Genap tiga tahun yang lepas, Rakyat Malaysia dihadiahkan suatu kemenangan ke atas sebuah rejim yang telah menguasai negara selama enam puluh tahun. Bukan mudah untuk menidakkan sebuah wadah yang tidak pernah merasa bangku pembangkang; mereka yang telah mengukir dan merekayasakan segenap jentera pemerintahan negara dan negeri-negeri mengikut kehendak, keinginan dan kekuatan mereka. Tetapi, dengan harapan, azam dan tekad seluruh Rakyat Malaysia, kita telah pun berjaya.
Tiga tahun kemudian, yang diberi mandat mentadbir dan memandu negara kembali ke arah kehendak Rakyat telah dicabutkan kuasa; dan digantikan oleh sekumpulan politikus yang sanggup mengkhianati rakan dan Rakyat demi memuaskan nafsu temahak kuasa diri mereka sendiri. Memori manis yang tidak bertahan dua tahun itu, bertukar menjadi mimpi ngeri yang terlajak menjadi realiti. Kini, ramai antara kita pengibar Harapan masih lagi berkabung dek matinya demokrasi. Untuk menyambut Kejayaan Tiga Tahun Lalu, sudah pastinya berat.
Pada ketika negara dan dunia dilanda krisis pada kadar yang tidak pernah kita saksikan, yang berjaya merampas kuasa pula menyalah gunakan pandemik ke tahap yang memabukkan; sehingga sanggup menggantung demokrasi, menderhaka Institusi Diraja dan Perlembagaan Persekutuan, memperalatkan institusi keselamatan bagi tujuan politik, sengaja menambah parah kesengsaraan Rakyat, dan menghukum golongan marhaen berkali ganda lebih berat berbanding golongan elit kayangan yang juga disabitkan kesalahan yang sama.
Sambil-sambil sang penguasa menikmati hasil tuaian serta kemabukan kuasa dan kekayaan laksana hidup di darul kayangan; yang kaya dan berkuasa terus menindas, Yang miskin dan lemah terus tunduk tertewas.
Teatapi, semakin ramai Rakyat diancam ketidaktentuan nasib dalam suasana ekonomi yang parah. Hari demi hari, Rakyat semakin merasakan tiada harapan. Nasib dan layanan Rakyat tidak lagi ditentukan oleh sejauh mana adanya kegigihan dan kehebatan, tetapi ditetapkan mengikut kedudukan, kelas dan darjat.
Pakatan Harapan mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk membina semula, menyalakan kembali obor harapan Rakyat, khususnya ketika gelora dan taufan sedang meliputi semua yang jelas tiada tempat berteduh. Rakyat memerlukan inspirasi untuk kembali beraspirasi.
Untuk itu, wajar kita lihat kembali lembaran faktor yang telah membawa Pakatan Harapan ke puncak kemenangan: tiga faktor tonggak kejayaan bagi mengenang cukup-cukup tiga tahun yang lalu pada tarikh yang penuh keramat ini.
Faktor 1: Musuh Bersama
Kami sedar dan sepakat tanpa berbelah bagi bahawasanya musuh utama tiap-tiap usaha PRU14 ialah Najib “MO1” Razak dan konco-konco berjiwa kleptokrat yang sewaktu dengannya. Sesiapa yang bersekongkol dengan para pencuri, perompak, penyamun dan penyangak adalah tergolong dalam mereka yang Rakyat musuhi, yang wajib kita semua lawan.
Sejahat mana pun manusia yang bernama Jho Low, Najib tidak dinafikan adalah individu yang mengabsahkan dan meluluskan segala kejahatan itu. Memang benar bahawa menteri-menteri yang bobrok dan penuh korupsi serta seluruh anggota Barisan Nasional, termasuk PAS yang diupah menjadi ejen pecah undi turut menyarung baju ‘musuh bersama’, namun Najib harus diakui mengepalai semuanya. Musuh utama dan bersama, tak disangkal lagi, ialah Najib Razak.
