Perang Dingin UMNO Dan BERSATU Semakin Hangat Di Melaka

Seperti dijangka PRN Melaka menjadi medan pertembungan UMNO dan BERSATU, dua buah parti Melayu yang mahu merebut kerusi-kerusi majoriti Melayu di negeri Melaka. Lawan mulut antara pemimpin UMNO dan BERSATU sudah mula kedengaran dengan masing-masing memulangkan paku buah keras.

Dalam pertembungan ini UMNO adalah kuasa besar ibarat petinju heavyweight yang pernah menjadi juara dunia, manakala BERSATU pula adalah pendatang baru yang ingin mencuba nasib menggantikan tempat UMNO sebagai juara dunia baharu.

Perang dingin antara UMNO dan BERSATU bukanlah sesuatu yang asing. Walaupun kedua-dua parti Melayu ini bersama dalam membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, kita semua tahu hubungan mereka tidaklah semesra yang digambarkan di media massa. Ada rasa dendam, iri hati dan keinginan untuk menjadi parti Melayu yang dominan antara keduanya.

Justeru pertembungan antara UMNO dan BERSATU adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan apatah lagi ketika pilihan raya. UMNO tidak akan berganjak dari apa yang mereka rasakan milik mutlak mereka iaitu monopoli undi Melayu sedang BERSATU pula merasakan mereka adalah pilihan baharu yang lebih wajar buat pengundi Melayu.

Kita telah melihat bagaimana perang dingin antara kedua parti ini berlaku sebelum ini dalam beberapa krisis politik lain susulan Langkah Sheraton.

Perubahan kerajaan negeri di Johor pada penghujung Februari 2020 antara kesan pertembungan awal UMNO dan BERSATU yang membawa kepada perubahan bukan sahaja terhadap kerajaan negeri, tetapi pertukaran Menteri Besar (MB) yang menyaksikan MB dari BERSATU, Dr. Sahruddin Jamal digantikan oleh MB dari UMNO, Hasni Mohammad. Walaupun kedua pihak ‘berdamai’ kemudiannya bagi membentuk kerajaan negeri, ia tidak bermakna semuanya baik-baik sahaja.

Apa yang berlaku di Johor ini adalah petanda awal wujudnya perang dingin antara kedua-dua parti Melayu ini. Walaupun di khalayak umum senario yang ditonjolkan adalah wujudnya persefahaman untuk berkongsi kuasa sebagai kerajaan atas nama perpaduan Melayu tetapi di sebalik semua itu adalah percaturan berterusan untuk mengatasi satu sama lain. UMNO dengan agenda untuk memastikan ia kekal dominan dan menjadi parti tunggal orang Melayu, BERSATU pula dengan matlamat mahu mengambil alih kedudukan UMNO dan menjadi pilihan baharu orang Melayu.

Apabila kerajaan WARISAN-PH di Sabah terpaksa dibubarkan untuk membuka ruang kepada PRN Sabah, perang dingin UMNO dan BERSATU dihangatkan kembali. Kali ini kedua pihak enggan mengalah akan tetapi melihat PRN Sabah sebagai peluang terbaik untuk masing-masing menguji kekuatan sebenar. Walaupun pertembungan sesama UMNO dan BERSATU berjaya dielakkan, masih wujud pertembungan melalui proksi yakni melalui parti komponen lain dalam gabungan politik masing-masing iaitu Barisan Nasional (BN) untuk UMNO dan Perikatan Nasional (PN) untuk BERSATU.

Di Sabah, UMNO bertanding 32 kerusi DUN dan menang 14 manakala BERSATU di 19 kerusi dan menang 11. Walaupun UMNO menang lebih banyak kerusi, tetapi BERSATU mencatatkan peratusan kemenangan yang lebih baik berbanding jumlah kerusi ditandingi. Apatah lagi, jika dinilai dari gabungan politik PN menang sejumlah 17 kerusi berbanding BN yang hanya menang 14 kerusi (semuanya melalui UMNO kerana parti komponen lain di dalam BN kalah di semua kerusi yang ditandingi).

