PRN Berasingan: Langkah Penting Mematangkan Demokrasi Malaysia

Pembubaran DUN Johor pada 1 Jun 2026 dan DUN Negeri Sembilan pada 5 Jun 2026 sekali lagi membuka ruang perbahasan lama dalam politik Malaysia: adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar diadakan berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU)? Dalam konteks demokrasi yang semakin kompleks, jawapannya semakin jelas. PRN berasingan dari PRU bukan sekadar wajar, malah baik untuk kematangan demokrasi Malaysia.

Selama bertahun-tahun, pilihan raya di Malaysia cenderung dilihat melalui lensa nasional. Apabila PRU dan PRN diadakan serentak, pengundi sering membuat keputusan berdasarkan isu besar persekutuan: siapa akan menjadi Perdana Menteri, parti mana membentuk kerajaan pusat, kedudukan ekonomi negara, dasar cukai, subsidi, kos sara hidup dan kestabilan politik nasional. Semua itu penting. Namun, ia juga menyebabkan politik negeri tenggelam di sebalik politik nasional.

PRN yang berasingan memberi ruang kepada rakyat membuat penilaian yang lebih jelas. Ketika PRU, mandat yang diberikan ialah mandat persekutuan. Rakyat menilai dasar nasional, prestasi kementerian, hubungan antarabangsa, ekonomi makro dan hala tuju negara. Tetapi ketika PRN, fokusnya patut kembali kepada negeri: siapa paling layak mentadbir tanah, air, pembangunan tempatan, pihak berkuasa tempatan, kebajikan negeri, pelaburan negeri dan penyampaian perkhidmatan di peringkat negeri.

Di sinilah kelebihan utama PRN berasingan. Ia memaksa parti politik berbicara isu negeri, bukan sekadar menumpang sentimen nasional. Dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, rakyat berhak menilai rekod kerajaan negeri secara khusus, bukannya dibayangi rekod kerajaan persekutuan. Adakah bekalan air diurus dengan baik? Adakah tanah rakyat, kampung tradisi, rancangan perumahan dan kawasan industri ditadbir dengan telus? Bagaimana negeri menangani banjir, hakisan pantai, pencemaran sungai, kesesakan bandar, peluang pekerjaan anak muda dan pembangunan luar bandar? Ini semua bukan isu besar di peringkat nasional tetapi isu setempat yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat negeri tersebut.

Apabila PRN disatukan dengan PRU, isu-isu sebegini mudah hilang dalam hiruk-pikuk kempen nasional. Calon DUN mungkin menang bukan kerana rekodnya baik, tetapi kerana gelombang nasional memihak kepada partinya. Sebaliknya, calon negeri yang berprestasi baik juga boleh kalah hanya kerana populariti parti pusat sedang merudum jatuh. Ini tidak adil kepada demokrasi negeri. PRN berasingan membetulkan keadaan itu dengan memisahkan dua jenis mandat: mandat negeri dan mandat persekutuan.

Kedua, PRN berasingan mengukuhkan autonomi negeri. Malaysia ialah sebuah negara Persekutuan, bukan sebuah negara unitari yang segala-galanya ditentukan oleh Putrajaya. Negeri mempunyai kuasa, tanggungjawab dan kepentingannya sendiri. Maka politik negeri mesti diberi ruang hidup yang tersendiri. Johor mempunyai keunikan sempadan antarabangsa, hubungan ekonomi dengan Singapura, kewujudan Iskandar Malaysia, kawasan industri dan isu kos sara hidup rentas sempadan. Negeri Sembilan pula mempunyai cabaran berbeza: pembangunan Seremban, keseimbangan bandar-luar bandar, tanah adat, pelaburan industri, kesinambungan pentadbiran negeri dan juga keunikan Adat Perpatih dan sistem pemerintahan yang berlainan dengan negeri beraja yang lain.

Perbezaan ini tidak boleh disapu rata di bawah slogan nasional semata-mata. PRN berasingan membolehkan rakyat bertanya soalan yang lebih tepat tentang isu-isu negeri. Apakah model pembangunan yang sesuai untuk negeri ini? Apakah keutamaan kerajaan negeri lima tahun akan datang? Bagaimana hasil negeri selayaknya digunakan? Apakah hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat memberi manfaat kepada rakyat, atau sekadar menjadi modal politik?

Ketiga, PRN berasingan memupuk demokrasi matang. Rakyat tidak lagi dipaksa melihat politik sebagai satu pertandingan tunggal antara blok nasional. Mereka boleh memilih kerajaan pusat daripada satu gabungan, dan kerajaan negeri daripada gabungan lain, jika itu yang mereka fikir terbaik. Inilah demokrasi yang lebih dewasa. Pengundi tidak harus dianggap hanya mengundi logo secara membuta tuli. Mereka mampu membezakan prestasi Ahli Parlimen dan ADUN, antara dasar nasional dan dasar negeri, antara kegagalan pusat dan kegagalan negeri.

Budaya ini penting kerana ia mengajar parti politik supaya tidak malas. Parti yang kuat di peringkat nasional belum tentu boleh mengambil mudah sokongan di negeri. Begitu juga kerajaan negeri tidak boleh berlindung di sebalik populariti pemimpin pusat. Setiap tingkat kuasa perlu dipertanggungjawabkan secara berasingan. Inilah asas semak dan imbang yang sihat.

Keempat, PRN berasingan menyuburkan federalisme Malaysia. Federalisme bukan sekadar istilah dalam buku Perlembagaan. Ia mesti hidup dalam amalan politik. Apabila negeri diberi ruang untuk menentukan mandatnya sendiri, rakyat lebih sedar bahawa Malaysia dibina daripada negeri-negeri yang mempunyai sejarah, identiti, keperluan dan keutamaan berbeza. Johor bukan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan pula bukan boleh disamakan dengan negeri-negeri yang lain. Sabah dan Sarawak pula mempunyai kedudukan yang jauh lebih khusus dalam kerangka Persekutuan.

Memang benar PRN berasingan menuntut kos, tenaga dan masa. Tetapi demokrasi memang memerlukan pelaburan. Kos pilihan raya tidak wajar dilihat semata-mata sebagai pembaziran jika ia menghasilkan mandat yang lebih jelas, penilaian yang lebih adil dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab. Yang membazir bukan pilihan raya itu sendiri, tetapi politik yang gagal menjawab keperluan rakyat selepas mandat diberikan.

Akhirnya, PRN berasingan menjadikan rakyat lebih berkuasa. Mereka tidak hanya memilih kerajaan lima tahun sekali dalam satu gelombang besar, tetapi diberi peluang menilai dua tingkat pemerintahan secara lebih teliti. Dalam negara Persekutuan seperti Malaysia, ini bukan kelemahan tetapi satu kekuatan. Demokrasi yang baik bukan demokrasi yang tergesa-gesa menyatukan semua perkara, tetapi demokrasi yang tahu membezakan mandat, tanggungjawab dan kuasa.

PRN Johor dan Negeri Sembilan seharusnya dilihat dalam kerangka ini. Bukan sekadar pertandingan parti, bukan sekadar perebutan kerusi, tetapi satu peluang untuk mematangkan demokrasi Malaysia agar menjadi demokrasi yang lebih jelas, lebih tempatan, lebih bertanggungjawab dan lebih setia kepada semangat federalisme.

Komen