PRN Sarawak: Menafikan Majoriti Dua Pertiga GPS

Ramai orang tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak (PRN Sarawak) kali ini masih mengekalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Politik Sarawak dilihat terus mendatar tanpa ada perubahan-perubahan besar yang mampu mencabar dominasi parti pemerintah dalam politik Sarawak. Sebab itu, Sarawak tidak pernah mengalami perubahan kerajaan negeri.

Dari sudut yang berbeza, PRN Sarawak kali ini mencatatkan jumlah calon paling banyak berbanding PRN lain. Ini juga memperlihatkan betapa gemuk dan sihatnya pesta demokrasi di Sarawak.

Kali ini, GPS mahu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu menang pilihan raya tanpa lambang ‘dacing’. Jika menang, ia akan mempertingkatkan kekuatan GPS sebagai ‘third force’ utama politik di peringkat pusat dan ‘apai besar’ di Sarawak. Dalam erti kata lain, PRN Sarawak lebih menumpukan perluasan kuasa GPS di peringkat tempatan dan pusat.

Adakah ini bermaksud pembangkang tidak mampu bersaing dengan sengit di dalam PRN Sarawak? Apakah perkara penting yang menjadi tumpuan utama dalam PRN Sarawak yang boleh menggugat kedudukan GPS sebagai ‘apai besar’ Bumi Kenyalang?

Jika pembangkang fikir isu tanah adat, Perjanjian Malaysia 1963, pembangunan infrastruktur dan kemudahan jalan raya, dan meningkatkan capaian Internet dapat menambat hati pengundi Sarawak, maka ternyata mereka telah kalah dari awal.

Pengundi Sarawak tahu, yang pakar dalam janji ‘bulan dan bintang’ ini adalah GPS. Pembangkang tidak mempunyai keupayaan melaksanakan janji-janji tersebut.

Apa yang perlu difokuskan parti pembangkang di Sarawak sepanjang tempoh berkempen adalah usaha menafikan majoriti dua pertiga atau mengurangkan kemenangan kerusi GPS di dalam DUN Sarawak.

GPS (dahulunya BN Sarawak) telah menguasai majoriti dua pertiga kerusi DUN Sarawak hampir lima dekad. Dan, selama lima dekad ini jugalah, pembangunan Sarawak berjalan dengan perlahan. Malah, jurang rakyat terpinggir di Sarawak masih melebar, khususnya dalam era pandemik.

Masalah ini berlaku kerana kedudukan majoriti dua pertiga GPS yang begitu selesa sehingga mereka tidak perlu mendengar pandangan pembangkang dan rakyat dalam menyelesaikan isu-isu mendasar.

Lihatlah bagaimana kerajaan Sarawak terkejar-kejar akan projek mega yang menggemukkan kocek sekerat dua pihak, bukan rakyat keseluruhan. Ini semua berlaku kerana tiada suara alternatif yang berkesan di DUN Sarawak untuk mengangkat suara rakyat yang terpinggir.

Pembangkang Perlu Menang 30 Kerusi

Fokus utama untuk menafikan majoriti dua pertiga GPS amat realistik. PRN Sarawak pada tahun 2016 menyaksikan GPS menang 72 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, iaitu lebih majoriti dua pertiga. Fenomena Adenan Satem atau ‘Tok Nan’, seorang tokoh yang kuat dan disegani lawan, telah melumpuhkan suara pembangkang di Sarawak yang hanya mendapat 10 kerusi ketika itu.

Pengganti Tok Nan, Abang Johari Openg, tidak mempunyai karisma dan kepimpinan yang sama seperti Tok Nan. Kelemahan Abang Johari terserlah apabila GPS (ketika itu BN Sarawak) hanya berjaya mempertahankan 19 kerusi parlimen dalam PRU14 jika dibandingkan 25 kerusi pada PRU13. Mereka kalah empat kerusi parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan dan dua kerusi lagi dengan calon bebas.

Kelemahan kepimpinan GPS yang hilang hala tuju selepas berlalunya era Tok Nan telah membuka sedikit ruang kepada pembangkang menonjolkan imej sebagai suara alternatif rakyat Sarawak.

Untuk menafikan majoriti dua pertiga GPS, parti pembangkang perlu menang 30 kerusi. Jika pembangkang berjaya memperolehi angka ini, tentunya politik Sarawak akan mengalami perubahan signifikan. GPS tidak boleh buat keputusan sesuka hati di Sarawak dan perlu berhadapan dengan pembangkang yang akan menyemak dan meneliti setiap langkah dibuat GPS.

GPS juga akan tertekan kerana orang Sarawak sudah ada alternatif baharu dalam memperjuangkan hasrat mereka.

Cuma, ia bergantung penuh kepada peratusan keluar mengundi dan penyatuan pembangkang di Sarawak, yang secara tradisinya berpecah-pecah, untuk bergerak sebagai satu blok yang mampu mengurangkan jumlah kerusi GPS.

Fokus Kos Sara Hidup Rakyat

 Parti-parti pembangkang di Sarawak juga perlu bijak menyusun langkah. Mereka perlu fokus kepada isu-isu asas iaitu kos sara hidup dan bebanan rakyat seperti kenaikan harga barang dan pendapatan rendah.

Ironinya, menteri yang gagal menurunkan harga barang di Malaysia ini pun adalah menteri dari GPS. Ia membuktikan betapa lemahnya pemimpin GPS dalam tadbir urus negara dan meringankan beban rakyat.

Maka, apakah rasionalnya memberi ruang kepada pemimpin lemah daripada GPS untuk mentadbir Sarawak dengan majoriti dua pertiga?

Segmen pengundi muda juga penting. Kelemahan pentadbiran terdahulu yang tidak membina ekonomi Sarawak secara inklusif dan hanya menguntungkan sesetengah pihak, menjadi punca anak muda Sarawak tidak yakin dengan peluang ekonomi yang ada di sana. Mereka lebih selesa bekerja di Semenanjung dan luar negara kerana pendapatan yang lebih lumayan.

Ia satu kerugian besar buat Sarawak apabila kerajaan terdahulu meminggirkan tenaga muda tempatan yang sepatutnya menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi Sarawak. Oleh itu, mana-mana parti pembangkang yang berjaya membuat tawaran terbaik kepada anak muda Sarawak mampu memberi saingan sengit kepada GPS.

Tidak usahlah pembangkang cuba membawa idea-idea yang besar dan tidak masuk akal sehingga ia gagal difahami orang Sarawak. Apa yang penting, pembangkang perlu memastikan setiap tawaran mereka mampu menggerakkan pengundi untuk keluar mengundi.

Hakikatnya, Sarawak memerlukan lebih ramai perwakilan blok pembangkang di DUN Sarawak. Kehadiran blok pembangkang ini penting dalam menekan kerajaan GPS lebih bertanggungjawab dan terbuka mendengar idea-idea baharu untuk menentukan hala tuju rakyat Sarawak. Jika tidak, GPS akan mendominasi pentadbiran negeri dan suara rakyat Sarawak terus terbungkam.

Komen