Pelaksanaan ID Digital Nasional (IDN) adalah penting untuk memastikan negara kita bergerak maju ke arah penerapan aspek digital dalam kehidupan seharian.
Oleh itu penting untuk kita memahami siapa pemain utama dalam ekosistem IDN yang akan digunapakai di Malaysia.
Pemahaman ini dapat meredakan kegusaran atau kerisauan yang kini bermain di fikiran kebanyakan rakyat mengenai penerapan IDN di masa hadapan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab mendaftarkan setiap individu di Malaysia akan menjadi pihak berkuasa yang sama untuk pendaftaran dan pengeluaran IDN kepada pengguna.
Pengguna di sini pula merujuk kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang akan menggunakan IDN untuk menjalankan transaksi apabila berurusan dengan pihak kerajaan mahupun swasta.
Pada masa sama, kawal selia perlaksanaan dan penggunaan IDN melalui polisi dan regulasi yang relevan terletak pada organisasi berkaitan seperti BNM, SKMM, SS, JPJ dan sebagainya.
IDN akan digunapakai oleh penyedia perkhidmatan yang terdiri dari agensi awam dan swasta yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan digital seperti bank, agensi kerajaan, platform e-commerce dan sebagainya.
Tidak dinafikan, keberkesanan dan keselamatan IDN masih belum teruji sepenuhnya akan tetapi kita perlu bersedia untuk menerima pakai teknologi baru ini.
Dunia kini semakin bergerak ke arah digitalisasi dan kebanyakan urusan kita hari ini berlaku secara maya di atas talian dan jarak jauh.
Lambat laun, kita masih tetap memerlukan identiti digital bagi melengkapi ekosistem digital sedia ada yang kita gunakan sekarang.