Ragam Pengundi Baru Menghitung Politik

Setiap kali musim pilihan raya sampai, tidak sah kalau tidak menceritakan isu politik  semasa dengan orang yang kita rapat, baik keluarga mahupun  rakan-rakan sekeliling. Ini lumrah biasa di Malaysia, lagi-lagi musim pilihan raya makin menghampiri kita.

Ketika sedang menjamu selera makan malam bersama saudara mara saya beberapa minggu lalu, adik saudara saya yang berusia awal 20-an dengan nada teruja bertanya “Semua dah semak jadi pengundi?”. Ada yang jawab sudah, ada yang belum.

“Kakak tak payah mengundi sebab tak pernah daftar”. Jawab salah seorang saudara saya berusia awal 30-an,  yang juga merupakan kakak sebenar kepada adik saudara yang bertanya tadi. “Eh, semua orang dah boleh mengundi. Apa nama tu…. Undi18 dan daftar automatik”. Balas adiknya dengan muka hairan.

Kami semua ambil telefon masing-masing untuk menyemak daftar pengundi kakak saudara saya itu di MySemakSPR. Lawaknya, kakak saudara saya masih percaya dia tidak perlu mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Haaa, ini adalah kak. Parlimen Batu, sama macam adik”, kata adiknya. “Oh, dah boleh undi ke? Kenapa tak ada orang bagitahu?”, dia jawab dengan gelabah. “Asal kakak tak daftar mengundi dulu?”, tanya emaknya.

“Dah mak pun tak suruh, universiti pun tak bagitahu, mana lah tahu kena daftar.” jawabnya. Macam mana nak undi? Nak undi siapa dekat sana nanti?”. Tanya kakak saudara lagi.

“Nanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan beritahu senarai calon 5 November ini. Tapi, Pakatan Harapan (PH) umumkan Prabhakaran jadi calon dekat Batu. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) belum umum calon”, saya terangkan kepada dia.

“Lah, tak nak lah undi Praba tu.” jawab kakak saudara saya itu dengan nada kecewa. Tapi, saya pelik bagaimana dia menolak Praba sedangkan dia tidak pernah mengundi dan kenal calon itu. “Kenapa tak nak undi Praba?” tanya saya.

 

“Sebab dulu ada nama boss kat tempat kerja nama Praba juga, tak suka dia sebab selalu buat perangai dan keras kepala.” Satu meja makan ketawa besar mendengar jawaban dia yang tidak masuk akal.

Pemikiran Ambil SPM

“Kakak nak undi Ismail Sabri boleh? Kakak kenal dia je sebab selalu keluar TV”, tambah kakak saudara saya. “Eh, kakak ni tak tahu ke, Ismail Sabri tu bertanding Pahang sana, awak undi di KL, mana boleh undi Ismail Sabri.”, jawab emaknya dengan suara tegas tapi santai. “Oh tak boleh eh?”, jawab kakak saudara saya dengan muka malu.

Kisah ini adalah cerita-cerita yang berlaku dalam kalangan rakyat. Inilah ragam pengundi baru menghitung politik dan ia satu cabaran besar buat negara untuk memastikan pengundi benar-benar memahami tanggungjawab mereka di peti undi.

Inilah nilai yang terpaksa dibayar apabila kesedaran mengenai pilihan raya langsung tidak berlaku di institusi pendidikan. Lebih kronik lagi apabila sebahagian pengundi baharu takut untuk mengundi kali pertama seolah-olah ianya hari pertama mengambil peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menjelang PRU15, pengundi Malaysia telah bertambah kepada hampir 21.1 juta orang. Sejak Undi18 dan pelaksanaan daftar automatik dimulakan pada 15 Disember 2021, berlaku penambahan sebanyak 5.8 juta orang pengundi baharu berusia 21 tahun ke atas dan 1.2 juta orang pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Bermaksud, mereka yang layak mengundi 21 tahun dan ke atas punca utama jumlah pengundi PRU15 bertambah. Golongan ini majoritinya pengundi atas pagar dan penyumbang besar kepada ekonomi negara, khasnya ibu bapa muda yang mahu membina kehidupan. Kakak saudara saya juga termasuk dalam golongan ini.

 Jentera parti dan calon bakal bertanding kali ini perlu menggunakan strategi berbeza memandangkan jumlah pengundi setiap kawasan secara puratanya bertambah. Adakah pengundi kali ini melihat calon sebagai taruhan utama atau parti politik?

Pilih Calon Menangkan Kerajaan

Ada yang melihat kepimpinan calon. Ada yang cenderung mengundi berdasarkan parti politik. Walau apa pun, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia masih berpegang kepada prinsip ‘parti mana yang menang banyak kerusi’ boleh menubuhkan kerajaan. Sebab itu, tidak realistik jika Ahli Parlimen itu menang di kawasannya tetapi partinya tidak berjaya menubuhkan kerajaan.

Menariknya, pengumuman calon bakal bertanding oleh parti politik kali ini agak tegang dan sengit. Situasi ini wujud kerana terdapat tekanan dan kepedulian rakyat yang mahu meletakkan calon berkualiti dan disenangi pengundi. Dan, banyak juga formula memilih calon ini telah berubah.

Contohnya Barisan Nasional (BN) yang kali ini meletakkan calon bukan orang tempatan di beberapa kawasan seperti Gerik, Sungai Buloh dan Alor Gajah. Ini merupakan satu percaturan baru kerana calon BN selalunya dipilih atas anak tempatan.

Terdapat juga kritikan daripada badan bukan kerajaan yang tidak berpuas hati kerana parti politik tidak memenuhi sasaran 30 peratus pemimpin wanita menjadi calon. Ketua Penerangan Wanita BN turut mengkritik kepimpinan BN yang gagal meletakkan 30 peratus calon wanita dalam PRU15.

Namun, kesemua persoalan mengenai calon bertanding akan terjawab pada 5 November ini dan 19 November pula akan menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan persekutuan. Apa yang semua parti politik harapkan adalah pengundi keluar mengundi beramai-ramai untuk melaksanakan amanah kepada negara.

Jika pengundi keluar beramai-ramai dengan kadar peratus keluar mengundi mencecah 80 peratus ke atas, persaingan parti politik bertambah sengit untuk membentuk kerajaan. Persoalannya, adakah kali ini kita akan menyaksikan kerajaan hegemoni dua pertiga semula di Dewan Rakyat atau Parlimen ‘tergantung’ kerana tiada parti politik memperoleh majoriti mudah?

Komen