PROGRAM PENYERAGAMAN HARGA 2024

Salah satu faktor kenaikan harga barangan runcit ialah kos pengangkutan untuk membawa barang tersebut dari pengilang/pembekal ke peruncit/pembeli.

Justeru tidaklah menghairankan jika harga sesetengah barangan runcit jauh lebih tinggi di kawasan pedalaman berbanding kawasan bandar kerana jarak yang jauh.

Prihatin dengan kos sara hidup yang tinggi di kawasan pedalaman dan luar bandar, kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan Program Penyeragaman Harga.

Objektif program ini adalah menyeragamkan harga tujuh barangan asas dan memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada pengguna di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Melalui program ini, kerajaan akan menanggung kos pengangkutan untuk tujuh barangan tersebut sebagai satu langkah intervensi supaya tidak berlaku kenaikan harga yang mendadak.

Untuk tahun 2024, sejumlah RM265 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan Program Penyeragaman Harga.

Ia terdiri dari dua komponen iaitu RM40 juta khusus untuk penyeragaman harga di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala RM225 juta untuk tujuan pengedaran barang perlu, LPG dan Community Drumming.

Program Penyeragaman Harga 2024 akan melibatkan kawasan pedalaman atau luar bandar di enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Labuan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sejumlah 1,727 point-of-sale akan diwujudkan supaya penduduk kawasan pedalaman atau luar bandar boleh membeli tujuh barangan tadi pada harga kawalan yang sama seperti di bandar.

Salah satu contoh keberkesanan Program Penyeragaman Harga adalah penurunan harga LPG tong 14 kilogram di Pensiangan, Sabah yang berjaya diturunkan ke harga RM26.60 setong berbanding harga sebelumnya iaitu RM65 setong.

Komen