PERTEMUAN EMPAT MATA DI SEMPADAN

Malaysia dan Thailand adalah dua negara berjiran yang banyak berkongsi sejarah, kebudayaan dan juga hubungan perdagangan yang baik khususnya di wilayah perbatasan.

Justeru pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin di sempadan Bukit Kayu Hitam-Sadao semalam adalah satu petanda mekarnya hubungan antara kedua negara di bawah pimpinan baharu mereka.

Antara isu yang telah dibincangkan dalam sesi pertemuan kedua pemimpin tersebut ialah berkaitan situasi di Palestin terutamanya mengenai tebusan warganegara Thailand.

Baru-baru ini, Thailand mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas usaha kita membantu dalam pembebasan 17 orang tebusan warga Thai di Gaza dan PMX memberi jaminan Malaysia sedang melakukan yang terbaik untuk membebaskan lagi 15 tebusan yang masih ditahan.

Situasi di Selatan Thai juga menjadi isu yang dibincangkan dalam usaha bersama dua negara ke arah keamanan di wilayah tersebut yang mempunyai ramai penduduk Muslim.

Malaysia komited dalam peranannya sebagai pemudahcara (facilitator) yang diketuai oleh Jen. (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan kerajaan Thailand juga telah melantik Ketua Perunding bagi pihak Thailand dalam proses mencari keamanan di Selatan Thailand.

Turut diperbincangkan ialah projek jambatan (land-bridge) yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok.

Malaysia telah memohon pertimbangan dari pihak Thailand untuk mempercepat projek jambatan tersebut dan PM Srettha bersetuju untuk memulakan projek tersebut seawal tahun hadapan, bersama-sama Malaysia.

Pertemuan kedua pemimpin ini mencapai tujuannya dalam meningkatkan kerjasama yang sedia erat, khususnya dalam memaksimakan potensi manfaat dalam kerjasama perbatasan.

Malaysia sangat menghargai hubungan persahabatan dengan Thailand dan ingin melihat lebih banyak kegiatan di wilayah perbatasan yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua rakyat Malaysia dan Thailand.

Komen