Pakatan Harapan (PH) pada 12 September 2021 telah mengumumkan pelantikan YB Howard Lee Chuan How, ADUN Pasir Pinji, Perak dan Ketua DAPSY Kebangsaan sebagai Ketua Pemuda PH yang baharu.
Pelantikan Howard Lee adalah bagi menggantikan allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 Ogos 2021 setelah dijangkiti Covid-19.
Walaupun pelantikan Howard Lee dibuat bagi mengisi kekosongan yang datang secara tiba-tiba, namun adalah penting untuk kita melihat bagaimana keputusan PH dalam memilih Howard Lee sebagai Ketua Pemuda PH adalah satu petanda positif ke arah politik merentasi kaum.
Dalam senario politik Malaysia yang menyaksikan gabungan parti politik sebagai lumrah, adalah sesuatu yang menarik apabila PH memecah tradisi dengan melantik pemimpin bukan Melayu sebagai Ketua Pemuda gabungan itu. Ini berbeza dengan amalan sekian lama dalam Barisan Nasional (BN) dimana jawatan Ketua Pemuda BN secara default akan dipegang oleh Ketua Pemuda UMNO sebagai parti dominan. Begitu juga dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang lebih selesa memilih Ketua Pemuda PAS sebagai Ketua Pemuda PN yang pertama.
Namun pemilihan Howard Lee bukanlah dibuat atas kiraan PH mahu tampak berbeza atau cuba menonjolkan idea politik pelbagai kaum yang tidak didominasi oleh kaum majoriti. Melantik Howard Lee sebagai Ketua Pemuda PH adalah pilihan yang tepat berasaskan pada kekuatan yang ditawarkan oleh Howard Lee sebagai seorang pemimpin muda dan kestabilan yang datang dari partinya sendiri iaitu DAP.
Nama Howard Lee mungkin tidak menjadi sebutan ramai di peringkat nasional kerana beliau bukanlah seorang ahli parlimen yang lazimnya mendapat liputan meluas di media. Walaupun begitu ketokohan beliau sebagai pemimpin muda masih mampu tersebar merentasi sempadan negeri Perak di mana beliau menjadi ADUN pembangkang.
Lihat kepada usaha beliau dalam kawasan DUN Pasir Pinji sewaktu pandemik Covid-19. Tidak terhad sekadar mengedarkan bakul makanan kepada keluarga kesempitan atau bantuan seperti telefon pintar untuk pelajar sekolah, Howard Lee melakukan lebih lagi apabila memulakan inisiatif untuk memberikan vaksin Covid-19 secara bergerak.
#PinjiKintaVax adalah usaha gigih beliau sendiri bagi mewujudkan pusat pemberian vaksin bergerak bagi memenuhi keperluan vaksin di Pasir Pinji yang sebahagian besar darinya didiami oleh warga emas dengan mobiliti terhad. Menggunakan dana sendiri dan hasil sumbangan awam, sebuah bas berjaya diperolehi bagi inisiatif tersebut. Usaha berterusan untuk beliau untuk mendapatkan ‘lampu hijau’ dari pihak CITF di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akhirnya berjaya dan program ini dapat dilaksanakan.
Setakat 16 September, inisiatif #PinjiKintaVax yang mula beroperasi sejak 6 Ogos 2021 telah membantu memberikan 15,223 dos vaksin Covid-19 kepada penduduk di DUN Pasir Pinji, Tebing Tinggi dan Canning. Kejayaan program ini telah diperakui sehingga #PinjiKintaVax dinaiktaraf kepada PPV Integrasi Jenis 3 dengan kapasiti pemberian vaksin sehingga 600 dos sehari dan diperluaskan lagi dengan pemberian vaksin kepada penduduk di seluruh kawasan parlimen Ipoh Timor.
Usaha sebegini mungkin sesuatu yang biasa dan dijangka dari seorang wakil rakyat bertsatus ahli parlimen dari blok kerajaan. Tetapi mengambil kira status Howard Lee sebagai seorang ADUN pembangkang, maka kredit sewajarnya perlu diberikan atas tindakan proaktif beliau.
Dan proaktif adalah satu perkataan yang tidak kurang pentingnya, lebih-lebih lagi dalam konteks anak muda Malaysia.
Dalam politik negara kini menjadi ‘muda’ melalui usul seperti Undi 18, setiap parti atau gabungan politik perlu proaktif dalam menjuarai aspirasi anak muda.
PH berada di landasan yang betul apabila melantik Howard Lee sebagai Ketua Pemuda untuk gabungan itu.
Howard Lee datang dari parti DAP yang tidak dinafikan antara parti komponen PH yang stabil, bahkan mungkin juga antara parti paling stabil di dalam parlimen sekarang. Kestabilan ini adalah penting bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan dalam usaha PH mendekati generasi pengundi muda yang baharu untuk pilihan raya umum akan datang.
Pengalaman Howard Lee sebagai Ketua DAPSY Kebangsaan dan pernah pada satu masa memegang jawatan Presiden untuk International Union of Socialist Youth (IUSY) boleh menjadi pemangkin bagi membawa nafas politik yang baharu, politik yang merentasi garis kaum atau agama. Dan lebih utama, politik yang memupuk kerjasama antara parti kerajaan dan pembangkang seperti yang pernah diusahakan Howard Lee dalam merangka Confidence and Supply Agreement (CSA) antara BN dan PH di dalam Dewan Negeri Perak. Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan PH melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada hari ini.
Namun apa yang lebih penting dari garis kaum adalah idea dan tawaran yang boleh dilontarkan oleh Ketua Pemuda PH yang baharu ini. Malaysia pasca pandemik adalah lautan atau hutan yang belum pernah diteroka dan bersamanya adalah jiwa anak muda yang membara yang mahu menebus kembali masa yang tersisa akibat tahun-tahun Covid-19.
Bagi kelompok pengundi muda ini yang akan mereka dambakan adalah idea dan tawaran seputar peluang pendidikan atau pekerjaan yang jauh lebih dekat di hati mereka. Untuk Howard Lee dan PH, ini adalah cabaran utama yang perlu digalas. Apakah idea dan tawaran PH untuk anak muda? Mampukah PH mewujudkan peluang pendidikan atau pekerjaan yang diperlukan anak muda di sebalik pelan pemulihan negara pasca pandemik?
Parti atau gabungan politik yang boleh mengetengahkan pemimpin muda bagi memenuhi aspirasi ini adalah pihak yang berpotensi besar mampu memenangi undi orang muda dalam pilihan raya umum akan datang. Dan buat Howard Lee, DAP dan PH; masanya sudah tiba untuk beliau keluar dari sempadan negeri seorang ADUN untuk menjadi pemimpin muda di peringkat nasional.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.