SELEPAS hampir tiga minggu berlalu usai perletakan jawatan mantan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik, ramai yang masih cuba merungkai misteri di sebalik berita penuh kontroversi tersebut. Para penyokong yang mengepalai petisyen terus berasa kecewa kerana suara mereka dilihat tidak langsung mendapat perhatian. Siti Kasim dan kumpulan wartawan berhati sebusuk bangkai mungkin juga sudah berhenti kegembiraan mereka meraikan pengunduran tersebut dan kini beralih arah untuk mencari mangsa lain sumber menaikkan rating media mereka.
Bagi kita warga yang hina ini, kita cuma melihat permainan demi permainan dipersembahkan oleh ahli politik tanpa mengetahui hujung dan pangkal, sambil nasib kita yang hina dan anak cucu cicit kita terus menjadi pertaruhan. Seperti kebiasaan, Menteri Pendidikan datang dan pergi, maka setiap kali ketibaannya kita akan melihat perubahan demi perubahan yang cuba dibawa, yang akhirnya pasti akan pergi bersamanya setelah tamat tempoh “pemerintahannya” di portfolio kanan kerajaan tersebut.
Namun apa yang kita lihat, ketika Dr. Maszlee dilantik sebagai Menteri Pendidikan, perubahan yang dibawa memberi keceriaan kepada ramai pihak terutamanya guru, murid dan juga ibu bapa (yang waras), walaupun tidak dinafikan segelintir mereka yang berhati sebusuk bangkai tidak boleh menerima perubahan yang cuba dibawa. Perbezaan yang dapat dilihat ketara dibandingkan dengan era Menteri Pendidikan yang terdahulu ialah, kita meletakkan seorang ahli akademik untuk menerajui portfolio pendidikan, bukannya seorang ahli politik. Sesuatu yang sudah lama sepatutnya kita lakukan.
Analogi kebodohan meletakkan orang yang salah di posisi yang salah boleh juga dilihat ketika Isa Samad dilantik menjadi Presiden Persatuan Tinju Malaysia, atau pun Shahidan Kassim sebagai Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia. Tapi itu cerita lain.
Segala perubahan yang dibawa, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadi good governance yang memburu Najib Razak dan Rosmah Mansor sebelum ini, pagi petang siang dan malam kerana korupsi dan salah guna kuasa, dilihat oleh ramai warga sebagai satu kesinambungan kepada usaha berterusan Pakatan Harapan untuk lari dari imej Barisan Nasional.
Namun sebenarnya apa yang dibawa oleh Dr. Maszlee adalah bertentangan dengan norma seorang ahli politik, baik kerajaan mahu pun pembangkang. Segala ketelusan (transparency) yang cuba dibawa dalam “mengagihkan” RM64.1 bilion peruntukan di bawah Kementerian Pendidikan rupanya bukanlah garisan sebenar yang telah dilukis oleh mereka yang di atas. Segala pembaharuan “pantas” yang cuba diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan rupanya telah menaburkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain, yang sebelum ini hidup senang lenang dibuai mimpi pagi petang siang dan malam.
Selepas hampir tiga minggu perletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, kerajaan amnya dan Mahathir Mohamad khususnya, selaku negarawan ulung dan ayahanda yang dilabelkan oleh Dr. Maszlee dalam sidang akhbarnya pada 2 Januari lepas, masih lagi berhutang dengan kita warga yang hina dina ini.
Selayaknya Mahathir Mohamad secara jujur memberitahu kita rakyat yang sedang bermimpi bahawa masa depan pendidikan anaknya berada pada landasan yang tepat, kalau tidak setanding Finland dapat menjadi seperti Singapura pun sudah memadai – mengapakah mimpi kami diganggu? Mengapa kelegaan lebih 400 ribu para guru dengan pendekatan baru yang dibawa mengembalikan tugas guru yang hakiki iaitu mengajar dan mendidik, kini berdebar-debar menanti apakah pula kecelakaan yang bakal menimpa profesion mereka? Atau paling tidak ibu bapa perlu diberitahu mengapa dan sampai bila anak-anak kami akan berterusan menjadi tikus makmal tempat Menteri Pendidikan yang baharu pula untuk melaksanakan “ujikaji” terbarunya?