Faktor 2: Agenda Bersama
Jika hebatnya Tuah adalah pada huruf ‘Ta’ (bak kata Ahli Nujum Masai), hebatnya Pakatan Harapan pula adalah pada barisan parti gabungan yang sama kuat dari segi sejarah, pimpinan dan akar umbi. Segala yang termaktub dalam BUKU HARAPAN telah diangkat sebagai harapan, tujuan perjuangan, cita-cita destinasi akhir serta matlamat bersama. Segala perbahasan dasar, rundingan, ketidakpuasan hati, dan kompromi sudah pun dimuktamadkan sebagai agenda bersama. Ia adalah suatu perjanjian bersama dan manifestasi kebersamaan antara rakan gabungan, kepada Rakyat.
Agenda strategik pula, tidak lain tidak bukan, adalah untuk menggulingkan sebuah kleptokrasi, sejenis pemerintahan kalis moral yang ajaibnya boleh bertahan selama enam dekad. Kalau dahulu, terpulanglah dan anggaplah ia sebagai suatu percubaan yang mustahil. Kini, kita masing-masing tahu ia sudah pun terbukti 3 tahun yang lalu yang Si Gergasi boleh juga tumbang dek kuasa rakyat di bawah yang muak dengan korupsi.
Faktor 3: Identiti Bersama
Kami jelas tahu tanpa segan-silu, dan pasti tak teragak-agak, tentang siapa itu “KAMI”. Pada waktu itu, sungguh tiada sebarang kekeliruan sama ada satu parti ada agenda atau matlamat yang tersirat mahupun tersembunyi. Ketaatan, ketulusan dan solidariti antara parti-parti komponen Harapan tidak punya sebarang ruang untuk sesiapa pertikai dan persoalkan.
Sifat dan sikap kekitaan sesama kami memberi kekuatan dan kekebalan daripada segala fitnah dan ancaman. Semua zahirnya bersama dalam usaha melawan musuh di atas, yang pasti cuma menambah lagi kekuatan dan keabsahan perjuangan Harapan. Apabila duduk di meja runding, langsung tiada sebarang keraguan tentang kekitaan yang terjalin. Ketika bersama, tidak timbul isu kehendak dan kemahuan ‘Kami’, yang ada: hanyalah kepentingan negara, rakyat dan ‘Kita’ bersama.
Ya, tiga faktor di atas memang menjadi asas sebuah kemenangan Tiga Tahun Lepas. Namun, apalah sangat suatu sambutan kegemilangan itu jika kita masih lagi bersedih dan berkabung atas pengkhianatan yang bukan hanya pada nama Harapan, tapi kepada seluruh Rakyat Malaysia. Malah, perasaan itu juga disimbah dengan rasa amarah sehinggakan ada rakan seperjuangan saya yang jelik sejurus mendengar ‘9 Mei’ dan ‘PRU14’. Saya akui, mereka ini juga masih mengharapkan Malaysia yang lebih baik, saya juga, namun itulah ragam politik yang kita perlu jadikan teladan.
Bayangkan: pada tarikh itu, lahirnya sebuah impian dan harapan; demokrasi diangkat setinggi-tingginya, dan dimuliakan supaya menjadi landasan yang betul untuk semua. Ketika Malaysia berbangga disarung status demokrasi sebenar atas peralihan kuasa yang aman, tiba-tiba, selepas hampir 3 tahun, kini, demokrasi Malaysia digantung serta-merta, dilenyapkan, dikuburkan, diheret entah ke mana seolah-olah ia tiada erti. Segala reformasi, segala perubahan, segala impian dan harapan nampaknya terlalu susah untuk diangkat kembali, malah dianggap mustahil.
