Dewan yang saya rasa martabatnya tertinggi dalam sistem demokrasi Malaysia hari demi hari seperti semakin menunjukkan kejenakaan dan kelucuan. Dengan aksi-aksi kesat yang mengecewakan sehinggalah kepada menggelar anak muda itu budak.
Dalam klip yang tersebar di media sosial, adalah seorang ahli parlimen ‘lama’ itu ‘berjenaka’ dengan memanggil YB Syed Saddiq sebagai ‘budak’ dan ‘banyak benda kena belajar lagi’. Dengan songkok sebegitu tinggi, angkuhnya juga turut sama tinggi, entah-entah dia lupa pula akan beban-beban yang dikenakan pada songkoknya itu. Siapa lagi kalau bukan Ahli Parlimen Pasir Salak, antara si tukang kecoh.
Sungguh rencana ini ditulis tidak sama sekali membela YB Syed Saddiq secara peribadi, melainkan mewakili generasinya yang juga generasi kami bersama: generasi para pemuda.
Benarkah pemuda itu budak? Benarkah masih banyak benda pemuda kena belajar? Separa-ya untuk yang pertama, dan benar sekali untuk yang kedua.
Untuk yang pertama, benar pemuda itu budak, kerana pemuda perlu memperbudakkan diri kepada kebenaran, pengetahuan dan segala hal-hal yang baik dan murni. Namun, tidak sesekali pemuda itu selayaknya diperbudakkan, apatah lagi kepada manusia, melainkan diperbudakkan oleh hal-hal yang murni tadi dan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
Untuk yang kedua, benar sekali kerana biarlah umur hidup seribu sekalipun, seharusnya tidak akan pernah rasa cukup untuk belajar, dan masih banyak benda kena belajar, melainkan bagi orang-orang yang angkuh merasakan sudah cukup dan tidak perlu belajar lagi.
Namun dalam hal YB Syed Saddiq ini, beliau bangkit di dalam ‘dewan mulia’ itu untuk mengajukan persoalan, bukannya hendak mengajak bermain permainan anak-anak. Perkara yang hendak dibangkitkan bukannya perkara main-main, melainkan perkara yang melibatkan rakyat. Namun dikeranakan beliau pemuda, lantas dipanggil budak.
Lucunya, yang menggelar pemuda ini budak sebenarnya orang-orang tua yang dahulunya mereka pernah juga jadi pemuda. Disebabkan keangkuhan, mereka tidak memikirkan jika gelar budak itu dikenakan kepadanya sewaktu zaman pemudanya, yang mungkin sedang lantang bersuara mengenai satu-satu idea dan cadangan, yang kebiasaannya dilakukan pemuda.
Pemuda sangat segar dengan ideologi, cadangan dan pandangan baharu terhadap satu-satu perkara. Pemuda tidak boleh digelar budak secara membabi buta sahaja tanpa meneliti dengan adil akan hal-hal yang hendak dibicarakannya. Ini tidak, belum apa-apa sudah ‘berjenaka’ dengan memanggil pemuda itu budak dan anak kecil.
Inilah perkara yang sudah lama sebenarnya berakar dalam masyarakat. Anak muda dianggap bodoh dan mentah dikeranakan umurnya yang muda, kurang pengalaman kononnya tidak seperti orang-orang lama yang sudah lanjut usianya. Akhirnya, momokan ini menjadi kerak yang amat keras sehinggakan tidak boleh dipersoalkan, dan harus diterima. Hasilnya, idea-idea yang bersekitar dalam masyarakat ialah idea-idea lapuk dan lama, mengikut acuan para tetua. Anak muda cuma boleh duduk pasif dan menerima sahaja segala ceramah dan doktrin daripada mereka. Mujurlah sejak dua menjak ini semakin ramai pemuda yang sedar akan momokan jelik ini, lalu mereka lebih yakin menyuarakan idea dan cadangan mereka tanpa mengendahkan kasta umur yang mengarut itu.
Umur tidak boleh dijadikan ukuran akan kebudayaan fikiran seseorang manusia. Para intelektual, budayawan dan pejuang dalam jalur sejarah kebanyakan lahir daripada para pemuda. Orang-orang seperti Rosli Dhobi, Dr. Burhanuddin, Jose Rizal, Sjahrir dan ramai lagi itu berjuang sejak dari mudanya untuk bangsanya. Bayangkan jika momokan pemuda itu budak sangat kuat dan merasuk pemikiran para pejuang dan intelektual ini, mungkin mereka tidak mampu untuk melahirkan idea-idea besar, apatah lagi hendak wujudkan kekentalan jiwa mereka. Kebanyakan yang menghancurkan anak muda itu bukannya hal-hal dari luar pun, tapi budaya dalam masyarakat sendiri.
Ada perkara yang dialimi para pemuda namun tidak diketahui para orang lama. Sebaliknya juga begitu, ada perkara yang dimahiri para orang lama, namun para pemuda masih kurang mengerti. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Pengalaman fizikal itu mungkin layak dikreditkan kepada para orang lama dikeranakan perjalanannya yang sudah usang. Namun pengalaman pemuda tidak boleh dipermainkan. Pengalaman bukan sahaja diperolehi oleh fizikal, namun pengalaman di alam pengetahuan juga sangat penting. Melalui pembacaan, perkongsian pengalaman dan perolehan ilmu pengetahuan adalah antaranya yang menyumbang kepada pengayaan pengalaman para pemuda, walau mungkin pengalaman fizikalnya kurang dikeranakan angka umur yang kecil. Kedua-dua golongan ini ada kelebihan dan kekurangan, jadi mengapa harus ada kasta yang menunjukkan orang tua ini lebih hebat? Kalau hebat sangat, mengapa negara kita masih lebih kurang sama dengan situasi sedekad lalu? Ke mana pengalaman itu?
Kalau pemuda sudah dipinggirkan, apalagi marhaen-marhaen yang lainnya. Harap.
Artikel ini adalah tulisan saudara Naiem Zikri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.