Mahathir Mohamad – ya masih lagi seorang lelaki bernama Mahathir Mohamad yang sebenarnya tidak pernah berubah pun. Selama tiga minggu ini kita mendengar Mahathir Mohamad merepek dan merapu dengan pelbagai alasan pengunduran Dr. Maszlee atas nasihatnya kerana bermacam punca. Jika kita masih waras dan tidak “merepek” seperti Mahathir Mohamad kita pasti boleh mengimbau semula bagaimana ratib yang serupa diberikan setiap kali timbalannya dahulu berundur. Itu pun cerita lain.
Tapi yang perlu diceritakan di sini, ialah bukannya menamakan diri sendiri sebagai pemangku – itu skrip yang serupa pasca PRU14 yang membawa kepada perlantikan Dr. Maszlee. Melantik diri sendiri sebagai Menteri Pendidikan, walaupun bersifat sementara bukan sahaja bertentangan dengan manifesto yang dijaja selama ini (Ah! Bullshit manifesto itu bukan kitab suci!) tetapi juga menafikan fokus seorang individu untuk menerajui portfolionya. Sudah lupa dengan zikir suci Abang Mat Sabu, bagaimana Najib memberitahu kepada Najib untuk meminjam duit yang kemudiannya diluluskan oleh Najib? Jangan tanya kepada Abang Mat Sabu, dia mungkin sudah lupa kerana jetlag, selalu sangat naik kapal terbang.
Mari kita lihat semula seimbas lalu apa yang dibebelkan oleh Mahathir Mohamad susulan perletakan jawatan tersebut dan kesimpulan yang boleh kita ambil sebagai pedoman ke manakah hala tuju kerajaan Pakatan Harapan di bawah pemerintahan Mahathir Mohamad.
Pemberian sarapan pagi percuma tanpa mendapat nasihat kabinet – susulan daripada pembentangan laporan UNICEF oleh Dr. Muhammed Abdul Khaled kepada kabinet berkaitan anak-anak yang tidak mendapat nutrisi seimbang, saranan diberikan kabinet kepada Kementerian Pendidikan untuk menangani masalah tersebut dengan memperkenalkan program sarapan pagi percuma, yang sebenarnya bukan benda baharu tapi sudah diperkenalkan 40 tahun dulu. Mungkin ada yang terlupa (baca: nyanyuk) maka dikhabarkan bahawa ia diperkenalkan tanpa mendapat kelulusan kabinet. Mahathir Mohamad sendiri pada Ogos 2018 telah menyatakan bahawa kerajaan mempunya dana untuk program tersebut. Jadi siapa pula yang bergebang Lim Guan Eng terkejut bagaimana mahu mencari duit secara tiba-tiba untuk tujuan tersebut?
Apa yang kita dapat lihat pada hari ini? Ya program sarapan pagi percuma diteruskan cuma untuk murid tidak berkemampuan. Sedangkan pada masa sama kerajaan boleh sahaja menghulurkan duit untuk disedekahkan melalui tiga syarikat penyedia perkhidmatan e-wallet. Siapa yang mendapat keuntungannya hasil peruntukan RM450 juta program ini? Tiga syarikat bertuah yang selama ini tugasnya basuhkan tangan Mahathir Mohamad selepas dia makan, basuhkan kaki Mahathir Mohamad sebelum dia masuk tidur, dan syarikat ketiga – kau bayangkanlah sendiri kerja mereka basuh apa.
Melangkaui batas yang bertentangan dengan dasar luar Malaysia – bullshit apa yang sedang disurahkan kepada rakyat Malaysia ini? King Salman Centre for Internation Peace (KSCIP)? Mahathir Mohamad berkeras mahu terus memujuk Mohammad bin Salman untuk datang ke Kuala Lumpur Summit 2019 dan siapa yang digunakan untuk membawa surat undangan? Syed Saddiq atau Rina Harun?
Maszlee mahu mendapatkan dana lalu berhasrat meletakkan institusi KSCIP ini dibawah Kementerian Pendidikan? Sila rujuk bullshit sebelum ini. Pihak yang memerlukan dana ialah Mahathir Mohamad, Syed Saddiq dan Rina Harun, kerana itulah sampai terpaksa menjemput Vincent Tan datang ke majlis makan malam. Mungkin sekadar untuk memeriahkan majlis.
Maszlee bukan team player? Ya ini memang betul, kerana jika dibandingkan Maszlee Malik dan Rina Harun atau pun Mohammadin Ketapi, atau paling tidak Pak Wan Kereta Terbang, ini memang satu kenyataan yang kebetulan, bukannya betul lagi.
