Politik Anak Muda

Kesedaran akan rencana ini telah tercetus ketika gejolak politik Malaysia beberapa bulan lalu, sehinggalah baru-baru ini isu politik di Sabah yang membingungkan dan merisaukan.

Esei ini tidak akan memenangkan mana-mana parti atau inidividu politik melainkan hanya akan menyatakan pandangan akan politik anak muda; bagaimana seharusnya landskapnya dan apakah mungkin cabaran-cabaran pemikiran dan budaya lingkungan yang berpengaruh.

Politik Mainan Orang Tua

Sejak zaman pramerdeka lagipun orang-orang tualah menjadi pemain utama dalam gelanggang politik ini. Adalah juga segelintir anak-anak muda reformis yang melibatkan diri namun margin dan nisbahnya amatlah lebar dengan para otai sekalian. Perkara ini menjadi tradisi politik Malaysia sehinggalah sebelum PRU14.

Sewaktu PRU14, dapat dilihat ramai anak-anak muda yang memberanikan diri dengan keazaman masuk ke dalam arena politik Malaysia dan menjadi sebagai entiti penting di dalamnya.

Terima kasih kepada para pemula itu, kerana sehingga harini bilangannya bertambah. Semakin bertambah bilangan anak muda mengikuti politik, kalaupun tidak menjadi pemain tetapi menjadi pengikut dan pemerhati, yang ramai juga daripada mereka itu berani menyatakan analisis dan pendapat akan isu-isu politik yang berbangkit.

Politik bukan urusan orang-orang tua, ianya urusan kenegaraan. Setiap individu yang mengaku berkewarganegaraan seharusnya ada rasa mengambil peduli akan politik negara. Ya benar, politik itu banyak kotornya. Sedangkan Za’ba juga menyatakan bahawa “untuk menjadi pencetus perubahan kepada masyarakat, jangan libatkan diri pada politik.”

Namun harus difahami, jika kita-kita ini yang muda tidak berpeduli sedikitpun akan hal-hal siasah, maka ianya akan dikuasai oleh orang-orang konservatif negatif, tidak suka akan revolusi dan reformasi, dan tinggallah politik itu dalam bentuk yang acuannya kurang menerima idea-idea perubahan yang baharu.

Kepada anak-anak muda, kalaupun tidak menjadi pemain utama, jadilah pemerhati yang beridea. Kalaupun tidak, cukuplah menjadi anak muda yang berpengetahuan akan politik, untuk kelak tidak mudah dipermainkan dan tertipu akannya.

Bersederhanalah Dalam Berpolitik

Kalaulah sudah ada pandangan dan pendirian dalam politik, itu permulaan yang luar biasa. Namun, waraslah dalam penilaian. Jangan pernah dipengaruhi akan parti ataupun individu politik itu. Tidak salah akan mengagumi ideologi, namun percayalah parti-parti itu juga didirikan oleh manusia yang hatinya berbolak-balik juga seperti manusia biasa. Ada juga sisi-sisi mereka yang mampu mengecewakan, maka janganlah pernah dipengaruhi oleh itu.

Kalau hitam, hitamlah ia. Kalau putih, putihlah akannya. Kalau benar katakan benar, kalau salah tetaplah juga ia salah. Berpolitik secara waraslah, jangan berunsurkan partisan.

Inilah kesilapan ramai ahli-ahli politik ‘kaum tua’ dan pemerhati dan pengikut mereka. Terlalu taksub akan sesuatu yang berunsurkan material sehinggakan terselaput mata pandangan akan kebenaran dan kebatilan, tidak terbezakan.

Seperti syair Arab, “cintailah kekasihmu seadanya, boleh jadi ia menjadi orang paling dibenci kelak. Bencilah pula seseorang itu sekadarnya, boleh jadi ia menjadi orang yang paling dicintai kelak.”

Bersederhanalah dalam sesuatu, janganlah ketaksub akan sesuatu. Itulah juga membawa kepada ke-ekstrem-an.

Beranilah Menyatakan Kebenaran Dan Kepalsuan

Kebenaran akan sentiasa mengatasi kepalsuan, sama ada lambat atau cepat kerana itulah antara algoritma penciptaan alam ini. Maka, jangan pernah merosakkan dan menganiaya kebenaran, apatah lagi menyembunyikannya.

Namun harus dipegang akan prinsip di mana semua pendapat yang kita cetuskan itu tidak semestinya benar. Boleh jadi ada kealpaan yang membawa kepada kesalahan akan pandangan kita itu.

Bagaiman pendapat manusia boleh berlain-lainan?

Setiap manusia mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang amat berbeza. Maka itulah yang akan mempengaruhi akan pandangan manusia akan satu-satu perkara. Oleh itu, kita tidak boleh memaksakan benar kepada pandangan kita apatah lagi apabila ianya berbeza dengan orang lain kerana pengalaman dan pengetahuan kita tidaklah sama dengan orang lain.

Maka, jangan merasa benar akan pandangan, lebih lebih lagi apabila ia bukan berdasarkan fakta tulen.

Bila tiba pada sesuatu perkara yang telah terbukti akan kebenarannya atau kepalsuannya, wajiblah untuk kita menjunjungnya dan memperjuangkannya itu diterima ramai.

Sebenarnya kandungan esei ini tidakalah hanya khusus kepada anak-anak muda, juga boleh diambil iktibar akan ‘kaum tua’. Namun hanya memilih tajuk “Politik Anak Muda” kerana dengan harapan bahawa anak-anak muda yang masih baru dalam gedung politik ini mempunyai prinsip semacam di atas supaya tidak kelambatan.

Dengan impian juga akan ada revolusi dalam politik negara kita ini. Semoga dengan itulah pemandangan politik Malaysia lebih matang dan waras.

Artikel ini adalah tulisan saudara Naiem Zikri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Komen