Perhitungan Undi Belanjawan 2021 Ala Nujum Pak Belalang

Menjelang undian Belanjawan 2021 di peringkat dasar pada 26 November ini, tentunya penganalisis politik, influencer, media kerajaan dan pembangkang sedang menghitung dan meramal apa yang akan berlaku kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Belum sempat 26 November itu tiba, tekanan kepada Menteri Kewangan dan kerajaan PN kian memuncak. Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang telah memberitahu bahawa dia tidak akan hadir ke parlimen pada proses pengundian sebagai tanda protes kepada Speaker Dewan Rakyat yang gagal membenarkan perbahasan usul undi tidak percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Ahmad Maslan, Setiausaha Agung UMNO menyatakan Tengku Zafrul diberi tempoh sehingga Khamis ini sama ada menerima syarat UMNO atau berkemungkinan tidak dapat sokongan UMNO dalam Belanjawan 2021.

Tekanan daripada UMNO yang merupakan sebahagian dari kerajaan PN, menunjukkan kepada rakyat bahawa tanda-tanda kecil kiamat akan menimpa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinet yang gagal membuktikan bahawa mereka kerajaan yang diperlukan rakyat.

Jadi, apakah kebarangkalian akan berlaku kepada Muhyiddin? Adakah ‘kiamat kecil’ ini berlaku kepada kerajaan PN?

Perhitungan Nujum Pak Belalang

Percaturan politik di parlimen bukanlah satu perkara yang asing.I su-isu  yang berlaku menjelang 26 November ini akan membantu kita melihat apakah keputusan yang akan berlaku. Tetapi, sama ada betul atau tidak, jadi dan tak jadi, ia bergantung penuh pada masa, keadaan dan keizinan daripada Maha Pencipta. Jadi, percaturan apa yang boleh kita jangkakan?

Pertama, Belanjawan 2021 diluluskan tanpa pindaan dengan sokongan penuh ahli parlimen PN seramai 111 orang (tidak termasuk ahli parlimen Gerik dan Gua Musang) berbanding ahli parlimen pembangkang dan bebas seramai 108 orang.  Ini adalah situasi yang diimpikan Muhyiddin.

Jika kita soroti sejarah politik negara, parlimen tidak pernah menolak belanjawan kerajaan selama enam dekad. Jadi, ahli parlimen PN tentunya mempunyai ‘ego’ untuk terus menyokong Belanjawan 2021 berbanding tumpas di tangan pembangkang.

Kedua, parlimen akan meluluskan Belanjawan 2021 dengan sokongan atau Confident Supply Aggreement (CSA) dengan ahli parlimen pembangkang.  Namun, perkara ini sukar berlaku memandangkan kerajaan PN tidak mengendahkan tuntutan pembangkang untuk menambahbaik Belanjawan 2021, melainkan PN benar-benar terdesak mendapatkan undi pembangkang bagi menampung tekanan penolakan daripada ahli parlimen UMNO.

Ketiga, kerajaan PN berkompromi dan tawar-menawar dengan ahli parlimen bebas atau parti minoriti untuk meluluskan Belanjawan 2021. Muhyiddin boleh sahaja menawarkan sesuatu atau melobi ahli parlimen bebas dan parti kecil seperti  Dr Maszlee Malek (Bebas), Syed Saddiq (MUDA), Masir Kujat (Parti Sarawak Bersatu (PBS)) atau Baru Bian (PBS) untuk menyokong Belanjawan 2021. Kebanyakan mereka yang tersenarai di atas pernah menyokong dan bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin. Adakah hal ini akan berlaku?

Keempat, ahli parlimen UMNO yang diketuai oleh Najib Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional Backbanchers Club (BNBBC) mengambil pendirian untuk ‘berkecuali’ dalam undian Belanjawan 2021. Undi berkecuali boleh dijadikan simbol protes terhadap Perdana Menteri. Walaupun undi berkecuali tidak dikira,tetapi ia boleh menggoncang keutuhan sokongan kerajaan Muhyiddin.

Contohnya, sekiranya lima daripada 21 orang ahli parlimen UMNO mengundi untuk berkecuali, maka kedudukan kerajaan PN adalah 106 orang ahli parlimen berbanding 108 ahli parlimen pembangkang dan bebas.

Maka, Belanjawan 2021 tidak diluluskan dan Perdana Menteri perlu meletak jawatan. Namun, perkara ini bergantung juga pada disiplin parti pembangkang dan bebas untuk tidak berpecah dan bersatu dalam menolak belanjawan kerajaan.

Kelima, ahli parlimen pembangkang, bebas dan backbencher PN menolak Belanjawan 2021. Perkara ini akan meminta Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan serta-merta kerana sudah hilang kepercayaan parlimen untuk menerajui negara. Kerajaan baharu perlu dibentuk dan mengemukakan belanjawan baharu. Jika ahli parlimen gagal membentuk kerajaan baharu, maka pilihan raya mengejut akan berlaku untuk memilih kerajaan dengan mandat baharu.

Kesemua percaturan ini adalah kebarangkalian dan bergantung kepada pelbagai faktor. Sebab itu saya katakan ini adalah jangkaan ‘Nujum Pak Belalang’, kalau kena dengan masa dan nasib, mungkin salah satu akan berlaku. Cuma, semua pihak berharap agar kerajaan PN tidak menggunakan alasan darurat untuk mengantung parlimen sekiranya tewas dalam Belanjawan 2021.

Tekanan Kepada Kerajaan Meningkat

Saya berpendapat, kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin akan tetap menempuh jalan yang sukar meskipun mereka melepasi undian Belanjawan 2021 di peringkat dasar. Ahli parlimen masih mempunyai hak menolak Belanjawan 2021 ketika perbahasan peringkat jawatankuasa yang akan berlangsung 10 hari, iaitu pada 30 November sehingga 15 Disember 2020.

Di peringkat perbahasan jawatankuasa, ahli parlimen perlu membahaskan secara khusus peruntukan pembangunan dan mengurus setiap kementerian kerajaan secara terperinci dan perlu membuat undian untuk setiap peruntukan kementerian tersebut.

Kerajaan PN mempunyai 28 kementerian. Ini bermaksud ahli parlimen akan mengundi 28 kali atau lebih bagi setiap peruntukan kementerian. Jika salah satu peruntukan kementerian ditolak, maka Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan dan kerajaan perlu merangka atau memindanya semula.  Persoalannya, adakah pembangkang berdaya mencabar kedudukan PN di peringkat jawatankuasa?

Ternyata, tekanan kerajaan PN akan sentiasa meningkat dan  tidak akan berakhir sekiranya mereka berjaya melepasi undian Belanjawan 2021 di peringkat dasar. Undian di peringkat jawatankuasa boleh menjadi penentu sama ada Muhyiddin Yassin akan terus menjadi Perdana Menteri atau melepaskan jawatan.  Adakah kiamat kecil akan berlaku buat kerajaan PN pada 26 November nanti atau pembangkang dikecewakan lagi?

Sama-sama kita lihat dengan penuh rasional dan kesabaran.

Komen