Peralihan Kuasa Akan Berlaku Bila Tiba Masanya

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara berterusan mengulangi pendiriannya bahawa peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri akan berlaku bila tiba masanya. Soal bila peralihan ini akan berlaku hangat diperdebatkan sejak Dr Mahathir dilantik semula ke jawatan tersebut pada tahun lepas sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Isu ini kembali rancak dibincangkan selepas PH kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini di mana ada sekelompok penyokong PH sendiri seolah-olah cuba menyalahkan Dr Mahathir atas kekalahan tersebut dan meminta beliau undur diri dengan segera.

Umum mengetahui sejak setahun yang lalu Dr Mahathir secara konsisten menyatakan beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri bila tiba masanya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah dipersetujui secara konsensus oleh Majlis Presiden PH sejak sebelum PRU14 lagi. Namun demikian peliknya isu ini terus didendangkan dan terlalu kerap dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu walaupun Dr Mahathir sudah banyak kali mengeluarkan kenyataan. Jadi timbul persoalan kenapa perlu wujud situasi seperti ini sehingga kita melihat ianya mengganggu fokus Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya dengan baik.

Sebagai figura veteran dan individu yang cukup berpengalaman luas dalam bidang politik termasuk menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali kedua, kita sangat yakin Dr Mahathir tahu apa perlu dibuat, tahu bagaimana ianya perlu dibuat dan pastinya tahu bila hendak serah jawatan. Jadi tidak perlulah hampir setiap hari beliau terpaksa respon kepada media yang tanyakan soalan yang sama seolah-olah ada tangan ghaib di belakang yang mencuit wartawan menanyakan soalan tersebut umpama baling batu sembunyi tangan. Ini kelihatan sangat ketara mutakhir ini.

Keadaan bertambah parah apabila dilihat ada kalangan penyokong PH sendiri yang seolah-olah mendesak Dr Mahathir menyegerakan peralihan kuasa ini. Ini satu perbuatan yang sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab serta tidak menghormati perjanjian yang telah dibuat. Apakah mereka lupa tindak tanduk seperti ini sebenarnya mengeruhkan lagi keadaan di mana ianya menganggu keharmonian, kesepakatan dan kerjasama yang telah termeterai di antara gabungan parti dalam PH sendiri. Natijahnya senario ini memberikan gambaran yang kurang enak di mata anggota masyarakat. Masyarakat melihat berlaku pergolakan politik dan perebutan kuasa dalam PH. Ini sudah semestinya menjejaskan reputasi dan imej PH serta boleh membawa kepada situasi defisit kepercayaan terhadap kerajaan secara keseluruhannya.

Kita sedia maklum keadaan dalam negara menunjukkan banyak perkara yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan. Ada yang perlu diperbetulkan dengan segera dan ada yang memerlukan pelan perancangan pemulihan jangka panjang yang menyeluruh dan berkesan. Untuk itu kita memerlukan seorang ketua kerajaan yang berpengalaman, berpengetahuan dan mampu melakukannya dengan efisien. Dalam konteks ini semua pihak perlu akui dan menerima kenyataan betapa buat masa sekarang hanya Dr Mahathir saja yang memenuhi kriteria tersebut. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri baru-baru ini mengakui hanya Dr Mahathir yang dilihat mampu menyelamatkan negara ketika ini berbanding tokoh politik lain.

Justeru adalah lebih wajar dan bijak untuk semua pihak memberikan ruang yang secukupnya kepada beliau meletakkan batu asas pemulihan yang kukuh sebelum berlakunya proses peralihan kuasa. Dan sudah semestinya perubahan dan pemulihan yang dihasratkan itu sangat subjektif jika mahu dinilai dan diukur dari segi satu garis masa yang tepat yang boleh ditetapkan sebagai tarikh peralihan kuasa. Itu sebabnya kita melihat Dr Mahathir tidak dapat menetapkan satu tarikh yang khusus untuk menyerahkan jawatan. Semua pihak perlu memahami situasi ini. Apa yang penting sekarang ialah proses pemulihan dan pembangunan negara. Kita perlu meletakkan proses ini melebihi kepentingan politik masing-masing ketika rakyat sedang berhadapan dengan pelbagai masalah dan tekanan hidup yang memerlukan perhatian segera kerajaan. Maka jangan kerana mengejar kepentingan dan agenda peribadi, kita sanggup mengganggu proses pemulihan yang sedang giat dirancang dan dilaksanakan. Ini akan menyebabkan penderitaan rakyat berterusan.

Jadi kita berharap agar para penyokong yang terlalu ghairah mahu melihat perubahan tampuk pemerintahan sabar menunggu detik tersebut. Anwar sendiri sudah banyak kali mengeluarkan kenyataan agar biar Dr Mahathir selesaikan tugas beliau dan tiada keperluan untuk mendesak peralihan kuasa disegerakan. Bila Dr Mahathir dan Anwar sendiri sudah ada kata sepakat eloklah orang lain jangan masuk campur dan mengeruhkan kedaaan. Oleh itu biarlah Dr Mahathir buat kerja beliau dengan tenang, peralihan kuasa tetap akan berlaku bila tiba masanya.

Tentang Penulis

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.

Komen