Percaturan Politik ‘Team Wawasan’ Masih Belum Tamat

Pemilihan UMNO pada tahun 1993 telah melahirkan ‘Team Wawasan’ yang dibarisi pemimpin muda seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Tan Sri Muhamad Muhammad Taib. Mereka merupakan kumpulan elit ahli politik UMNO yang bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin masa depan UMNO dan Malaysia dengan restu Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Anwar Ibrahim telah berjaya menjadi Timbalan Presiden UMNO selepas Tun Ghafar Baba menarik diri daripada pemilihan tersebut. Muhyiddin, Najib Razak dan Muhamad Taib pula berjaya menjadi Naib Presiden UMNO. Team Wawasan ini dilihat sebagai peneraju hadapan politik UMNO dan Malaysia yang sukar digugat.

Namun, keretakan Team Wawasan mula retak ketika pemilihan parti pada 1996. Muhyiddin Yassin kalah teruk dan tidak dipilih sebagai Naib Presiden UMNO. Abdul Rahim Tamby Chik tewas kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Hanya Najib Razak dan Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.

Ledakan Reformasi pada tahun 1998 telah menyebabkan Team Wawasan membawa haluan masing-masing. Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang kemudian dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Najib Razak kekal dalam UMNO sehingga menjadi Perdana Menteri ke-6. Muhyiddin dipecat UMNO pada 2016 dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama mentornya Mahathir Mohamad.

Pertarungan ahli Team Wawasan selepas 1998 tidak lagi berlaku dalam UMNO sahaja, tetapi ia telah mempengaruhi trend politik Malaysia selama dua dekad yang lalu. Sedar atau tidak, Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad masih lagi menjadi watak utama dalam politik negara.

Kesemua ahli Team Wawasan ini masih berebut untuk menjadi perdana menteri hingga hari ini. Naratif politik untuk menjadi perdana menteri kian sengit selepas 9 Mei 2018. Konflik Anwar – Mahathir dalam isu peralihan kuasa telah menyumbang kepada perbuatan khianat ‘Langkah Sheraton’ yang menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Akibat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional, persaingan ingin membentuk kerajaan dan perdana menteri diteruskan. Kali ini, Anwar Ibrahim menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti kukuh bagi menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional dan menjadi Perdana Menteri ke-9. Mahathir Mohamad pula membuat pusingan ‘U’ untuk bertanding semula pada PRU15 atas kehendak penyokong.

Apa yang pasti, Anwar Ibrahim yang pernah mengepalai Team Wawasan dahulu masih gagal menjadi perdana menteri, jika dibandingkan Najib Razak dan Muhyiddin. Mahathir-Najib Razak-Muhyiddin telah bekerjasama buat sekalian lama menafikan usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Namun, dalam keadaan politik yang tidak stabil, pelbagai rencana politik yang luar biasa boleh berlaku.

Jika Anwar Ibrahim bersekutu dengan Muhyiddin dan Mahathir untuk menjatuhkan Najib Razak pada PRU14, adakah kali ini Anwar Ibrahim akan bersama dengan Mahathir dan Najib Razak untuk menjatuhkan Muhyiddin pada pilihan raya akan datang?

Bolehkah politik Team Wawasan berakhir?

Persoalan besarnya adalah, bilakah percaturan politik Team Wawasan ini akan berakhir? Apakah desakan budaya politik baharu dapat membina naratif politik yang lebih besar daripada Team Wawasan? Masih ada lagi yang mendukung percaturan Team Wawasan ini dalam zaman ini?

Pengaruh kuat politik yang dibina Team Wawasan telah membawa keterbukaan politik Malaysia, khususnya selepas tahun 1998 apabila rakyat lebih peduli dan kritikal terhadap tindak-tannduk kerajaan dan perdana menteri. Perubahan politik ini menyebabkan Najib Razak mengisytiharkan bahawa zaman ‘kerajaan mengetahui semua perkara’ telah berakhir sekitar tahun 2009.

Ramai beranggapan bahawa pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan menyelesaikan percaturan politik Team Wawasan ini. Tetapi, budaya politik Wawasan ini akan dibawa oleh pemain baharu seperti Saifuddin Nasution, Azmin Ali dan Zahid Hamidi yang kini telah berada dalam kepimpinan tertinggi parti masing-masing. Kumpulan ini juga berpengalaman dan mengetahui selok-belok percaturan politik tertinggi dan punyai pengaruh yang besar di peringkat akar umbi.

PRU14 telah mengakhiri dominasi UMNO dalam politik negara. Tetapi, percaturan politik Team Wawasan masih lagi segar dan belum tamat, khususnya untuk merebut kerusi perdana menteri, melangkaui semangat setiakawan, parti politik dan prinsip yang selama ini dipertahankan. Kini, Mahathir, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak bertembung sesama sendiri bagi merebut kerajaan dan jawatan perdana menteri.

Meskipun anak muda telah mula menunjukkan simptom muak kepada politik lama, agak naif sekiranya generasi hari ini lupa dan tidak peduli akan percaturan Team Wawasan yang telah bergerak lama melebihi dua dekad. Mengkaji percaturan politik lama sebenarnya akan memberi pelbagai refleksi dan persediaan kepada pemimpin muda membuat ‘Tawaran Baharu’ yang menguntungkan rakyat kelak.

Tidak dinafikan bahawa generasi anak muda hari ini dahagakan politik kematangan yang berupaya menyelesaikan kebimbangan ekonomi yang kian mencabar melebihi perihal merebut kuasa dan jawatan perdana menteri. Tetapi, adakah sudah cukup dengan semangat perubahan dan idealisme yang ditonjolkan anak muda mampu menandingi politik Team Wawasan?

Artikel ini adalah tulisan saudara Fakhrurrazi Rashid dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Komen