhyiddin yang kini dinamakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini masih tampak utuh sedang kemahiran realpolitik Muhyiddin pula nampak semakin licik.
Siapa sangka, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan oleh Muhyiddin bagi merangka strategi percaturan politik beliau. Siapa sangka juga, walaupun gagal dalam percubaan pertama melaksanakan Darurat selepas Yang Di Pertuan Agong (YDPA) memilih untuk bersmesyuarat dengan Majlis Raja-raja; Muhyiddin mencuba untuk kali kedua dan kali ini berjaya mendapat perkenan YDPA secara terus untuk proklamasi Darurat dikuatkuasakan dan parlimen digantung dari bersidang.
Kesemua ini adalah bukti kelicikan realpolitik Muhyiddin, dari mensabotaj Mahathir dan blok PH hinggalah kepada meyakinkan YDPA untuk menggantung parlimen. Jika ini masih belum cukup untuk kita mengakui hebatnya realpolitik Muhyiddin, maka ingatlah bagaimana ketika Najib Razak pernah menumbangkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009, Muhyiddin pula melakukannya ke atas lima negeri sekaligus sepanjang tahun 2020.
Namun kesemua pencapaian ini saya kira masih kecil berbanding apa yang berlaku pasca Perhimpunan Agung UMNO 2020 (atau sepatutnya 2021?).
Selepas UMNO menonjokan kejantanan mereka di dalam dewan, mengherdik BERSATU kerana cuba menjadi UMNO 2.0 dan menyindir PAS kerana bermain kayu tiga, hari ini kita melihat UMNO rupanya tidak lebih dari seekor singa sarkas. Singa sarkas yang tunjuk garang dan handal di dalam lingkaran sarkas tetapi sebenarnya kecut telur akibat cemeti penjaga dan hidupnya terkurung dalam sangkar.
Baculnya UMNO ini dibuktikan tidak lain oleh Muhyiddin sendiri. Selepas berdegar-degar ucapan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang menyeru kesemua ahli parlimen UMNO yang menjawat jawatan menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengambil kira denyut nadi bersama dan melepaskan jawatan, Muhyiddin dengan mudah melibas cemeti beliau.
Dengan hanya satu mesyuarat, kesemua ahli parlimen UMNO yang berjawatan tadi akur untuk terus mengekalkan jawatan serta gaji masing-masing kononnya demi memastikan kabinet berfungsi baik ketika Darurat. Bahkan, Presiden UMNO sendiri kendur untuk menerima bahawa rakan separti beliau akan terus bergelar menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC selepas dipujuk oleh presiden parti lain. Malah beliau sendiri mengiyakan alasan perlunya kabinet dikekalkan agar berfungsi seperti biasa.
Dalam hal ini terbukti Muhyiddin seorang yang licik dengan percaturan realpolitik beliau sedang Presiden UMNO, Zahid Hamidi dilihat hanya garang di dalam dewan tetapi tidak tahu apa langkah politik yang beliau boleh gunakan di luar dewan. Ucapan dasar presiden yang kononnya lantang dan tegas itu tidak lebih dari rupa harimau, hati tikus.
Tidak cukup dengan kejayaan memujuk ahli parlimen UMNO berjawat menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC untuk kekal, Muhyiddin membuka langkah realpolitik yang lain. Kali ini dengan PAS, yang disindir oleh tuan rumah UMNO di PWTC ketika PAU 2020.
Muhyiddin tahu hubungan PAS-UMNO ibarat retak menanti belah. Malahan Muafakat Nasional (MN) yang dilihat satu pakatan elektoral strategik antara dua parti itu kini seperti tidak tentu hala.
Ketika PAS disindir, malahan juga diejek dan dihina oleh UMNO, BERSATU hadir menghulur tangan untuk membelai dan pada masa sama meluangkan telinga untuk mendengar keluhan PAS yang terguris hati.
Sekali lagi, dengan satu mesyuarat Muhyiddin menambat hati Hadi Awang dan PAS untuk terus mengukuhkan Perikatan Nasional (PN). Pengukuhan ini melibatkan rundingan pengagihan kerusi, merangka strategi dan menentukan halatuju PN sebagai satu blok politik.
