Ramalan Horoskop Cina Untuk Pemimpin Melayu Di Tahun Lembu

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

SALAH satu keindahan horoskop Cina ialah ia dapat meramal kejayaan atau kegagalan seseorang individu di tahun yang sedang mereka hadapi. Kita telah mengetahui tahun 2021 ini adalah Tahun Lembu menurut kalendar Cina. Ramalan kejayaan dan kegagalan ini kelihatannya sangat penting berasaskan sifat haiwan itu. Maka pembahagian tahun-tahun binatang menurut kerangka bangsa Cina juga mengetengahkan petunjuk atau petanda yang jelas dalam urusan kerjaya mereka. Misalnya, memandangkan ular dan lembu tidak serasi maka petanda yang diberikan selalunya kurang menyenangkan. Namun untuk pakar horoskop Cina yang teliti, terdapat juga hitungan ramal yang lebih terperinci menurut bulan, minggu, malah jam tertentu. Misalnya tidaklah semua yang lahir pada tahun ular akan berdepan dengan gugahan pada Tahun Lembu 2021. Ini kerana terdapat jenis-jenis ular pula. Sebagai contoh, nasib ular air yang dilahirkan pada tahun 2013 (anak-anak Darjah Dua) mungkin tidak sama dengan ular api iaitu orang dewasa atau bapanya yang lahir pada tahun 1977. Ini kerana secara lojiknya anak yang lahir pada tahun 2013 tidak akan berdepan dengan masalah yang selalu dialami oleh orang dewasa.

Saya difahamkan tidak semua bangsa Cina mempercayai ramalan ini lagi, pun demikian masih juga ada mereka yang tidak mengabaikannya. Antara pakar ramal ialah Lillian Too. Juga tentunya orang Melayu tidak akan mempedulikan ramalan-ramalan sedia ada ini.

Baru-baru ini, seorang teman saya yang berbangsa Cina telah mengajak saya menggunakan sebuah laman ramalan menurut horoskop Cina. Laman itu adalah TravelChinaGuide yang mana kita boleh melihat prestasi seseorang pada Tahun Lembu 2021 ini. Teman saya itu telah menggunakan sepenuhnya ramalan atau jangkaan yang dibekalkan pada laman ini untuk menduga atau menguji prestasi dirinya, ahli keluarga dan orang kesayangan.

Sebagai seorang anggota Parti Gerakan yang baru diterima masuk Perikatan Nasional, teman saya itu juga teruja untuk melihat prospek yang ada pada tahun 2021 untuk pemimpin Melayu sedia ada. Ini penting memandangkan jika Pilihan Raya Umum ke-15 dilakukan pada tahun ini, maka beliau boleh sedia mengatur rencana masa hadapan (pasca PRU). Maklumlah ini kerana Parti Gerakan ternyata sudah meniti batas-batas pusara.

Apakah yang beliau temukan apabila meramal nasib pemimpin politik Melayu tanahair?

Inilah yang beliau paparkan kepada saya. Anda perlu berjiwa kuat untuk membacanya. Saya mengingatkan anda di sini, jika anda tidak cukup kuat; nasihat saya adalah tinggalkan sahaja.

Bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan: Anwar Ibrahim dilahirkan pada 10 Ogos 1947 iaitu pada Tahun Babi. Ramalan untuk mereka yang lahir pada tahun 1947 dalam tahun 2021, adalah mereka akan sangat bertuah. Tiada masalah di tempat kerja dan wang. Mereka akan terbawa-bawa dengan hobi seperti menyanyi, melukis atau berkebun. Orang Tahun Babi juga akan memberi perhatian lebih kepada cucu. Kesihatan juga agak memuaskan pada tahun ini, kecuali beberapa gangguan kecil. Namun ada baiknya penyokong Pakatan Harapan tidak bergembira terlalu awal. Ini kerana, Abdul Hadi Awang juga dilahirkan pada 20 Oktober tahun yang sama, jadi beliau dan Anwar sama-sama dari Tahun Babi. Muhyiddin Yassin juga diperanakkan pada tahun 1947 iaitu pada 15 Mei, maka nasib mereka nampaknya setara. Dalam erti kata lain, jika berlaku perlumbaan, potensi semua mereka adalah sama.

Oh juga terlupa, untuk mereka yang lahir di tahun 1947 ini; terdapat nasihat berguna oleh horoskop Cina bahawa inilah saatnya di Tahun Lembu (2021), detik atau tahun yang sesuai untuk bersara di mana membolehkan mereka menghabiskan masa yang lebih bersama-sama keluarga.

Tawaran UMNO: Najib Razak dilahirkan pada 23 Julai 1953. Iaitu pada Tahun Ular. Menurut horoskop Cina ular yang lahir pada tahun 1953 akan sangat bertuah dalam hubungan akan tetapi dalam kerjaya, tidak akan ada banyak perubahan. Peningkatan dalam kekayaan juga tidak berubah. Ular mesti sentiasa berhati-hati pada Tahun Lembu dan mereka dinasihatkan supaya tidak tamak dengan sebarang habuan kecil, dan diminta agar tidak terpengaruh dengan wang besar. Ia juga tahun yang baik untuk ular tahun 1953 bersara di mana mereka dianjurkan memberi perhatian kepada apa yang tidak dapat dilakukan ketika masih muda. Ular tahun 1953 juga diramalkan jatuh sakit pada Tahun Lembu ini di mana mereka mungkin terpaksa berada di hospital untuk beberapa ketika. Namun demikian ia bukanlah sesuatu yang serius.