Bayangkan betapa rosaknya pengkhianat demokrasi, pemimpin-pemimpin tidak bertanggungjawab ini. Perubahan drastik ‘pembunuhan demokrasi’ berlaku dengan sekelip mata yang hakikatnya kita tahu ia dirancang sekian lama. Zaman telah berubah, lanskap politik teramat berbeza sekarang, kawan dan lawan sudah bermuka-muka, cabaran yang ada tidak lagi sama. Masakan kita mampu gunakan formula yang sama. Masakan kita mampu untuk sambut kejayaan 9 Mei sedangkan kita sendiri keliru tentang siapa KITA yang kita maksudkan tadi.
Jika PRU14 mengangkat Najib Razak sebagai musuh bersama, sekarang, kita perlukan takrifan baharu tentang siapa yang perlu kita musuhi. Musuh sebenar di luar sana, yang lebih besar binasanya daripada pandemik ini, adalah mereka yang gagal menguruskan pandemik ini dan menjadikan ia alasan untuk menggantung demokrasi, merampas suara rakyat semata-mata untuk mengekalkan temahak kuasa. Itu musuh bersama kita. Terang lagi bersuluh. Malah, lebih menakutkan, definisi ‘musuh bersama’ itu kian kabur apabila mereka yang dahulunya ‘musuh tradisi’ kini cuba pikat memikat; mereka yang dahulunya bersama atas nama ‘muafakat’ kononnya kini tikam-menikam, tampar-menampar, berpusu-pusu untuk sama meratah sisa-sisa demokrasi.
Atas hakikat itu juga, kita harus mentafsir semula, memberikan takrifan baharu tentang apa itu KITA. Adakah KITA ini termasuk dalam golongan yang memperkotak-katikkan Perlembagaan Malaysia, atau adakah KITA ini mahu menjulang kembali, menghidupkan semula demokrasi yang sihat dan yang membawa kemajuan? Adakah KITA ini perlu lebih teliti dalam memilih rakan komponen? Adakah KITA sebenar-benarnya sudah berputus asa dan mahu lepaskan saja perjuangan yang kita SEDAR memang akan ada manis-manis kemenangan di hujungnya?
Setiap kali kita tiba di ambang suatu peralihan, suatu anjakan paradigma, ujian yang setimpal akan tentunya datang untuk menguji kekuatan kita sebelum kita nikmati hasil perubahan itu. Meskipun keadaan ditambah rumit dengan pelbagai penghinaan terhadap demokrasi ini, kehidupan pastinya menawarkan lebih banyak pilihan dan kebarangkalian. Kebarangkalian yang perlu kita sambut untuk mencapai tujuan yang lebih besar pentingnya.
Di sebalik kita merenung siapa KITA dan seribu satu definisinya, yang pasti, KITA harus bermaksud semua yang bersedia bernaung di bawah khemah besar yang bercita-cita dan bermatlamat hendak memulihkan negara daripada ancaman kleptokrasi, kakistokrasi, rasuah, penderhakaan institusi diraja dan negara, penghinaan demokrasi, serta sengaja memperlekehkan masa hadapan dan nyawa setiap satu rakyat Malaysia. KITA harus jadi lebih daripada Melayu, kita harus jadi lebih daripada Cina, India, Iban, Kadazan atau Dayak. Kita harus jadi lebih daripada orang bandar, lebih daripada orang kampung, lebih daripada kelas pekerja dan golongan berkepunyaan. KITA harus jadi lebih daripada DAP, lebih daripada UMNO, BERSATU, PAS, lebih daripada Pakatan Harapan, Barisan, Perikatan, Muafakat dan lain-lain. Kita harus jadi lebih daripada apa yang pecah belahkan kita daripada menjadi lebih bersama. Kita harus jadi penggerak kepada agenda bersama kita – pemulihan Malaysia, tanah air kita.
Hari ulang tahun 9 Mei – kita tidak perlu sambut, tetapi kita perlu jadikan ia sebagai peringatan tentang betapa pentingnya sebuah KITA dalam melawan musuh bersama yang sewenang-wenangnya membunuh jiwa demokrasi.
Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).