Berikut adalah rangkuman pemerhatian saya sepanjang tempoh tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan oleh pihak Kerajaan.
1. Sikap sebahagian rakyat Malaysia yang pentingkan diri adalah sangat mengecewakan. Pembelian panik sebahagian pengguna yang beli barang macam nak kiamat telah mencetuskan suasana kelam-kabut di beberapa buah pasar raya. Habis semua barang diborongnya tanpa mengambil kira keperluan orang lain. Paling biadap bila barang yang sudah diambil dan diletak di dalam troli itu dibiarkan tersadai kerana tidak cukup duit untuk membayar.
2. Ramainya rakyat Malaysia jenis bebal tak faham bahasa. Bila Perdana Menteri bagi ucapan dengan lembut dan berhemah suruh rakyat bertenang dan kuarantin diri di rumah, dikatanya yang Perdana Menteri tidak tegas dalam menyampaikan arahan. Sekali sudah kena maki hamun dengan pokemak Diva AA tersohor barulah otak sebahagian masing-masing kembali berfungsi.
3. Bebal rakyat Malaysia masih lagi tidak berkesudahan. Patutnya bila Kerajaan sudah keluarkan Perintah Kawalan Pergerakan maka duduk sajalah di rumah. Tujuannya ialah supaya hendak mematikan pergerakan virus itu dari berpindah kepada orang lain. Yang mereka ini pula pergi kemas kain baju semua dan angkut balik kampung serupa macam balik raya. Sampai kampung, dia pula yang tanpa sedar jadi agen penyebaran virus itu kepada orang keliling.
4. Biarpun arahannya jelas dan mudah iaitu supaya duduk diam-diam di rumah tetapi masih ramai yang tidak faham. Dianggapnya cuti 14 hari yang Kerajaan beri itu sebagai peluang untuk bercuti dan bersuka ria. Minum di warung, berkumpul di pasar raya, berjoging di taman, berjalan dan melepak tidak ketentuan hala. Saya tunggu sahaja peluang nak sembur mereka semua ini dengan air gatal dan pukul dengan rotan.
5. Di kala keadaan sedang meruncing ini masih ada penjilat-penjilat parti politik yang dahagakan perhatian. Dikatanya yang semua ini adalah salah Kerajaan terdahulu kerana tidak sekat pelancong dari China. Jenis langgan Internet pakai pakej harian rasanya. Padahal apa yang jadi ketika ini adalah gelombang kedua yang melibatkan individu kita, juga kluster dari himpunan jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling. Tiada kena mengena langsung dengan pelancong China. Yang gelombang pertama masa dulu tu hampir semua pesakit dah sembuh sepenuhnya.
6. Yang ahli-politik ini pun satu cilake juga. Tak bolehkah buat masa sekarang ini lupakan sementara perbezaan kepartian. Sama-sama bertoleransi berganding bahu menangkis serangan virus ini. Arahkanlah macai-macai kau semua supaya patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan. Pada masa yang sama didik dan seru rakyat supaya lakukan perkara yang betul.
7. Munculnya golongan agamawan bangang yang meletakkan tawakal hingga menafikan pada usaha. Mereka kata tidak takutkan virus sebab lebih takut pada Allah. Agenda sesat ini sebenarnya adalah ajaran puak Jabariyah yang hanya bergantung pada tawakal Allah sahaja semata-mata tanpa perlu berusaha menjauhi punca tragedi, penyakit dan wabak. Sedangkan Nabi sendiri dulu sudah ajarkan umatnya supaya “tambatlah untamu itu di pokok dan kemudian bertawakallah pada Tuhanmu”.
8. Setakat semalam jumlah jangkitan telah melonjak ke angka 1000 dan saya jangkakan akan mencapai ke angka yang lebih. Dengan ketiadaan antiviral, virus ini sebenarnya boleh dilawan melalui antibodi dalam badan. Walau bagaimanapun ia memerlukan pemerhatian dan penjagaan yang rapi dari pakar perubatan. Masalahnya ketika ini ialah kekangan tenaga kerja, katil, wad dan fasiliti hospital yang kekurangan. Ini sudah pasti akan merencatkan proses penyembuhan.
9. Sebenarnya ambil 1,000 kakitangan sekalipun, tambah 10,000 katil di wad sekalipun, belilah 100,000 alat bantuan pernafasan pun kalau rakyat masih bermentaliti pentingkan diri sendiri, suruh jangan berhimpun tapi nak juga berhimpun, suruh pergi test tapi tak nak pergi. Maka percayalah negara kita tidak akan selamat dari wabak ini.
10. Dah sampai nombor 10 saya nak pergi mandi. Kau gunakanlah akal yang diberi untuk buat tindakan yang perlu. Sama-samalah kita menjaga diri dan ahli keluarga dari serangan virus yang makin menggila ini. Sentiasa cuci tangan dengan sabun dan pakailah topeng muka jika ada gejala.
Penafian
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana organisasi atau badan berseragam.
Seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang yang suka menulis, kerana dengan menulis beliau bebas untuk berkata-kata. Asal Batu Pahat dan kini bertugas di Simpang Renggam.