Sabah adalah detik kemenangan Pyrrhic buat BERSATU dan gabungan PN yang diketuainya, kerana sebenarnya ia mengeruhkan lagi hubungan antara UMNO dan BERSATU ke tahap tiadanya peluang untuk rekonsiliasi. Dan kekeruhan ini digunakan UMNO untuk bereksperimen di Perak pada penghujung 2020.

Di Perak, MB dari BERSATU iaitu Ahmad Faizal Azumu tewas dalam undi percaya yang diusulkan oleh UMNO dan DAP. Seperti yang berlaku di Johor, kerusi MB negeri yang disandang BERSATU terpaksa diserahkan kepada UMNO.

Perak adalah eksperimen buat UMNO dalam menguji kekuatan BERSATU. Kejayaan merampas kuasa di Perak mencetuskan gerakan dalam UMNO untuk merampas kuasa di peringkat Persekutuan pula. Gerak kerja yang dimulakan sejak awal tahun 2021 akhirnya membuahkan hasil apabila Kluster Mahkamah (merujuk kepada kumpulan pemimpin UMNO yang diketuai Zahid dan Najib serta rata-rata mempunyai kes mahkamah) menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin Yassin yang menjerumus kepada satu lagi krisis politik.

Tumbangnya Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri untuk diganti oleh Ismail Sabri dari UMNO adalah satu lagi episod pertembungan dalam perang dingin antara dua parti Melayu ini. Seperti UMNO di Sabah yang terpaksa menyokong Ketua Menteri dari BERSATU demi pangkat dan kuasa, begitulah BERSATU di peringkat Persekutuan yang terpaksa menyokong Perdana Menteri dari UMNO demi sebab yang sama. Pangkat dan kuasalah yang membuatkan dua musuh perang dingin ini masih sanggup sebantal, tetapi hanya ketika damai.

Kini tercetus pula PRN di Melaka, negeri yang kita tidak menyangka akan mencetuskan satu lagi PRN sebelum tamat penggal. Justeru, ia menjadi prelude kepada PRU15 yang dinanti ramai sebagai pertembungan maha besar antara UMNO dan BERSATU.

Di PRN Melaka, UMNO dan BERSATU melalui gabungan BN dan PN mereka memilih untuk tidak berselindung lagi di sebalik omongan perpaduan Melayu yang menjadi wayang buat rakyat. Kali ini kedua parti nekad untuk bertarung di setiap 28 kerusi DUN Melaka lebih-lebih lagi di kerusi majoriti Melayu.

BN dan PN bertembung di semua 28 kerusi DUN (turut terlibat, Pakatan Harapan atau PH), dengan pertembungan UMNO dan BERSATU berlaku di 12 kerusi. UMNO juga perlu berdepan dengan parti komponen PN serta sekutu BERSATU iaitu PAS di 7 kerusi DUN lain. PAS walaupun melabelkan dirinya sebagai parti Islam namun secara realitinya ia juga banyak mendapat sokongan undi Melayu. Justeru boleh kita rumuskan bahawa UMNO di Melaka berdepan asakan berganda dari BERSATU dan PAS.

Bagaimana kesudahan PRN Melaka ini masih sukar untuk kita ramalkan. UMNO dan BN mungkin ada kelebihan, tetapi kita tidak boleh memandang rendah keupayaan BERSATU dan PN. Kejayaan BERSATU dan PN di Sabah patut menjadi ukuran menilai potensi mereka di Melaka. Dan faktor PAS yang memilih BERSATU berbanding UMNO juga memberikan kelebihan strategik buat BERSATU melawan petinju heavyweight yang pernah menjadi juara dunia.

Apa yang jelas adalah, perang dingin UMNO dan BERSATU yang kita lihat berlanjutan sejak dari Langkah Sheraton kini semakin hangat di Melaka dan tidak mustahil akan merebak ke negeri lain atau ke peringkat Persekutuan dalam masa terdekat.

Komen