Kerja pejabat, sesi persekolahan, musim liga sepak bola, dan aktiviti-aktiviti harian lain – itu semua beres ditangguh.
Tetapi tidak menangguh Ramadhan.
Jangan buat gila. Menangguh acara bulan suci bermakna Syawal turut menerima kesannya. Kalian mengerti maksudnya apa? Tiada Ramadhan maka tiada raya. Tiada raya bererti tiada bunga api, bunyi mercun, duit raya, ketupat rendang dan pembaziran.
Apakah kini nikmat Tuhan sudah didustakan?
Beradaptasi dalam kondisi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kengerian menghadapi situasi Ramadhan bakal tertangguh semakin jelas.
Terima kasih virus korona. Virus tanpa wajah, tanpa kelibat dan sang pembunuh senyap kini sedang menggoncang dunia.
Beratus ribu diserangnya. Puluhan ribu tewas. Dari tanah besar China, benua Eropah, negeri Uncle Sam sehingga ke Asia, tak ada satu jiwa pun terkecuali.
Manusia, makhluk paling angkuh atas bumi kini menikus, memenjarakan diri dalam habitat menghitung nasib umpama buah dadu berbolak balik di atas meja kayu.
Kebrutalan korona menghasilkan sebuah ketakutan fantastik. Ekonomi dunia langsung terganggu. Ada yang kehilangan kerja. Ada pula yang upah bulanannya dipotong. Majikan kerugian berjuta, mengucap panjang di penthouse mewah. Acara keramaian sama sekali dilarang. Rumah ibadah ditinggal kosong sepi.
Maka, apalagi yang mampu menghalang rencana korona menangguhkan Ramadhan? Percayalah! Ini bukan sesuatu yang absurb!
Korona mengafirmasi hal ini kerana bukan ibadah puasa itu yang tertangguh melainkan hal-hal kemeriahannya, ritual pesta membeli belah serta rasa enaknya euforia ‘berpuasa’ bakal tergantung.
Tidak sulit menjelaskan bahawa selama ini puasa hanyalah sebuah ritual tahunan yang kosong spiritual dan semangat kemanusiaan. Ramadhan, sesederhananya ialah majlis berlapar di siang hari. Ditutup dengan belanja besar menjelang senja di sepanjang bulan serta amalan menderma demi sekeping jaminan menetap syurga tanpa hisab.
Terhentinya Ramadhan tahun ini akan membuah kerinduan. Seluruh umat sudah pasti merindui panggilan gedung-gedung membeli belah. Di tahun-tahun lalu, belum lagi perut menahan lapar dahaga, gedung-gedung membeli belah terlebih dahulu melangkau setapak mengingatkan umat agar segera mempersiapkan Syawal. Mereka menunggu gerombolan umat dengan penuh senyuman di bibir pintu masuk.
Tak hanya itu, seluruh umat menyepakati menjalani tanggungjawab keluar berbondong-bondong di bazar Ramadhan. Keadaan menjadi semakin rancak saat melalui 10 malam terakhir. Di lorong-lorong seperti di Masjid Jamek misalnya menyediakan pedoman dan seribu satu macam keberkahan kepada umat yang gigih mencarinya.
Ramadhan kali ini mungkin menghimpit kerinduan menyaksikan kaum kaya dan bangsawan menyeret anak-anak yatim makan berbuka di hotel lima bintang. Tahun ini tiada persembahan menyayat hati (yang dipaksa) menghiburkan si kaya. Tiada gambar-gambar si kaya bangsawan menyuap makanan ke dalam mulut si yatim. Tiada bukti pesonanya dermawan dari kelas tertinggi kepada kelas yang sentiasa diingatkan untuk bersyukur atas kemewahan sekali setahun.
Ini semua bakal berlaku gara-gara si korona celaka. Habis semua pergerakan manusia dibatasi. Ramadhan tahun ini menghampiri kepastian, tidak seindah, sebahagia dan terlebih kepura-puraan seperti selalunya.
Akan tetapi di sebalik kekejaman, brutalitas korona, tersimpan suatu rahmat yang mesti diteliti. Ada teladan yang wajib diambil kira oleh perut-perut kempis nan kosong yang ditemani rasa kontang umpama terdampar di Sahara.
Noam Chomsky baru-baru ini mengatakan di Al Jazeera,
“Mungkin, coronavirus adalah rahmat, ia mungkin membawa umat berfikir tentang jenis dunia yang bagaimana mereka mahukan.”
Dia menyambung,
“Kita harus berfikir tentang kemunculan krisis ini, mengapa terdapat krisis coronavirus? Ini adalah kegagalan pasaran yang besar, ia terus kembali ke intipati pasaran yang diburukkan lagi oleh intensifikasi neoliberal yang ganas dalam masalah sosial-ekonomi yang mendalam.”
Membayangkan persoalan Chomsky, hal dunia sekarang layaknya difikir semula.
Saat krisis tiba (korona, sudah tentu), umat menyaksikan rekayasa sosial dan politik yang selama ini menjadi tiang kondisi kehidupan sebenarnya rapuh. Ia menyatakan jelas ada keselingkuhan yang wujud dalam strata sosial. Persinggungan antara kelas sosial benar-benar wujud; bukan surrealisme, bukan dongeng.
Misalnya ketika kelas kaya memerli bantuan diberikan kepada golongan bawahan. Mereka mendabik dada bahawa kelas mereka lah yang selama ini menggerakkan ekonomi. Bahawa mereka lebih layak menerima dana berbanding kelas pekerja bekerja lebih 8 jam sehari.
Walau sekarang, meski mereka (kelas kaya) dihurung jutaan kerugian, kemakmuran hidup mereka sedikit pun tidak terjejas.
#stayathome bagi golongan elit kaya adalah sebuah sarkas mewah yang menghiburkan. Aktiviti #stayathome yang mereka sogokkan kepada orang awam ternyata sesuatu yang menjengkelkan.
Contohnya biliyunair David Geffen. David baru-baru ini memuatnaik gambar bot mewahnya berkapsyen ‘Sunset last night… Isolated in the Grenadines avoiding the virus. I’ m hoping everybody is staying safe’ langsung mempersoal semula soalan Chomsky – ‘dunia yang bagaimana kita impikan?’
Yang mesti diperakui, mempersoalkan status kelas kaya bukannya berdasarkan kebencian menonong ke atas mereka. Malah ia adalah persoalan sakral tentang keyakinan manusia terhadap sebuah sistem yang kacau dan membeza-bezakan?
Padahal, di musim korona, kita senang menyambut sebuah sistem yang lebih mensejahterakan semua. Bukan sahaja bantuan diagihkan secara samarata, manusia malah memberdayakan sebuah aturan yang berpaksi kepada semangat persaudaraan, merentas kaum, bangsa dan agama (atau tidak beragama). Program-program yang digerakkan ahli komuniti, kelas pekerja bisa saja disalurkan kepada yang memerlukan.
Langsung praktis begini membayangkan bahawa idea berkongsikan peluang dan kesempatan buat semua jiwa setiap adalah hal bukan utopis dan kesia-siaan yang tragis.
Korona adalah jelmaan Goliath, pengganas yang menakutkan. Tetapi di dalam masa yang sama, ia melewati kita dengan pengajaran.
Kini terpulang samada kita berkeputusan menjalani Ramadhan dengan kebosanan tanpa hiruk pikuk pembaziran atau menyedarkan tanpa lengah bahawa aturan dunia pantas memerlukan perubahan.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.