Ahmad Zahid Hamidi meskipun lahir pada tahun 1953 juga, harus diingatkan beliau tiba ke dunia yang fana ini pada 4 Januari iaitu secara teknikalnya belum lagi Tahun Ular. Justeru beliau terkelompok dalam mereka yang lahir dalam Tahun Naga. Apakah ramalan untuk mereka yang lahir pada Tahun Naga (1952) di Tahun Lembu (2021) agaknya? Nah horoskop Cina mencadangkan Naga agar memberi perhatian kepada konflik dalam keluarga. Sebarang usaha untuk menambah pendapatan haruslah dilakukan berdasarkan pengalaman dan kebolehan terdahulu. Naga (1952) dinasihatkan melakukan apa yang mereka suka agar aura positif mengelilinginya. Naga tua pada Tahun Lembu ini diramalkan akan berdepan dengan sedikit masalah kesihatan justeru perlu memberi perhatian kepada kardiovaskular dan kesihatan usus.

Prospek Amanah dan Pengkhianat: Mohamad bin Sabu dilahirkan pada 14 Oktober 1954 iaitu pada Tahun Kuda. Tahun 2021 bukanlah tahun yang menyenangkan untuk kuda tahun 1954. Ia bukanlah tahun yang menguntungkan dari segi kewangan, dan akan berdepan dengan gangguan dalam kerjaya. Terdapat juga masalah lingkungan yang perlu diberi perhatian dan sebarang penyakit kecil boleh berkembang menjadi masalah yang genting. Mohamed Azmin Ali yang dilahirkan pada 25 Ogos 1964 juga berada dalam bahaya yang sama.

Mereka yang juga mengalami kepayahan dalam Tahun Lembu 2021 ialah yang lahir pada Tahun Anjing 1958 yang mana Zuraida Kamaruddin dilahirkan pada 14 Mac tahun ini. Secara amnya prestasi Anjing 1958 pada Tahun Lembu 2021 tidaklah memuaskan.

Salahuddin Ayub dilahirkan pada 1 Disember 1961 iaitu juga pada Tahun Lembu. Namun ia tidak mesti tahun yang baik untuk Lembu 1961 pada Tahun Lembu 2021, ini kerana horoskop Cina menjangkakan terdapat beberapa masalah kesihatan. Mereka juga dinasihatkan menjaga diri agar tidak baran. Selain itu terdapat nasihat agar kurang mengawal dan dianjurkan melakukan diet yang seimbang di usia 60 tahun.

Secara umumnya ia adalah tahun yang mencabar untuk mereka yang dilahirkan pada Tahun Lembu untuk mengharungi Tahun Lembu 2021.

Pejuang Lama: Juga lahir pada Tahun Lembu ialah Tun Dr Mahathir iaitu pada 10 Julai 1925. Oleh kerana beliau telah melampaui jangkauan ramalan (sudah di usia 95 tahun), tidak ada ramalan diperolehi untuk Lembu 1925 pada Tahun Lembu 2021. Namun demikian, harus dinyatakan untuk rekod, yang Tun Dr Mahathir adalah Lembu Kayu (wood ox) yang dikaitkan dengan nilai moral yang tinggi, mempunyai integriti dan kejujuran yang tiada galang ganti dan dikatakan agak progresif. Lembu Kayu juga selalu dikaitkan dengan mereka yang boleh mengimbangi realiti dan impian, ini membolehkan mereka berjaya dalam kerjaya.

Seorang Lagi Calon Pemimpin: Shafie Apdal dilahirkan pada 20 Oktober 1957, anak tahun kemerdekaan ini adalah mereka dari Tahun Ayam. Pun mungkin ia akan mengecewakan ramai orang kerana sekali bersama dalam keuntungan adalah Hamzah Zainudin yang juga dari Tahun Ayam kerana beliau dilahirkan pada 12 Mac. Secara keseluruhan mereka yang dikelompokkan ayam pada tahun 2021 ini akan beroleh banyak laba, tuah, dan kebaikan dengan syarat mereka bertindak secara positif dan dengan ketekunan yang jitu. Mereka juga dikatakan berada di atas trek untuk menjadi orang yang berkuasa.

Semua ramalan di atas tentulah merepek dan mengarut untuk orang yang memilih untuk tidak mempercayainya. Namun demikian oleh kerana horoskop menurut tahun haiwan ini adalah bahagian dari budaya, tentu sahaja ada yang akan memilih untuk meyakininya, sehingga mengatur setiap perancangan berdasarkan ramalan-ramalan ini.

Mungkin inilah sebabnya pemimpin dari parti tertentu beria-ia bermain politik di tengah pandemik meskipun kadang-kadang mengingatkan rakyat agar jangan berpolitik. Mungkin ini juga sebabnya pemimpin Pakatan Harapan berasa 2021 bukanlah tahun yang sesuai untuk sebarang Pilihan Raya Umum.

Saya tidak meminta anda mempercayainya. Ia hanyalah pilihan. Sesetengah orang akan mengambilnya sebagai sampah, pun ada yang akan mengutipnya sebagai hikmah. Kita tidak akan tahu sejauh mana ramalan ini semua benar sehinggalah kita mengharungi Tahun Lembu 2021 ini bersama-sama.

Marilah kita sama-sama menjadi saksi atau penonton percekcokan mereka di pentas kuasa. Kalah menang mereka tidak mengubah nasib pipit seperti kita:

Setuju?

Komen