“Capitalism breed anti-capitalist. In some times and places, the resistance to capitalism become crystallized”
– Erik Olin Wright
SIRI Netflix Squid Game merupakan antara siri yang popular untuk tahun ini. Jumlah tontonannya saja mencecah 100 juta dan ditayangkan ke serata negara. Ia mewujudkan fenomena yang luar biasa termasuk dalam persekitaran kita. Memang benar Squid Game bukanlah satu-satunya siri drama yang memaparkan peristiwa survival, pertarungan kelas terutama sekali buat kelompok miskin dan tertindas. Sebelum ini sudah ada beberapa siri drama dan filem yang memaparkan genre ini seperti The Platform, Hunger Game juga Parasite.
Mengapa siri ini boleh terjelma begitu popular sehingga menjadi ikutan? Saya fikir ia bukanlah hanya kerana dalgona candy dan topeng unik yang diperagakan semata, sebaliknya mahu atau tidak ia mempunyai kaitan dengan alegori kapitalisme yang menindas masyarakat banyak sama ada pada minda sedar atau minda bawah sedar mereka. Kebanyakan penonton sepertinya dapat mengaitkan keadaan sekeliling dengan drama yang sedang mereka tonton umpamanya sinonim. Mentelah lagi ketika wabak Covid-19 menghentam, memburukkan lagi keadaan dan menambahkan lagi bilangan kelompok miskin yang tertindas.
Seperti yang terpampang jelas di poster siri drama ini bahawa 45.6 bilion Won adalah permainan kanak-kanak. Bagi mereka yang bergelar elit, bangsawan atau jutawan jumlah sebegini bukanlah satu masalah buat mereka bermakna pendapatan mereka adalah lebih dan berlipat ganda dari itu. Sebab itu mereka boleh saja menyalurkan wang sejumlah itu untuk menciptakan satu permainan yang jahat, tidak bermoral, jahil dan zalim seperti ini semata-mata untuk hiburan mereka.
Signifikan Squid Game Dan Kehidupan Realiti
Apakah yang kita saksikan dalam siri drama Squid Game itu tidak terjadi dalam realiti? Sudah tentu tidak sama sekali. Pertama, apa yang sedang kita hadapi hari ini sudah tentu terkait dengan jurang ekonomi yang melebar dimana ada kelompok yang super kaya dan ada kelompok yang papa kedana. Apabila jurang pendapatan ini tidak diatasi terutama sekali ketika sistem kapitalisme di adopsi akan mewujudkan budaya superior bagi kelompok kaya yang akhirnya mewujudkan budaya penindasan. Di dalam Squid Game orang miskin dikumpulkan untuk main permainan, di dunia realiti orang miskin dikumpulkan untuk melakukan kerja-kerja underground termasuklah mengedar dadah. Keduanya terjadi kerana keterdesakan hidup.
Drama siri Squid Game ini juga meruntuhkan mitos di mana orang miskin yang berusaha keras pasti akan mendapat imbalan dan menjadi kaya. Hakikatnya sekuat mana pun mereka yang miskin berusaha nantinya tenaga mereka tetap akan diwajarkan dengan imbalan dan bayaran yang tidak bertepatan dengan tenaga mereka. Lihatlah bagaimana mereka memainkan permainan ada yang melibatkan nyawa tetapi imbalannya hanyalah sebuku roti kering dan air teh panas. Dalam realiti kelompok buruhlah paling terkesan apabila mereka dipaksa berkerja tanpa bayaran yang setimpal malah ada yang ditimpa kecelakaan tanpa ada pembelaan.
Ketiga signifikannya drama ini ketika memaparkan bahawa kehidupan manusia terutama yang lemah dan tidak berkemampuan telah diatur dengan sistem. Dalam realitinya diatur oleh sistem kapitalisme yang tidak pernah adil dalam mengagihkan keuntungan dan mengkayakan hanya sebelah pihak sahaja. Sejak bayi lahir dalam kemiskinan seluruh hidupnya telah dibunuh. Bayangkan apa yang mereka perolehi, apa yang mereka punya, apa yang mereka tahu telah ditentukan oleh sistem ini. Malah budaya konsumerisme semarak digendangkan pada kelompok ini supaya yang kaya terus akan mendapat keuntungan. Lihatlah bagaimana siri ini menentukan hidup mati seseorang hanya melalui satu permainan anak-anak yang tidak masuk akal. Inilah sistem yang diciptakan manusia tetapi tidak ada kesungguhan untuk merubahnya.
Berkesinambungan dari itu, manusia yang terhasil pula akan bersifat individualistik malah ada yang menjadi parasit untuk merebut sumber yang sedikit itu. Tenaga mereka bukanlah dikumpulkan untuk menuntut harta yang bertumpuk dari yang kaya sebaliknya menjadi anti-manusia di mana sanggup membunuh, menggusur satu sama lain untuk mendapatkan sejumlah wang yang tidak seberapa berbanding dengan nyawa yang telah dikorbankan. inilah yang terjadi dalam Squid Game. Dalam realiti ada yang sanggup menjual emosi dan maruah kemiskinan untuk keuntungan mereka melalui video dan tulisan. Sehinggakan apabila ada kelompok miskin dianggap sebagai salah sendiri, malas berusaha dan tidak pandai mencari peluang. Akhirnya, kemenangan dan keuntungan untuk yang lain penindasan untuk yang lainnya.
Dalam era kapitalisme, berpegang pada moral yang luhur itu satu kesalahan dan melakukan kejahatan itu satu yang dibenarkan. Bayangkan bagaimana dalam siri Squid Game mereka yang mempunyai kesedaran moral yang tinggi tidak akan bertahan lama malah dimusuhi berbanding dengan mereka yang berbuat jahat dan kejam. Kita boleh saksikan bagaimana karakter 456 dan Ali yang kerap kali menjadi alat untuk dipergunakan walaupun dengan kelompok miskin lainnya hanya kerana mereka jujur dan naif. Begitulah juga kita hari ini berapa banyak pakar motivasi penasihat saham dan kewangan yang mengajar untuk menjadi tidak manusiawi semata-mata untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda? Tidak apa menipu, menggelapkan pemikiran asalkan saja boleh menguntungkan.
Keenam, kapitalisme telah gagal membentuk kehidupan yang adil. Sepatutnya dengan duit yang ada tidak perlu pun menganjurkan permainan yang menelan nyawa dan air mata boleh saja duit itu dibahagikan sama rata atau menaik taraf kemudahan asas masyarakat yang sudah tentu akan dinikmati semua. Jadi berbanding menyelesaikan isu pokok, si kaya tadi berputar-putar pula pada isu lain kononnya untuk memperlihatkan kekuasaan dan melayan keseronokan. Sepatutnya idea awal kapitalisme itu adalah untuk trickel down effect kononnya bila seorang menjadi kaya maka kekayaan itu akan mengalir ke bawah, tetapi sebaliknya yang berlaku bila dapat satu juta pertama mahukan satu juta kedua dan seterusnya.
Inilah masalah sistem kapitalisme dan Squid Game menceritakannya dengan susunan yang sangat baik. Jika kita bersedih dan geram ketika menonton drama itu bayangkan apakah perasaannya pada mereka yang menghadapi situasi yang sama di dalam dunia realiti? Realitinya kita semua adalah pemain Squid Game.
Seorang berjaya sejuta kecewa.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.