Setelah menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) kini berkembang menjadi sebuah parti arus perdana yang telah dipilih oleh rakyat untuk bersama-sama rakan komponennya menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Detik bersejarah ini sekurang-kurangnya membuktikan DAP boleh pergi lebih jauh dan telah menafikan dakwaan jahat pihak lawan yang menyatakan DAP ‘parti pembangkang buat selama-lamanya’.
Namun, PAS dan UMNO berjaya memanipulasi kelemahan PH dengan membina sentimen perkauman untuk menumbangkan kerajaan yang bertahan tidak sampai dua tahun. Momokan lawan terhadap DAP telah disambut oleh orang ramai, termasuk Melayu dan Islam, yang tidak mahu DAP menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan dan beranggapan parti roket masih lagi parti Cina.
Peristiwa-peristiwa ini sepatutnya memberi refleksi kepada DAP untuk berubah dan lebih bersedia untuk kembali menerajui Putrajaya. DAP menempuhi kesukaran untuk mengubah mentaliti daripada parti pembangkang kepada parti pemerintah di peringkat persekutuan. Saya melihat, DAP belum menjumpai ramuan untuk membina naratif yang jelas bagi menjawab persoalan-perosalan sinis yang dibangkitkan oleh rakyat sejak sekian lama.
Krisis pandemik telah memberi kesempatan kepada parti politik untuk membina semula asas yang baik mencari hala tuju bagi menempuh era norma baharu. SOP politik lama tidak lagi terpakai bagi menjawab cabaran baharu ditempuhi rakyat. Malah, rakyat hari ini cuba mencari parti politik yang mampu menawarkan sesuatu yang lebih relisitik untuk membangunkan negara pasca pandemik.
Persoalannya, sejauh manakah DAP mampu berubah untuk memenuhi harapan rakyat, menawarkan kepimpinan yang mampu membina semula Malaysia pasca pandemik dan menjelang PRU15?
Parti Arus Perdana Untuk Semua
Ada suara dalam parti yang berpendapat DAP harus fokus menguatkan asas mereka semula dalam kalangan penyokong Cina dan bukan Melayu menjelang PRU15. Beberapa pihak yang menyokong idea ini hanya memberi respons jangka pendek ke atas penolakan sebahagian orang Melayu terhadap DAP pasca PRU14.
Ada juga pemimpin parti menyatakan DAP perlu fokus untuk mendapat sokongan orang Melayu untuk menguatkan pengaruh parti. Namun, pandangan ini pula didakwa akan mengkhianati sokongan ahli parti yang majoritinya masih kaum Cina.
Adakah pandangan-pandangan ini akan merupakan ramuan terbaik mengangkat DAP dengan imej parti arus perdana untuk rakyat Malaysia?
Pengarah Pendidikan Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong menjelaskan bahawa DAP perlu lebih ke hadapan dalam meyakinkan orang Melayu, sebagai pengundi kaum majoriti, menjelang pilihan raya akan datang. Beliau melihat DAP perlu menyelami keperluan orang Melayu sendiri, tanpa bergantung atau ‘outsource’ kepada rakan-rakan parti lain dalam PH. Pendekatan ini akan membantu DAP melihat gambaran sebenar dan yang lebih luas serta menarik sekurang-kuranganya 40 peratus pengundi Melayu menyokong DAP.
Liew juga berpendapat DAP tidak boleh rasa selesa dengan sokongan pengundi bukan Melayu yang mempunyai sikap menukar sokongan berdasarkan situasi semasa. Walaupun pengundi bukan Melayu dilihat memilih DAP dan pembangkang sejak 2008, sebelum itu mereka lebih kerap memilih MCA, MIC dan GERAKAN. Penggunaan teknologi yang mendedahkan pelbagai informasi akan membantu pengundi bukan Melayu berfikiran kritikal dalam membuat keputusan politik atau mengundi. Jika DAP gagal melihat perubahan ini, maka pengundi bukan Melayu juga mungkin mengalihkan sokongan kepada parti lain.
Ulasan Liew amat menarik dan menyeluruh. Idea ini dapat membina asas awal untuk DAP mara ke hadapan dengan imej parti arus perdana yang diterima seluruh rakyat Malaysia. Meskipun cadangan ini tidak sempurna dan ramai masih skeptik akan kemampuan DAP untuk berubah, idea ini membina asas yang baik untuk DAP yang dilihat oleh sebahagian daripada orang Melayu sebagai masih buntu mencari hala tuju yang jelas.
Mencari Kepentingan Bersama Dengan Rakyat
Hakikatnya, DAP perlu mempunyai iltizam yang lebih besar untuk menjadi sebuah parti yang mampu mengatasi cabaran dihadapi rakyat untuk 10, 20 atau 50 tahun akan datang. Atas semangat perubahan ini, rakyat Malaysia mahu DAP melakukan perubahan secara drastik, kembali kepada rakyat untuk mencari dan membina kepentingan bersama.
DAP perlu mempunyai pendirian yang jelas dan komited menjadi sebuah parti yang berjuang untuk rakyat Malaysia. Aspek penerangan dan komunikasi DAP dengan rakyat perlu diperkemaskan. Penerangan dasar dan idea yang dibawa DAP perlu lebih lunak dan realistik demi membina keyakinan rakyat.
DAP tidak seharusnya dilihat oleh rakyat, lawan dan kawan sebagai parti untuk menggantikan MCA, GERAKAN dan MIC bagi mendapat sokongan bukan Melayu. Juga bukan parti yang cuba menjadi lebih UMNO dan PAS untuk menarik sokongan orang Melayu.
DAP perlu menjadi parti yang menawarkan sesuatu yang berbeza dan segar dalam politik norma baharu, membina jalan tengah yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang kini dahagakan perubahan politik di Malaysia selepas merasai impak negatif permainan politik kuasa yang ditunjukkan Perikatan Nasional (PN).
Apa yang lebih mustahak, DAP mempunyai peranan untuk membuktikan kepada rakyat, mereka bukan lagi sekadar menjadi pembangkang buat selama-lamanya tetapi sebuah parti yang bersedia menerajui pentadbiran negara berdasarkan prinsip bersama rakan-rakan gabungan parti demi kesejahteraan Malaysia tercinta ini.

Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.