Ini adalah langkah realpolitik terhebat Muhyiddin setakat ini. Muhyiddin nampak peluang yang ada di sebalik keretakan hubungan PAS dan UMNO, lalu menggunakan keretakan ini untuk menarik PAS lebih rapat dengan BERSATU.
Kemuncak pada tindakan ini adalah tulisan Presiden PAS sendiri pada 2 April dalam kolum Minda Presiden, berjudul PAS: Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). Di dalam tulisannya Hadi Awang antaranya menegaskan bahawa PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng dari matlamat asal serta menolak agenda yang bertujuan menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya. Selain itu Hadi Awang sendiri menyeru bahawa satu-satunya blok politik yang diiktiraf PAS adalah PN bersama-sama dengan BERSATU. Mana-mana parti politik yang berjuang untuk agama Islam dan bangsa Melayu katanya wajib menyertai PN.
Tulisan terbaru Hadi Awang membuktikan bahawa kecenderungan PAS kini lebih condong kepada BERSATU. Tindakan UMNO yang menyindir PAS konon dengan tujuan untuk memaksa parti agama itu memilih antara dua kekasih telah memakan tuan. Muhyiddin hanya perlu memujuk dengan ayat manis untuk meletakkan PAS dalam dakapan BERSATU.
Realpolitik mengajar Muhyiddin bahawa jalan yang ada buat BERSATU dan blok PN adalah laluan berliku dengan onak BN dan duri PH. Oleh itu satu-satunya harapan buat beliau ialah mendapatkan sekutu yang boleh membantu kemenangan PN.
BERSATU mungkin parti yang menguasai kerajaan sekarang, tetapi mereka sedar kekurangan mereka adalah ketiadaan akar umbi seperti UMNO. Dalam hal ini, PAS memberikan tawaran kekuatan yang sama jika tidak setanding.
Dalam PRU14, harus kita ingat jumlah undi yang diterima BERSATU adalah sebanyak 718,648 undi atau 5.95% dari keseluruhan undi PRU14. Ia jauh lebih rendah dari jumlah undi UMNO sebanyak 2,525,713 atau 20.9%. Tiada jaminan juga untuk BERSATU boleh memperolehi jumlah undi yang setanding kerana semasa PRU14, kebanyakan undi BERSATU datang dari penyokong blok PH yang kini telah mereka khianati.
Berdasarkan pada situasi ini, PAS menawarkan jumlah yang diperlukan. Pada PRU14 jumlah undi diterima PAS adalah 2,032,080 atau 16.82%. Mengikut pecahan parti, PAS merupakan parti keempat dengan jumlah kutipan undi terbesar. Angka yang dimiliki PAS dan angka yang dimiliki BERSATU (walaupun mungkin lebih rendah pada PRU15 nanti) boleh memberikan jumlah yang cukup bagi mereka menyaingi blok BN atau PH.
Dalam realpolitik Muhyiddin, percaturan beliau adalah mudah. BERSATU boleh sahaja menyerahkan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis atau Kedah kepada PAS; tidak seperti UMNO yang mempunyai ramai hulubalang atau warlords di negeri-negeri tersebut untuk dijaga. Melalui pakatan elektoral bersama PAS, BERSATU boleh sahaja menumpukan tenaga mereka di negeri-negeri selebihnya dengan mengharapkan akar umbi PAS untuk membantu mereka. Ini adalah strategi pengagihan kerusi yang ampuh jika berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU15.
Sekali baca, kita mungkin ketawa sinis dan memandang rendah pada percaturan realpolitik sebegini. Tetapi itulah yang telah dilakukan oleh ramai seteru politik Muhyiddin sepanjang tahun. Sinis dan memandang rendah pada beliau.
Tetapi Muhyiddin masih kekal Perdana Menteri.
Sedang seteru beliau terus lupa, alangkan kanser sekalipun gagal mengalahkan Muhyiddin.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.