Kasut hitam, tulisan jawi, membawa masuk Kelab Sahabat YADIM, perlantikan Naib Canselor daripada kalangan anggota IKRAM dan segala bullshit lain termasuklah selalu tidak hadir mesyuarat sebenarnya adalah umpama buih-buih air kencing nelayan di lautan, tak sebesar mana kalau hendak dibanding dengan kapal-kapal lanun yang lebih besar.
Apa yang berlaku ialah pertembungan politik orang tua dengan politik orang muda. Orang tua politiknya memerlukan seorang individu yang menurut perintah, tidak membawa pembaharuan dan tidak kacau daun.
Ini kerana orang tua, mereka masih lagi hidup dalam dunia ego mereka sendiri. Dunia ego rakan penasihat media dan rakan penasihat ekonomi baik yang sudah menopaus atau pun yang sudah bertongkat. Rakan-rakan ini juga punyai rakan rakan lain yang masih lagi hidup dalam zaman silam mereka, penuh dengan romantisme ketika Mahathir Mohamad berkuasa sebagai Perdana Menteri keempat dulu, romantisme yang menyaksikan mereka meratah rakus sampai ke tulang putih segala kekayaan negara.
Inilah punca sebenar kenapa Mahathir Mohamad perlu menasihatkan Maszlee Malik untuk berundur. Mahathir Mohamad punyai rakan-rakan yang ada rakan-rakan lain yang lapar. Kesemua mereka ini adalah cukong-cukong yang menjadi kaya-raya ketika Mahathir berkuasa dahulu, dan mahu menggunakan sisa nafas yang ada sekarang untuk terus menjadi kaya, kerana itu kita dinasihatkan supaya tidak berdengki dengan kekayaan mereka.
Cukong YTL kelaparan kerana program 1Bestarinet. Jangan terkejut kalau sebulan dua lagi Kementerian Pendidikan akan muncul semula dengan “sesuatu” yang YTL, itu mungkin sudah dijangkakan.
Cukong kaum kerabat Ungku Aziz juga kelaparan di Sarawak kerana pembaharuan yang dibawa oleh Maszlee Malik dengan isu sekolah daif. Cukong yang memonopoli segala kontrak ke sekolah terutama di pedalaman selama ini, sudah kelaparan sejak Kementerian Pendidikan diterajui Maszlee Malik. Kau bayangkan di belakang sekolah ada sungai, tapi sekolah tiada bekalan air dan kontrak membekalkan mesin RO Water sudah lama selesai. Itu kau belum kira lagi dengan projek panel solar yang bernilai RM1.25 billion sejak zaman Najib Razak. Cukong-cukong ini semua yang dulu bertuankan Najib Razak, beralih arah juga seperti hantu raya yang mencari tuan baru, dan tuan yang baru perlu berusaha mendapatkan sokongan cukong-cukong ini demi kelangsungan politik mereka.
Segala komitmen untuk memperbaiki negara selama ini, melakukan reformasi ke seluruh negara dengan membawa pembaharuan dan kerajaan yang lebih telus sebenarnya adalah satu wayang belaka. Anwar Ibrahim pernah ditempelak saat awal pemerintahan Pakatan Harapan dahulu kerana gila berpolitik dan mahu menjadi Perdana Menteri bagaikan tidak cukup hari siang.
Tapi hari ini, orang yang sama dengan para rakan penasihat ekonomi, media dan entah apa apa lagi, masih lagi terus berpolitik, sama ada untuk kelangsungan politik anak cucu mereka, atau pun untuk rakan-rakan cukong mereka.
Maka, seiring dengan kekalahan terbaru di PRK Kimanis, ada baiknya Mahathir Mohamad menulis surat untuk dirinya sendiri, dan juga rakan-rakan penasihatnya, supaya berundur diri dan berikanlah negara ini kepada orang yang lebih muda, lebih cergas, lebih teknokrat, lebih bekerja dari berpolitik. Nasihatkan juga kepada rakan-rakan cukong itu, supaya belajar hidup berdikari. Kami orang miskin ini bukannya berdengki dengan kekayaaan kamu, tapi kami benci dengan cara kamu menjadi kaya.
Juga dikenali sebagai The Libyaman, beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang banyak bertugas di negara-negara yang dilanda peperangan antaranya Libya dan Iraq. Pernah menulis buku berjudul Blues Orang Jelebu.