Bayangkan jika anda tidak dapat keluar dari rumah. Pekerjaan yang anda lakukan sebelum ini tidak lagi wujud. Bekalan harian anda hanyalah bergantung kepada bantuan-bantuan ehsan yang belum tentu sentiasa ada.
Pasangan anda dilanda strok sewaktu minggu ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memerlukan rawatan pakar di pusat kesihatan tiga kali seminggu. Anda perlu menjaga pasangan yang kini terlantar di atas katil, dan ia melampaui kemampuan fizikal dan kewangan anda. Tiada ahli keluarga atau kawan yang dapat membantu anda.
Bayangkan sekiranya anda merupakan seorang bujang, makan gaji hari sebagai tukang cuci dapur hotel, menjaga ibu tua yang kesihatannya kian merosot. Sewaktu PKP, dia terpaksa menggunakan kerusi roda dan hilang upaya di bawah rumah berbumbung zink anda. Anda tidak mempunyai sebarang simpanan.
Anda tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP, bahkan anda tidak dapat melihat peluang lain kerana syarikat majikan anda baru sahaja lingkup. Pendapatan yang sekadar cukup-cukup makan sebelum PKP, kini membuatkan anda gelisah memikirkan masa depan.
Bayangkan pula anda seorang ibu tua berusia 70 tahun yang menjaga anak yang kurang siuman dan berusia 40-an. Selama ini, anda berjuang untuk hidup dengan mengutip dan mengasingkan sampah, menjual papan kad dan tin, atau apa sahaja asalkan mendapat sesuap nasi. Sesuap nasi yang lain datang daripada badan kebajikan yang menghantar makanan 5 hari seminggu.
Tuan rumah yang membenarkan anda menyewa secara percuma di bahagian rumah yang rosak dimamah anai-anai, kini tidak dapat memperbaiki kerosakan akibat ribut sewaktu tempoh PKP. Siling yang berlubang kini semakin teruk. Sedangkan anda tidak dapat keluar mencari rezeki sepertimana dahulu.
Bagi rakyat Malaysia ini, untuk kembali kepada kehidupan normal seumpama kembali kepada keadaan yang menjadi punca kepada nasib malang mereka. Bak kata seorang wanita yang nasibnya diceritakan di atas;
“PKP atau tidak, tiada bezanya. Setiap hari berlalu seperti biasa, hidup saya lebih tenang jika saya mati.”
Covid -19 Sebuah Revolusi Semulajadi
Setiap kali timbul persoalan bilakah kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal, saya menggigil kerana masih ada dalam kalangan kita yang berfikiran bahawa kembali normal itu adalah satu pilihan.
Jelas sekali apa yang berlaku sekarang ini sama sekali tidak ubah seperti sebuah revolusi yang tercetus secara semulajadi. Kita sekarang sedang menuju ke arah sebuah orde ekonomi dunia baru; bentuk dan kandungannya masih belum dapat dirangka atau dijangka oleh sesiapa pun. Apabila ekonomi berubah, masyarakat turut sama berubah; dan begitulah sebaliknya.
Impak sosial, ekonomi bahkan kesihatan mental kepada manusia di seluruh dunia akibat daripada langkah-langkah yang diambil bagi memerangi COVID-19 ternyata menggamamkan. Terlalu banyak pekerjaan dan mata pencarian yang telah—dan bakal—hilang tanpa jaminan pulih. Akibatnya, terdapat ramai orang yang mendapati diri mereka berdiri di tebing kemusnahan hidup.
Virus ini mungkin telah menjejaskan kesihatan fizikal mereka yang dijangkiti, tetapi pandemik ini bakal memberi kesan kepada status sosial, ekonomi dan kesihatan mental setiap satu nyawa di atas muka bumi ini. Mereka yang lemah akan menerima tamparan yang paling hebat.
Pakar bersepakat bahawa kesan patologikal COVID-19 adalah sekiranya seseorang yang dijangkiti sudah mempunyai penyakit yang teruk, maka kebarangkalian terjadinya komplikasi yang membawa kepada kematian itu tinggi. Begitu juga kesan yang dibawa oleh pandemik ini ke atas status sosial dan ekonomi. Bermakna, sekiranya anda berstatus miskin sebelum COVID-19 melanda, maka selepas tempoh PKP ini anda akan menjadi semakin miskin.
Semua impak makro ini telah pun menjadi wacana arus perdana dalam kalangan elitis sosial dan politik. Namun, dalam masa kita bercakap mengenai digitalisasi, mempergiatkan peralihan ke arah ekonomi pasca revolusi industri keempat, terdapat segmen penting dalam masyarakat yang berdepan ancaman kehidupan. Mereka ini—saudara semalaysia kita—tersisih jauh di sempadan masyarakat dan jauh dari pandangan serta sangat memerlukan bantuan kita terutamanya saat ini.
Segala keretakan, kerosakan dan tekanan tamadun kita yang telah diabaikan, atau ditenggelamkan oleh naratif aspirasi kejayaan kini timbul semula. Hanya sekarang, nasib mangsa yang sama diburukkan lagi oleh bala yang menimpa-nimpa gara-gara pandemik ini.
Memang mudah untuk menyalahkan sistem, tetapi sekarang merupakan peluang terbaik untuk sekurang-kurang membuang bahagian sistem yang rosak ini dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih wajar, sesuai dan berperikemanusiaan.
Peranan Kerajaan Dan Politikus
Kerajaan dan politikus mempunyai tugas yang besar untuk dimainkan, serta kuasa dan sumber yang mampu membawa perubahan. Tetapi nampak gayanya kuasa dan sumber itu seolah-olah digunakan untuk mengekalkan cara dan sistem yang bermasalah ini; untuk kembali kepada norma yang kita ketahui.
