Pada hari Rabu, 4 Ogos 2021 selepas Perdana Menteri, Mahiaddin Yassin mengumumkan beliau masih punya majoriti dan tidak akan meletak jawatan, seorang rakyat Malaysia mengambil keputusan untuk keluar dari rumahnya yang selesa dan duduk di siar kaki sebuah kedai kosong di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Di situ, beliau mendirikan khemah dan memulakan protes dalam bentuk mogok lapar, atau boleh juga disebut berpuasa dari makan untuk satu tempoh masa yang belum ditentukan.
Rakyat Malaysia itu bernama Nathaniel Tan dan beliau mengambil keputusan untuk mogok lapar atau berpuasa dari makan selagi lima tuntutannya tidak dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Lima tuntutan tersebut adalah:
- Bagi kuasa membuat keputusan (decision making power) sepenuhnya dalam semua hal Covid-19 kepada pakar-pakar, atau adakan sidang Parlimen dengan serta-merta.
- Menyediakan RM500 juta untuk peralatan perubatan di hospital Covid-19.
- Membenarkan setiap frontliner untuk mendedahkan situasi sebenar tanpa tapisan atau tindakan, dan menerbitkan semua data berkenaan Covid-19 tanpa sebarang tapisan.
- Menerbitkan senarai penuh syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi.
- Bekalan pelitup muka N95 dan hand sanitiser di semua hospital dan balai polis secara percuma.
Jika dinilai sepintas lalu, tuntutan beliau adalah berasas. Malahan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan sendiri dalam hantaran Twitter beliau menyatakan:
“Permintaan yang munasabah dan sederhana. Perjuangan yang tegas dan bermakna” @arul_psm
Dalam keadaan negara dilanda krisis pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, tuntutan atau permintaan Nathaniel Tan tidak sepatutnya timbul. Sebaliknya ia awal-awal lagi sudah dilaksanakan oleh kerajaan jika kita serius mahu menang bersama.
Ya, kuasa membuat keputusan hendaklah diserah kepada pakar bukannya pemain politik berkepentingan manakala hal-hal penting hendaklah dibahaskan di parlimen agar ia dapat diabsahkan secara wajar dan terbuka untuk penilaian rakyat.
Hospital yang menguruskan Covid-19 sepatutnya dilimpahkan dengan peruntukan bagi memastikan bekalan yang mencukupi, bukannya dipaksa menagih simpati dari NGO atau orang awam untuk sumbangan besar seperti ventilator hinggalah yang paling kecil seperti sarung tangan atau pelitup muka.
Manakala frontliner tidak wajar disekat dari mendedahkan perkara sebenar sehingga kerajaan boleh terus bersandiwara bahawa semuanya okey. Rakyat juga berhak tahu syarikat perkilangan apa yang dibenarkan beroperasi dan atas alasan apa, sedang kelengkapan penjagaan diri sewajarnya harus dibekalkan pada pihak perubatan dan polis yang merupakan dua benteng barisan hadapan kita di saat pandemik ini.
Namun sayang, kesemua perkara ini tidak dipedulikan oleh kerajaan yang ada kerana mereka lebih ghairah untuk terus kekal berkuasa di sebalik kegagalan yang sudah jelas terbukti. Kerajaan gagal yang ada kini sebenarnya bertanggung jawab di atas kes harian Covid-19 yang mencecah lima angka, kematian yang sudah menjangkaui lebih 10,000 nyawa akibat Covid-19 dan mungkin ratusan akibat bunuh diri serta hilangnya pekerjaan atau lingkupnya perniagaan rakyat dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa exit plan yang nyata.
Sudah 17 bulan kita berada di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal, tetapi apa yang kita lihat situasi menjadi lebih teruk dari sebelum PN berkuasa. Benar, sekarang zaman Covid-19 dan dunia secara global sedang berhadapan krisis kesihatan, ekonomi dan sosial. Namun itu bukan alasan untuk kita mudah memaafkan kerajaan PN bila mana angka-angka berkaitan Covid-19 tahun ini jauh lebih teruk berbanding tahun lepas. Kita sebagai rakyat wajib mempersoalkan, apa sudah jadi selama 17 bulan?
Selama 17 bulan ini bukan sahaja kesakitan dan kematian yang menimpa rakyat, tetapi juga kesusahan terutama dari segi ekonomi atau kewangan. Bukan sedikit yang terpaksa mengikat perut, berpuasa kerana tiada makanan yang cukup di rumah setelah kehilangan pendapatan kerana tiada pekerjaan atau tidak dapat berniaga.
Benar, rakyat telah lama berpuasa sebenarnya.
Hari ini, saya berkesempatan menziarahi saudara Nathaniel Tan di lokasi tempat beliau mogok lapar. Beliau berada dalam keadaan yang baik dan masih tetap bersemangat meneruskan mogok lapar beliau. Walaupun masih ada makanan yang cukup di rumah, Nathaniel Tan memilih untuk berpuasa seperti rakyat susah yang lain demi menyatakan dan mewujudkan kesedaran awam tentang lima perkara dalam tuntutan beliau.
Puasa Nathaniel Tan mungkin puasa seorang rakyat. Tetapi ia juga manifestasi mewakili seluruh rakyat yang lain dalam menuntut kerajaan untuk peduli dan melakukan apa yang wajar sebelum negara ini hancur ditelan pandemik.
Semoga saudara Nathaniel Tan terus kuat dalam perjuangannya dan terima kasih kerana berani bertindak untuk rakyat Malaysia yang lain.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.