Hari ini, 20 Jun adalah Hari Pelarian Sedunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Suruhanjaya Tinggi PBB Untuk Pelarian/United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) telah menetapkan tarikh 20 Jun sebagai hari istimewa ini sejak tahun 2001 bersempena dengan ulang tahun ke-50 Konvensyen Pelarian 1951.
Konvensyen Pelarian 1951 merupakan perjanjian multilateral yang memperincikan definisi pelarian. Ia juga turut memperjelaskan hak-hak pelarian yang diberikan perlindungan serta tanggungjawab negara yang memberikan perlindungan kepada pelarian itu. Ditandatangani pada 28 Julai 1951, sejumlah 146 negara anggota PBB meratifikasi konvensyen tersebut.
Malaysia walaupun merupakan negara anggota PBB, memilih untuk tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Kita juga tidak meratifikasi Protokol Berkaitan Status Pelarian 1967 yang merupakan dokumen tambahan kepada konvensyen yang asal. Bahkan, dalam lingkungan ASEAN juga majoriti negara anggota tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 kecuali Filipina dan KembojaBerkaitan Status Pelarian 1967.
Oleh kerana kerajaan sendiri memilih untuk tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, maka tidaklah menghairankan jika pemahaman rakyat Malaysia sendiri dalam isu pelarian adalah cetek. Kebanyakan dari rakyat Malaysia jika diajukan soalan berkemungkinan besar tidak dapat membezakan maksud pelarian dan migran, jauh sekali untuk faham tentang hak pelarian dan tanggungjawab negara tuan rumah yang menerima pelarian tersebut.
Pelarian tidak sama dengan migran. Pelarian merujuk kepada mereka yang meninggalkan negara asal tanpa kerelaan akibat faktor-faktor tertentu. Salah satu faktor utama berkaitan dengan politik seperti perang, penindasan atau pengusiran yang memaksa pelarian meninggalkan negara asal untuk mencari perlindungan di negara lain. Wujud juga faktor lain seperti ekonomi, bencana alam dan sebagainya. Dalam kebanyakan situasi, pelarian tidak mempunyai pilihan untuk kembali ke negara asal melainkan berlaku perubahan yang memungkinkan penerimaan kembali para pelarian tersebut.
Ini jelas berbeza dengan istilah migran yang merujuk kepada kelompok individu yang berhijrah ke negara lain atas sebab pekerjaan. Migran memilih untuk bekerja di negara lain atas beberapa faktor, seperti tiadanya peluang pekerjaan di negara asal atau tawaran upah yang lebih baik di negara mereka berhijrah. Migran juga mungkin bekerja di negara lain kerana kepakaran dan kebolehan yang mereka miliki. Oleh kerana itu ada istilah pekerja asing merujuk pada migran yang mungkin sekadar melakukan kerja berkemahiran rendah, atau ekspatriat merujuk pada migran yang ditagih kerana kepakaran atau kelulusan yang dimilikinya. Apa pun, keduanya tetap migran. Satu lagi perbezaan penting antara migran dan pelarian ialah, migran kebanyakannya berhijrah atas kerelaan sendiri serta mempunyai peluang untuk kembali ke negara asal.
Memahami dua perbezaan ini penting untuk kita mendalami persoalan berkaitan pelarian berbanding migran. Akan tetapi di Malaysia masih ramai yang kabur tentang beza antara keduanya. Bahkan tidak menghairankan jika ada yang dengan mudah menyamakan pelarian dan migran, semudah melihat pelarian Rohingya sama seperti migran Myanmar. Ya, keduanya asal dari negara yang sama tetapi itu tidak bermakna kita boleh menyamakan mereka sebegitu mudah.
Oleh kerana Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol Berkaitan Status Pelarian 1967, maka hak-hak pelarian di Malaysia adalah tidak terjamin. Penafian hak pelarian ini bermakna pelarian di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pekerjaan, pendidikan atau kesihatan dari pihak kerajaan sebagaimana yang telah diperincikan dalam tanggungjawab negara tuan rumah oleh konvensyen tersebut. Kerana itu pelarian di Malaysia, yang tidak terhad kepada Rohingya sahaja tetapi turut merangkumi pelarian Aceh, Syria, Palestin atau Uyghur sebagai contoh tidak dapat bekerja, bersekolah atau mendapatkan penjagaan kesihatan dari kerajaan tetapi bergantung harap pada usaha pihak PBB melalui UNHCR ataupun oleh NGO tertentu.
Permasalahan pelarian ini tidak akan selesai selagi Malaysia memilih untuk tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Ratifikasi terhadap konvensyen tersebut bukannya bermakna kita membuka sempadan negara kepada pelarian dengan sewenangnya, tetapi ia akan membantu untuk memastikan hak-hak pelarian sebagai manusia terjamin dan kita sebagai negara yang menerima pelarian akan melasanakan tanggungjawab untuk melayan setiap individu sebagai manusia tanpa prejudis.
Namun di sebalik pandemik Covid-19 dan peralihan kerajaan yang berlaku sejak setahun lalu, kita melihat bagaimana usaha ratifikasi terus terbantut manakala kerajaan pula bersikap keras terhadap pelarian. Layanan terhadap pelarian kini semakin kabur dengan tindakan pihak penguasa seperti polis dan imigresen yang merangkumkan pelarian sama seperti migran khususnya dari kelompok Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Kita perlukan kerajaan yang ada dasar simpati dan empati kepada kelompok manusia yang ditindas atau diusir seperti pelarian. Malaysia mungkin tidak meratifikasi konvensyen berkaitan, tetapi kita adalah salah satu negara anggota yang mengiktiraf Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang turut menjamin hak asasi semua manusia tidak terhad kepada warganegara sahaja.
Pelarian juga adalah manusia. Dan bersempena Hari Pelarian Sedunia pada hari ini, penting untuk kita menyantuni pelarian sebagai manusia dengan hak asasi selayaknya, bukan sebagai objek atau dilayan ibarat haiwan hanya kerana mereka terpaksa merempat di negara kita untuk lari dari penindasan, pengusiran atau kesulitan di negara asal mereka.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.