Suara majoriti masyarakat yang menderita dan akan terus menderita teruk, seringkali ditenggelamkan oleh suara golongan minoriti istimewa dan bertuah yang mempunyai kemampuan untuk kembali kepada norma lama.
Sepanjang tempoh PKP, pejabat saya bersama-sama sekumpulan sukarelawan dengan semangat berkobar-kobar telah memperlihatkan bahawa naluri murni manusia dan masyarakat dapat digali dengan adunan kepimpinan dan situasi yang sesuai. Semangat perpaduan dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira warganegara, keturunan, agama dan politik benar-benar telah menjadi sebab mengapa saya masih lagi menaruh harapan setelah segala yang saya tulis dan lihat.
Selain daripada bantuan kewangan yang tidak begitu memberi kesan diumumkan sewaktu PKP bermula, yang habis digunakan dalam masa dua minggu; tiada bantuan kerajaan dalam bentuk yang lain, sama ada dalam bentuk catuan makanan, topeng muka, sanitizer atau makanan yang dimasak. Jabatan kebajikan pula telah dibebankan dengan kerja di luar bidang mereka, sehinggakan perkhidmatan penting mereka seperti penempatan gelandangan terpaksa ditangguhkan.
Apa pun, kami telah berjaya menghantar barangan asas dapur seperti sayur-sayuran segar, topeng muka, bahkan menyampaikan bantuan bencana, pemulihan, pembaikan dan pembinaan semula akibat ribut dengan penglibatan minimal pihak kerajaan. Kepada para penjawat awam yang membantu bagi mempercepatkan urusan tertentu, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan.
Tetapi keseluruhan bantuan dan sistem penghantaran kecemasan ini, sekurang-kurangnya di Pasir Pinji dan kawasan sekitarnya, telah digerakkan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan, CSO, DAP, pejabat saya dan didanai oleh sumber bukan kerajaan sebanyak 85 peratus.
Di saat kita diuji dengan pelbagai ketidakpastian, serta dengan kerajaan yang cenderung kembali kepada norma lama meskipun terdapat sebahagian besar masyarakat yang memerlukan orde baru; kita perlu mengambil langkah yang berbeza.
Kita mesti dan akan menggesa kerajaan supaya melupakan niat untuk kembali kepada norma yang lama. Tetapi sekarang saya lebih yakin, dalam pada kita berusaha ke arah orde yang baru dan berbeza ini, individu-individu, badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan awam dan naluri manusia akan berjaya mengangkat sebuah norma baharu.
Norma Baru: Solidariti, Belas Kasihan Dan Kejiranan
Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah rupa norma baharu itu? Itulah bahagian yang menarik: kita akan bersama-sama membentuknya. Bagi saya, salah satu daripadanya adalah agar mereka yang bernasib malang ini akan mempunyai alternatif hidup yang penuh harapan dan masa hadapan.
Pihak kerajaan perlu memikirkan semula dan merombak keseluruhan polisi berkaitan kebajikan negara. Kita mempunyai ramai petugas yang unggul di dalam khidmat kebajikan baik dari mereka di kementerian hinggalah ke bahagian daerah operasi; sudah tiba masanya mereka ini diberikan bantuan kewangan, sokongan, keupayaan modal insan dan polisi yang tepat dan mampu menyampaikan keperluan sebenar masyarakat dan rakyat. Norma baharu ini memerlukan kepada bantuan kebajikan yang datang dan mencari mereka yang memerlukan, bukan lagi rakyat bawahan yang terkesan terpaksa berhempas pulas mencari kebajikan untuk diri sendiri dikala kecemasan dan keterdesakan.
Kemiskinan berpunca daripada ketaksamaan akses kepada peluang-peluang, sumber dan perkhidmatan, selain diburukkan lagi dengan eksploitasi golongan miskin ini oleh mereka yang lebih kaya. Virus yang kita sedang hadapi ini akan mati tatkala dinafikan sebarang hos dan capaian pergerakan. Begitu juga ketaksamaan akses kepada bantuan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, perumahan mampu milik serta sekatan eksploitasi oleh mereka yang mempunyai harta dan kuasa, kemiskinan dengan sendirinya lemas dan pupus. Tatkala kita belajar dari usaha dunia untuk memutuskan rantaian infeksi Covod-19, norma baharu dimestikan untuk memecahkan tembok kemiskinan dan ketepinggiran mereka yang paling terdedah di dalam masyarakat.
Tuntasnya, ramuan yang paling utama bagi norma baharu ini mestilah diangkat dari semangat solidariti, belas kasihan dan kejiranan. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya dapat saksikan sendiri bagaimana semangat kejiranan didefinisikan pada saat yang paling memerlukan.
Bagaimana empat jiran tetangga bergilir-gilir bagi menyediakan makanan bagi seorang warga emas yang sedang kekusutan akibat perlu menjaga suami yang terlalu uzur, lumpuh dan terlantar di katil. Bagaimana mereka yang berada membantu menyediakan makanan kepada yang kurang berkemampuan setiap hari untuk diedarkan di jalanan. Serta bagaimana komuniti secara proaktif menghubungi penyedia makanan dan memastikan makanan sampai kepada mereka yang tinggal di jalanan dan paling tertindas saat bencana ini.
Ini adalah ciri-ciri yang perlu dipelihara dan dibudayakan di dalam norma baharu kelak. Benar, ciri-ciri ini tidak akan datang sebagai polisi ataupun dipaksakan oleh kerajaan. Ia perlu hadir dari setiap insan. Ia mampu dan perlu datang dari kita semua.
Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).