Selepas PRU14 dan Langkah Sheraton, politik Malaysia telah berubah 180 darjah. Pemikiran lama bahawa pihak kerajaan akan menikmati ‘keselesaan’ mentadbir negara sudah berakhir. Hari demi hari, politik Malaysia hanya menimbulkan kegelisahan rakyat yang berpunca daripada ketidakstabilan politik kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menikmati majoriti kecil.
Namun, jika kita melihat dari sudut yang berbeza, perkembangan politik negara telah memberikan tiga gambaran jelas kepada rakyat Malaysia. Pertama, semua parti pada hari ini mempunyai peluang yang sama membentuk kerajaan. Istilah ‘abang besar’ seperti yang digunakan UMNO tidak lagi relevan dalam gabungan parti kerana setiap parti yang mempunyai jumlah kerusi yang kecil seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PAS mempunyai kepentingan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Kedua, telah berlaku evolusi pembangunan imej parti apabila majoriti parti politik di Malaysia mempunyai pengalaman mentadbir Putrajaya. Sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau PN, parti-parti yang membentuk gabungan ini pernah menjadi kerajaan.
Kesemua daripada mereka juga pernah duduk di blok pembangkang. Situasi ini akan memberi nilai tambah kepada rakyat untuk menilai kemampuan gabungan parti politik yang berfokus kepada prestasi, idea dan ketegasan mereka dalam menawarkan Malaysia yang lebih baik dan melestarikan agenda rakyat.
Ketiga, gabungan parti politik besar (Grand Coalition) akan menjadi ‘Norma Baharu’ politik Malaysia. Gabungan parti politik akan mengalami perubahan yang agak pantas dan kerap memandangkan setiap gabungan parti mahu mencari rakan kongsi dan muafakat untuk membentuk kerajaan.
Kita dapat lihat bagaimana PN begitu tergesa-gesa menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada saat-saat akhir dengan mengumpulkan parti tempatan untuk menang dalam PRN Sabah. Begitu juga PH yang kini sedang mempertimbangkan membuat permuafakatan dengan parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi menghadapi PRU15.
Menyedari hakikat perubahan politik ini, PH perlu sedar bahawa mereka perlukan kekuatan yang luar biasa untuk membentuk kerajaan yang responsif dan stabil bagi menerajui negara. Pemimpin mereka perlu berjiwa besar, mencari sekutu dan rakan yang strategik untuk memastikan PH dapat kembali ke Putrajaya sekali lagi. Persoalannya, sejauh manakah PH dan dan rakan sekutu di blok pembangkang dapat menyambut cadangan pembentukan gabungan parti besar ini?
Tiga Prinsip Gabungan Parti Politik Besar PH
Ada tiga prinsip asas yang boleh menyatukan PH dan rakan sekutu yang lain untuk membentuk kerjasama gabungan politik besar. Pertama, seluruh penyokong dan pemimpin PH perlu kembali kepada rakyat. PH sepatutnya menyedari bahawa pengundi dan rakyat yang telah memberi sokongan luar biasa meletakkan mereka menggantikan BN yang sinonim dengan kleptokrasi.
Pendekatan masyarakat menyeluruh dan merakyatkan PH begitu mustahak diketengahkan agar usaha untuk menyatukan rakyat untuk fasa pemulihan Covid-19 ini bakal menjadi faktor utama mengapa PH perlu reset dan memikirkan pembentukan gabungan politik besar.
Kedua, PH perlu mengakui bahawa kerajaan PN hari ini sudah gagal memimpin negara pada waktu krisis Covid-19. Kerajaan Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak mempunyai kepimpinan yang teguh. Kerajaan PN dilihat masih ketandusan idea untuk memulihkan ekonomi rakyat dan tadbir urus negara sehingga mencipta kegelisahan dalam kalangan orang awam. Makin hari mereka di Putrajaya, makin bertambah ketidakstabilan politik negara.
Ketiga, PH dan sekutu pembangkang perlu fokus kepada kesepakatan dan usaha menawarkan idea besar yang lebih realistik kepada rakyat. Ketidaksefahaman pemimpin PH yang lemah untuk bersetuju dengan cadangan dalam ‘Buku Harapan’ sepatutnya menjadi pengajaran terbesar buat PH agar kembali ke meja rundingan bagi membahaskan kesepakatan dasar yang akan dibawa ke Putrajaya. Setiap kejayaan PH semasa mentadbir di Putrajaya wajar diberikan penekanan penting bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu diberi peluang untuk mentadbir negara.
Ketiga-tiga prinsip ini akan membawa PH, rakan sekutu, dan rakyat kembali ke jalan tengah yang menawarkan perpaduan dan kepimpinan yang kukuh untuk membina reputasi PH yang telah tercalar kerana tiada hala tuju yang jelas. Persoalannya, apakah PH, Pejuang, dan Warisan akan bersetuju membentuk kerjasama yang strategik dan jujur di jalan tengah untuk menjadi kerajaan yang dipilih rakyat?
Apa yang penting, hala tuju PH harus lebih besar iaitu usaha untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Hala tuju ini perlu berpandukan kepada tawaran kepimpinan dengan hala tuju, idea baharu dan perpaduan bagi mengangkat kesejahteraan rakyat dan negara yang kian terbeban akibat krisis Covid-19. Usaha ini boleh dicapai sekiranya semua pemimpin PH dapat menyatukan rakan strategik dan rakyat di jalan tengah bagi membina gabungan politik besar yang diperlukan negara.
Perubahan Dan Terus Bergerak
Seperti yang diungkap Hamka ‘tidak ada perkara yang tetap di dunia ini, yang tetap itu hanyalah perubahan’. Sudah sampai waktu PH bergerak dan berubah untuk membentuk kesepakatan dengan rakan sekutu pembangkang untuk membuktikan mandat rakyat itu masih lagi berpihak kepada mereka.
Jika PH masih lagi terpalit dengan sengketa lama Anwar Ibrahim – Mahathir Mohamad atau langkah Sheraton, maka ia hanyalah satu kerugian yang akan mendatangkan hasil yang buruk. Sedangkan, pihak PN yang saling tikam-menikam setiap hari itu pun dapat bekerjasama untuk mengalahkan lawan demi mencapai sisa kuasa yang ada.
Saya optimis bahawa PH menyedari kepentingan perpaduan blok pembangkang untuk menghadapi kerajaan PN yang sudah mengkhinati mandat rakyat. Jauh dalam pandangan saya bahawa PH mempunyai pemimpin yang baik dan perlu diberi peluang sekali lagi mentadbir negara. Tetapi, jika PH dan pembangkang masih lagi beremosi dan tidak bersatu atas kebaikan, maka benarlah seperti yang kata Saidina Ali R.A “Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang”.
Pertimbanglah dengan bijak dan bukan emosi. Tawaran jalan tengah ini lebih pragmatik daripada mengejar Akuan Bersumpah daripada UMNO. Perkara ini lebih mulia jika dibandingkan usaha Anwar Ibrahim-Mahathir Mohamad mengejar sokongan backbencher kerajaan PN seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Najib Razak dan Zahid Hamidi yang memberi janji palsu sehingga pembangkang berpecah dan gagal menolak Belanjawan 2021.
Gabungan besar PH akan menjadi manifestasi kepada usaha membina semula asas kepimpinan yang lebih baik demi mencapai matlamat membentuk negara yang sejahtera dan mampu bangkit daripada krisis ekonomi, kesihatan dan politik.

Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.