Politik Islam Menurut Maududi

Maududi secara umumnya dikenali sebagai seorang yang fundamentalis. Beliau menyarankan kaum muslim untuk melakukan ijtihad dengan merujuk sumber-sumber fundamental Islam yang autentik, Quran dan Sunnah. Namun, beliau bukanlah fundamentalis yang neo-tradisionalis, akan tetapi lebih kepada progresif. Maududi seorang yang autodidact, banyak belajar sendiri. Beliau sering memberi ceramah di negara-negara Timur Tengah, New York, London, Toronto dan lain-lain

Beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati akibat tuduhan berkaitan dengan Ahmadiyah Qadiani yang beliau ini ‘subversif’. Beliau tidak langsung melawan hukuman tersebut malahan menerima dengan reda. Kata beliau kepada sahabatnya;

“Jika ajal aku telah datang, tidak seorang pun yang dapat mengelakkannya. Akan tetapi jika belum datang, mereka tidak akan dapat menggantungku, walaupun mereka sampai menggantung diri mereka sendiri untuk dapat menggantungku.”

Ketenangannya itu menggoncangkan kerajaan Pakistan ketika itu. Selepas itulah pemerintah Pakistan hanya menetapkan penjara seumur hidup. Itu pun tidak lama. Pada tahun 1955, beliau dibebaskan juga.

Maududi menyatakan yang terdapat tiga prinsip politik Islam. Untuk memahami politik Islam, ia pasti akan berbalik kepada yang tiga ini;

  1. Tauhid. Hanya Tuhan yang Maha Esa memiliki segala kedaulatan. Tuhan yang menurunkan undang-undang untuk dipatuhi manusia, tiada siapa yang boleh melawan semua perintah Tuhan (Syariah).
  2. Risalah. Quran dan Sunnah itu akan dilakukan interpretasi ke atasnya untuk mengeluarkan segala suruhan, pedoman dan lain-lain. Semua itu akan digunakan oleh semua manusia demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Risalah itu solusi, bukan bebanan. Banyak firman-firman Tuhan dan sabda-sabda Nabi itu berupa prinsip-prinsip umum. Maka, manusia yang PERLU ‘kreatif’ untuk mentafsirkan segalanya supaya ianya praktikal.
  3. Khalifah. Manusia semuanya adalah khalifah (perwakilan) Allah di bumi. Tugasnya adalah untuk memakmurkan bumi. Setiap manusia itu ada peranannya. Tuntas, dengan kebolehan dan kecenderungan masing-masing manusia akan saling bekerja. Bekerja demi mencapai reda Tuhan. Baik dengan Tuhan, baik juga dengan manusia.

Menurut Maududi, demokrasi Barat itu beza dengan cara Islam menanggapi hal ehwal kenegaraan. Demokrasi Barat itu SEMUANYA oleh rakyat. Sampaikan undang-undang pun rakyat tentukan. Namun dalam Islam, kehendak rakyat itu terhad. Undang-undang itu perlu didahulukan undang-undang Tuhan (Syariah). Selepas itu, barulah maslahat (ta’zir dan lain-lain).

Demokrasi itu boleh saja dikotorkan dengan majoriti yang tidak cenderung kepada hukum Tuhan. Majoriti tidak semestinya betul. Dalam Islam, tidak ikut majoriti. Ikut Allah dan Rasul.

Kesimpulannya, Maududi seorang tokoh reformis yang berpengaruh dan pemikirannya memberi kesan yang luas kepada semua manusia. Bukan saja di Pakistan sahaja. Maududi banyak mengusulkan kepada kita agar kembali kepada falsafah Islam dalam menghadapi segala cabaran kemodenan, baik politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Islam mempunyai set pemikirannya sendiri. Maka, yang itulah menjadi contoh dan ikutan kepada semua kaum muslim di dunia.

Artikel ini adalah tulisan saudara Sadiq Salihoddin dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Komen