Rakyat Setuju Tidak Beraya, Tapi Adakah ‘Kerajaan Gagal’ Akan Berlaku Adil?

Selepas sekian banyak berita yang tular dan sebagainya tentang apakah nasib hari raya Aidilfitri tahun ini, juga selepas pelbagai penafian dibuat kerajaan kononnya berita palsu dan sebagainya, akhirnya semalam kerajaan sah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beberapa daerah di Selangor berserta SOP (Standard Operating Procedure) yang akan diguna pakai bagi sambutan Aidilfitri.

Rata-rata rakyat keseluruhan faham dan bersetuju perayaan hari raya tahun ini akan melalui situasi yang serupa seperti Aidilfitri tahun lepas. Kerana selepas lebih setahun dilanda pandemik Covid-19, keadaan kita sebenarnya masih tidak jauh berbeza. Jumlah kes positif harian masih lagi berlegar sekitar empat angka walaupun sudah setahun kita berperang melawan virus ini. Kes kematian juga terus meningkat manakala barisan hadapan di hospital masih lagi bertarung dalam keadaan tertekan dengan tenaga kerja serta kelengkapan yang tidak mencukupi. Dan walaupun proses vaksinasi sudah pun bermula, semua rakyat faham ianya berjalan dalam keadaan yang sangat lembap dan dicemari dengan salahguna kuasa serta isu memotong barisan.

Rakyat faham ini semua. Kerana rakyat tahu kerajaan yang ada ini bukan sahaja kerajaan yang tidak diundi rakyat, tetapi ia juga kerajaan yang gagal menjaga rakyatnya.

Tidak apalah. Rakyat tidak minta pun kerajaan ini. Ia dipaksa secara pengkhianatan dan komplot mereka yang mabuk kuasa.

Atas sebab ini jugalah kita semua redha dengan ketetapan yang dibuat oleh kerajaan gagal ini. Kita terima bahawa tahun ini seperti tahun lalu kita tidak boleh balik kampung beraya. Kita terima SOP yang ditetapkan untuk hari raya dan apakah sekatan atau halangan yang perlu kita patuhi.

Tetapi yang menjadi persoalan sekarang di kalangan rakyat, jika sekatan rentas negeri dilaksanakan dan SOP dikuatkuasakan untuk Aidilfitri ini, adakah ia akan dilakukan dengan adil atau masih akan timbulkan isu dwistandard atau pilih kasih yang telah banyak berlaku sebelum ini?

Kita rakyat kini sedang mencongak, golongan kayangan manakah nanti yang akan bebas ke sana ke sini di hari raya, artis atau selebriti mana yang boleh buat majlis sesuka hati, juga menteri atau golongan elit mana yang terang-terang melanggar SOP dan sekadar dibuka kertas siasatan sahaja nanti.

Bukanlah kita rakyat bersikap pesimis atau tidak menaruh sebarang kepercayaan kepada kerajaan gagal (walaupun hakikatnya, memang hampir tiada siapa lagi yang masih percaya pada kerajaan gagal ini). Tetapi insiden-insiden yang banyak berlaku sebelum ini telah menimbulkan syak wasangka yang sangat luar biasa.

Dari kes besar seperti golongan kayangan istana yang dilaporkan menerima vaksin haram, hinggalah ke majlis kahwin di kaki Jabal Rahmah empat tan bunga segar, juga ke lawatan lokasi Chatime di Langkawi dan beli permaidani di Nilai, ataupun ke sambutan kelahiran ibarat pesta dalam wad hospital dan majlis tahnik melibatkan agamawan elit. Semua ini adalah insiden yang jelas berlaku, menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat tetapi pada masa yang sama dilihat seperti tidak menerima apa-apa hukuman dari kerajaan gagal.

Tidak cukup dengan itu, timbul juga persoalan meragukan tentang sop yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, banyak aktiviti yang dilarang beroperasi tetapi pada masa sama sektor kilang diberi lampu hijau walaupun statistik menunjukkan sektor inilah penyumbang utama penularan Covid-19. Begitu juga dengan kebenaran rentas negeri untuk tujuan pelancongan, tetapi tidak untuk ziarah kekeluargaan sedangkan kita tahu risiko jangkitan lebih tinggi dalam aktiviti pelancongan. Dan dalam Ramadan ketika masjid atau surau dilarang menganjurkan aktiviti berbuka puasa atau moreh, kerajaan gagal boleh pula membenarkan hotel dan rumah kelab untuk mengadakan buffet buka puasa.

Semua perkara ini juga menjerumus kepada persepsi wujudnya dwistandard oleh kerajaan gagal dalam menangani pandemik. Dwistandard yang sebenarnya berkait rapat dengan sistem kasta antara kayangan dan marhaen, atau kaya dan miskin. Seolahnya SOP yang digunapakai ada dua set, satu untuk kayangan dan satu untuk marhaen. Begitu juga dengan hukuman yang berbeda, apabila peniaga kecil didenda sehingga RM50,000 tetapi pemilik kelab malam hanya didenda RM5,000 sahaja.

Justeru rakyat kini melihat sejauh manakah PKP dan SOP hari raya Aidilfitri bakal dikuatkuasakan kelak. Sama ada ia akan dibuat secara adil tanpa mengira darjat, pangkat atau harta; atau adakah ianya masih lagi akan memberi layanan istimewa kepada golongan kayangan, bangsawan atau hartawan.

Komen