PERDANA MENTERI MENYAKSIKAN PERMETERAIAN MOU SYARIKAT MALAYSIA DAN ARAB SAUDI

Lawatan negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu selain dari menghadiri Sidang ASEAN-GCC dan juga membincangkan isu Palestin, adalah juga untuk meneroka ruang pelaburan dan kerjasama perniagaan dua negara.

Ini turut melibatkan sesi menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MOU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan rakan niaga mereka dari Arab Saudi melibatkan empat permeteraian.

Permeteraian pertama adalah antara Weststar Aviation dan Mukamalah Aviation melibatkan sektor penerbangan dan perpindahan teknologi antara kedua syarikat.

Turut dimeterai adalah MOU antara Dagang NeXchange (DNeX) dan Ajlan & Bros. meliputi pembangunan bandar pintar di Neom, Arab Saudi dan juga dalam sektor kecerdasan buatan.

Syarikat pembangun superkomputer tempatan Twistcode juga turut memeterai MOU dengan Ajlan & Bros. untuk kerjasama pembangunan infrastruktur superkomputer.

Manakala permeteraian yang terakhir adalah melibatkan MGB dan SANY Alameriah Co. khusus dalam sektor pembinaan.

Permeteraian MOU ini adalah bukti kepakaran dan keupayaan syarikat tempatan dalam menjalin kerjasama dengan syarikat luar negara.

Ia juga adalah bukti kerjasama erat antara dua negara baik di peringkat kerajaan ataupun swasta.

Arab Saudi merupakan salah satu rakan dagang terpenting buat Malaysia di Timur Tengah.

Eksport Malaysia ke Arab Saudi berjumlah AS$1.38 bilion sementara eksport Arab Saudi ke Malaysia pula berjumlah AS$2.73 bilion mengikut data pada tahun 2021.

Komen