Malaysia adalah sebuah negara destinasi pelaburan yang tersohor di rantau ini, kelebihan kita dipacu oleh kestabilan politik, lokasi strategik, kepelbagaian ekonomi, infrastruktur yang mapan dan tenaga kerja yang mahir.
Di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI, negara ini menikmati kestabilan politik yang belum pernah dikecapi sejak dari tercetusnya Langkah Sheraton pada tahun 2020.
Kestabilan politik ini adalah penting dalam usaha kita menarik pelaburan masuk ke Malaysia kerana kebanyakan pelabur mahukan sebuah negara yang stabil bagi melindungi kepentingan mereka.
Justeru tidaklah menghairankan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kita kini kembali berupaya menarik minat pelabur khususnya dari luar negara.
Sepanjang setahun di bawah gabungan PMX dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Aziz pelbagai misi pelaburan telah dijalankan di seluruh dunia.
Hasil dari misi pelaburan di negara-negara tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk komitmen pelaburan bernilai RM347 bilion merangkumi pelbagai bidang industri pembuatan dan perkhidmatan.
MITI telah menetapkan sasaran pelaburan untuk tahun 2023 sebanyak RM220 bilion dan angka ini berkemungkinan besar akan berjaya dicapai berdasarkan prestasi semasa.
Untuk separuh pertama 2023, sejumlah RM132.6 bilion pelaburan telah pun diluluskan yang mewakili 60% dari sasaran tahunan ditetapkan.
Dari jumlah tersebut, 52.2% merupakan pelaburan tempatan manakala baki 47.8% adalah dari pelaburan asing.
Ternyata Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk kembali menarik pelaburan sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik dan krisis politik yang berlarutan semasa kerajaan terdahulu.