Rakyat Perlu Bijak Manfaat Bantuan Kerajaan

Sejak tercetusnya wabak COVID-19, pihak kerajaan telah mengumumkan pelbagai bantuan, inisiatif dan insentif untuk rakyat demi mengharungi kesan penularan wabak tersebut. Inisiatif ini termasuklah pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19. Pengumuman ini sekali gus menzahirkan komitmen dan keikhlasan pihak kerajaan yang cuba membantu segenap lapisan anggota masyarakat agar dapat meneruskan kelangsungan kehidupan ketika mengharungi ancaman wabak ini.

Ironinya, bantuan kerajaan sudah ada, cuma persoalannya sekarang ialah sejauh mana setiap segmen dalam anggota masyarakat baik sebagai individu bujang, ketua keluarga mahupun sebagai peniaga bijak memanfaat segala bantuan, insiatif dan pemberian kerajaan ini. Watak Mak Cik Kiah yang dijadikan analogi menggambarkan jumlah manfaat hasil bantuan dan penjimatan yang bakal diperolehi adalah sebanyak RM8,664, namun apakah Mak Cik Kiah dan rakan-rakannya mampu dan bijak menguruskan sumber kewangan ini? Harus diingat kesan wabak ini bakal berterusan untuk satu tempoh masa yang panjang, justeru Mak Cik Kiah dan seluruh rakyat Malaysia perlu merancang agar segala bantuan yang diterima ini dapat digunakapakai sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang dan bukannya habis dibelanjakan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas memperolehnya.

Antara golongan yang menerima kesan langsung ialah, para peniaga dan penjaja kecil-kecilan seperti peniaga nasi lemak dan pisang goreng serta pekerja gaji hari yang putus pendapatan sepenuhnya dan hanya bergantung harap kepada simpanan yang ada, dan kita yakin tabung simpanan golongan yang berpendapatan rendah dan hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini pastinya tidak banyak atau hampir tidak ada. Jadi golongan ini cukup tersepit untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh PKP serta juga pasca PKP ini dan kita percaya pemberian bantuan tunai kepada isi rumah termasuk anak yang bujang pasti melegakan dan menggembirakan mereka. Namun untuk mengekalkan kelegaan ini, syarat utamanya ialah wang tunai tersebut perlu dibelanjakan dengan berhemat.

Banyak sebenarnya inisiatif untuk rakyat memperoleh wang tunai telah diumumkan termasuklah tindakan kerajaan membenarkan skim pengeluaran KWSP i-Lestari sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan serta membenarkan pengeluaran prapersaraaan dari Akaun B Skim Persaraan Swasta (PRS) sehingga RM1,500 bagi setiap ahli. Malah penjimatan dari penangguhan bayaran pinjaman seperti pinjaman kenderaan, PTPTN dan diskaun bil elektrik juga bakal menambah duit poket rakyat untuk enam bulan yang akan datang. Ini menunjukkan rakyat akan memiliki kemampuan tunai di tangan yang lebih baik dan situasi itulah sekali lagi mencetuskan kerisauan kerana khuatir Mak Cik Kiah dan anggota masyarakat yang lain tidak menggunakannya untuk tujuan yang sebetulnya seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Justeru dalam keadaan yang sangat mencabar dan tidak menentu ini masyarakat perlu bijak menguruskan wang tunai yang bakal diterima ini agar tidak menyesal kemudian hari. Berbelanjalah dengan penuh berhemat, berhati-hati dan berjimat cermat supaya setiap sen yang dibelanjakan mendapat manfaat yang sewajarnya untuk jangka masa pendek dan sederhana. Jangan sesekali lupa daratan bila ada wang tunai di tangan sehingga mula berjoli atau berbelanja secara boros.

Bagi para peniaga kecil-kecilan yang bakal mendapat pengecualian bayaran sewa bulanan serta kemudahan pinjaman pula wajar menggunakan ruang ini untuk menampung kerugian serta menambah modal pusingan perniagaan bagi memulakan perniagaan bila berakhirnya PKP ini. Jangan sia-siakan kemudahan tambahan yang kerajaan sediakan seperti dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kemudahan seperti ini bakal membuka peluang dan memberi harapan besar kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, pengendali bas dan teksi, industri kreatif serta peniaga dalam talian. Justeru dengan adanya inisiatif seumpama ini, golongan peniaga perlu fokus kepada persediaan untuk membangunkan semula perniagaan dengan segera sejurus selepas PKP. Malah para peniaga pasar Ramadan juga wajar manfaat kemudahan e-bazar Ramadan iaitu aktiviti jual beli juadah berbuka dalam talian yang bakal dilaksanakan tahun ini bagi menggantikan pasar Ramadan secara fizikal seperti sebelum ini. Sekurang-kurangnya dapatlah sedikit tambahan duit poket untuk menampung perbelanjaan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Secara prinsipnya banyak yang telah diumumkan dan disediakan oleh pihak kerajaan demi kesejahteraan hidup rakyat ketika berhadapan dengan krisis seperti ini. Sepatutnya tidak ada lagi rungutan atau keluh kesah kerana hampir setiap golongan dapat menikmati bantuan yang telah diumumkan. Soal apa yang disediakan ini sedikit atau banyak, cukup atau tidak adalah perkara kedua dan ianya sangat subjektif kerana bergantung kepada penilaian dan perbelanjaan setiap individu. Oleh itu terpulanglah kepada kita sendiri sama ada mahu mengoptimumkan segala pemberian ini sebaik yang mungkin atau leka, cuai dan boros sehingga habis dibelanjakan semua yang diperolehi dalam sekelip mata. Tuntasnya, jadilah Mak Cik Kiah yang sentiasa beringat dan bijak berbelanja dengan menguruskan sumber kewangan yang ada secara efisien.

Komen