PADA 14 Mei ini, rakyat Turkiye akan turun mengundi di dalam pilihan raya presiden dan parlimen untuk memilih Presiden yang baharu dan juga memilih wakil rakyat yang akan mewakili suara rakyat Turkiye dalam sidang parlimen yang akan datang. Presiden semasa Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijangka akan menghadapi persaingan yang sengit dalam pilihan raya kali ini.
Ini kerana blok pembangkang terutamanya blok yang diketuai oleh Parti Rakyat Republik (CHP) yang dianggotai oleh enam parti di dalamnya telah bersepakat bahawa Erdogan mesti dikalahkan dalam pilihan raya kali ini seperti mana yang dikatakan oleh calon pembangkang mereka iaitu Kemal Kilicdaroglu, “Kami akan membuatkan dia kalah dalam pilihan raya, dan bersara selepas itu.”
Seramai empat orang bertanding pada pilihan raya Presiden Turkiye pada kali ini iaitu Erdogan sendiri daripada parti pemerintah iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), manakala pihak pembangkang pula akan diwakili oleh Kemal Kilicdaroglu daripada Parti Rakyat Republik (CHP). Selain itu, dua lagi calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini ialah Muharrem Ince yang merupakan bekas calon presiden pada tahun 2018 dan sekarang bertanding di atas tiket Parti Tanah Air dan Sinan Ogan yang merupakan calon bebas.
Kalau kita perhatikan pilihan raya kali ini, Erdogan akan menghadapi tentangan yang sengit daripada calon yang lain terutamanya daripada calon utama pembangkang iaitu Kamal Kilidaroglu daripada parti Republikan Turki (CHP). Ini kerana jika kita lihat daripada trend sekarang yang menunjukkan bahawa rakyat sekarang memerlukan suatu perubahan setelah Erdogan sudah begitu lama memerintah Turkiye.
Erdogan pun kalau kita perhatikan sepanjang kempen pada kali ini, beliau kelihatan menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak mampu lagi meneruskan tugasnya sebagai Presiden Turkiye. Sebagai contoh, baru-baru ini di dalam satu temubual di televisyen nasional Turkiye, Erdogan mengalami kesakitan sehingga temubual tersebut terpaksa dibatalkan. Jadi, ia sedikit sebanyak menunjukkan kepada pengundi bahawa Erdogan tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai Presiden Turkiye.
Jadi, sepatutnya peluang ini diambil oleh gabungan parti pembangkang untuk membuktikan kepada pengundi di luar sana bahawa Kemal Kilicdaroglu layak menjadi Presiden Turkiye yang baharu selepas Erdogan. Ditambahkan lagi dengan situasi ekonomi semasa Turkiye yang mencabar di mana kadar inflasi di Turkiye meningkat sebanyak 85 peratus, jadi inilah masanya untuk Kemal Kilicdaroglu memperkenalkan pelan ekonomi yang terbaik untuk rakyat Turkiye.
Malah, tinjauan semasa menunjukkan Kemal Kilicdaroglu sedang mendahului dengan diikuti rapat oleh Erdogan.
Jadi daripada tinjauan semasa yang dilakukan ini Erdogan akan mempunyai halangan yang sengit untuk beliau berjaya memenangi semula jawatan sebagai Presiden Turkiye.
Antara isu lain yang berlegar di sekitar pilihan raya Turkiye pada kali ini ialah mengenai gempa bumi yang terjadi pada Februari lalu. Isu kelambatan bantuan yang disampaikan oleh pihak kerajaan kepada mangsa gempa bumi juga dilihat memainkan faktor yang penting jika Erdogan kalah di dalam pilihan raya kali ini.
Ini kerana kebanyakan gempa bumi tersebut berlaku di tengah Turkiye iaitu di bandar Gazientep yang merupakan antara kubu kuat Erdogan sebenarnya dalam pilihan raya kali ini dan menurut ketua Majlis Tertinggi Pilihan Raya Turkiye, Ahmet Yener bahawa sekurang-kurangnya sejuta orang di kawasan gempa bumi tersebut dijangka tidak dapat mengundi disebabkan oleh tiadanya tempat untuk mengundi akibat daripada gempa bumi tersebut.
Pilihan raya kali ini juga kemungkinan menyaksikan akan ada pusingan kedua nanti, kerana kalau kita boleh buat perbandingan sekalipun, kemungkinan Kemal Kilicdaroglu akan menang pada pusingan kedua ini. Sebagai contoh, parti AKP kalah di pilihan raya di Istanbul dan juga Ankara apabila sudah masuk pusingan kedua pilihan raya.
Kehilangan kedua-dua bandar penting di Turkiye tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada parti AKP khususnya kepada Erdogan untuk mengekalkan kuasanya.
Kesimpulannya, adakah Erdogan akan tumbang pada pilihan raya kali ini? Jawapannya terletak kepada 85 juta penduduk Turkiye. Jika mereka mahu kestabilan politik dan keselamatan negara terkawal dengan sebaiknya, undilah Erdogan. Dan jika mahu memilih sesuatu yang baharu dan menjanjikan kebebasan bersuara dan kebebasan berdemokrasi, maka undilah Kemal Kilicdaroglu dan calon pembangkang yang lain.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Naufal Durokhman dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.