Kita lahir dalam masyarakat yang gemar untuk menuding jari kepada orang lain tanpa memeriksa diri mereka terlebih dahulu. Apabila negara menghadapi krisis seperti kekurangan pekerjaan, mata wang jatuh atau lambakan skandal politik, kita cenderung untuk menyalahkan orang lain. Ramai politikus yang sering mengazankan telinga rakyat tentang perlunya mereka bersyukur dan berterima kasih kepada ahli politik yang selama ini bersusah payah untuk membangunkan negara. Mereka sering “menyumpah” rakyat yang tidak memberi sokongan sebagai golongan yang tidak bersyukur dan pendek akal. Kebanyakan rakyat pula pastinya akan melaknat politikus-politikus yang mereka tidak gemari dengan pelbagai gelaran dan maki hamun untuk memuaskan hati mereka. Alangkah lucunya sebuah negeri yang rakyatnya hanya tahu melaknat, dan kepemimpinannya menyumpah-menyumpah orang yang memberikan mereka mandat!
Salah Siapa Sebenarnya?
Kitaran “tuduh-menuduh” ini tidak akan berhenti selagi masyarakat kita enggan untuk membeli cermin bagi melihat diri mereka. Sebelum mana-mana politikus “menyumpah” rakyat yang tidak memberi undi kepadanya, wajar dia bertanya kepada diri tentang bagaimana prestasinya ketika memimpin.
Adakah kebajikan dan hak-hak rakyat terbela? Atau koceknya sahaja yang semakin hari semakin berat. Bagi rakyat pula, sebelum “melaknat” mana-mana pemimpin politik, wajar kita bertanya kepada diri kita; adakah kita telah memberi tekanan yang cukup kepada pemain politik negara supaya melakukan kerja-kerja mereka dengan betul? Kebanyakan kita hanya gemar untuk berbaring di katil yang empuk semata-mata sambil mengharapkan negara ini akan menjadi lebih baik. Perubahan memerlukan keringat dan air mata. Kita juga harus sedar, pemimpin-pemimpin yang ingin “dilaknat” oleh rakyat ini adalah “pilihan rakyat”. Rakyat juga sedikit sebanyak perlu bertanggungjawab dengan wakil-wakil yang mereka pilih. Sebelum “melaknat”, mereka perlu selalu memberikan tekanan kepada ahli-ahli politik supaya melakukan kerja mereka dengan betul.
Jika kita bertanya kepada mana-mana rakyat Malaysia; adakah mereka mahu Malaysia menjadi negara yang lebih baik? Pastinya mereka akan menjawab “ya” dengan penuh semangat. Malangnya kebanyakan mereka yang inginkan perubahan pada negara ini gagal dalam memberi perhatian dalam isu-isu yang penting. Kebanyakan mereka lebih mengutamakan isu-isu mengarut seperti jantina sebenar seseorang artis, video maksiat atau isu-isu picisan yang melibatkan aib orang lain. Media sosial telah menjadi pil khayal kepada kebanyakan rakyat daripada membincangkan dasar dan polisi yang boleh membantu menjadikan negara lebih baik. Lihat sahaja pada perbincangan-perbincangan bermanfaat, pasti sambutannya tidak semeriah rancangan-rancangan hiburan. Namun, kita tetap konsisten katakan kita mahu negara ini menjadi lebih baik!
Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya
Konsep “sumpah-laknat” ini sebenarnya bermula daripada peringkat universiti lagi, kebanyakan ahli majlis perwakilan pelajar gemar untuk menyumpah mahasiswa yang sering mempersoalkan kerja-kerja mereka. Kemudian mahasiswa yang tidak sukakan MPP pula akan melaknat wakil-wakil mereka sendiri. Sudah masanya budaya ini dihentikan buat selamanya kerana ia tidak akan menjadikan Malaysia lebih baik. Kita harus mula bertanya kepada diri kita, apakah kita sudah memainkan peranan yang betul dalam usaha untuk memajukan negara? Atau sekadar menawarkan sumpah dan laknat semata-mata?
Jika rakyat di negara ini lebih cakna dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli MPP/politikus, saya percaya golongan “elit” ini pasti akan khuatir untuk melakukan apa-apa penyelewengan kerana tahu akan mendapat tekanan yang tinggi daripada pemberi amanah. Mahasiswa di kampus harus memulakan budaya memberi tekanan secara sihat kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa supaya melakukan kerja-kerja mereka dengan penuh amanah. Mudah-mudahan budaya ini boleh diteruskan selepas meninggalkan kampus kelak. Tolak pemimpin mahasiswa yang tidak matang, tidak amanah dan hanya tahu mengampu “orang-orang besar” semata-mata.
Mudahnya Kita Dibohongi
Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang bijak dalam menilai dan berfikiran rasional ketika bertindak. Saya cukup aneh apabila masih terdapat ramai orang yang terpedaya dengan taktik-taktik murahan yang digunakan oleh politikus untuk meraih sokongan. Contoh yang paling mudah adalah menggunakan berita yang berat sebelah untuk memberi gambaran yang buruk ahli politik lawan. Kebanyakan rakyat terlalu mudah untuk percaya berita yang mereka lihat atau baca. Seharusnya sikap melakukan kajian dan perbandingan menjadi amalan utama penyokong-penyokong politik yang ada di Malaysia, supaya tidak mudah menjadi buah catur yang diketawakan di dalam bilik berhawa dingin mereka.
Selaku generasi baharu, saya sudah muak dengan politikus yang terlalu retorik dan rasis dalam ucapan-ucapan politik. Negara kita sudah merdeka sekian lama, pelbagai bangsa tinggal di tanah air kita dengan penuh harmoni. Malangnya, setiap kali musim pilihan raya tiba, akan kedengaranlah Cina mahu ambil alih Malaysia, atau Melayu tidak sukakan Cina. Bukankah lebih baik jika pergaduhan itu adalah berkisarkan polisi dan dasar. Tugas rakyat pula bukan untuk mengintai “taqwa” seseorang pemimpin, kerana ia tidak dapat dilihat. Tugas rakyat adalah membandingkan polisi dan dasar yang ditawarkan parti-parti politik yang bertanding, kemudian membuat pilihan yang tepat.
Rahman Imuda adalah Yang Di Pertua Ikatan Anak Muda Tawau, Ketua Editor di Nadi Mahasiswa Malaysia dan juga ORANGKATA. Beliau telah menulis dua buku bertajuk Mahasiswa Bukan Macai Pendidikan Bukan Politik dan Malaysia Tamat Tempoh.