Pekerja Imigran Adalah Penjajah Dalam Diam? Ini Betul-Betul Kelakar!

Kelmarin petang saya menonton sebuah dokumentari makanan bersiri di Netflix.

Di episod ke-2 Street Food USA menampilkan seorang wanita Vietnam-Amerika, pengasas warung makanan vegan – Mama Dut.

Ketertarikan saya kepada episod ke-2 ini bukan kerana sajian vegan buatan wanita Vietnam-Amerika. Bahkan kerana perjalanan hidupnya sebagai warga imigran di Amerika Syarikat.

Thuy Pham (nama wanita Vietnam-Amerika ini) datang ke Amerika Syarikat pada tahun 80-an bersama ibunya. Ketika itu, Thuy berusia lebih kurang dua tahun. Dia mengisahkan pengalaman melarikan diri dari konflik di Vietnam, mencari keselamatan di kem pelarian di Indonesia dan akhirnya tiba di Portland, Amerika Syarikat sehari selepas hari jadinya.

Sepanjang hidupnya, Thuy berdepan dengan konflik jati diri.

Dia tidak merasakan selengkapnya seorang Vietnam. Juga, dia merasa tidak sempurna sebagai seorang Amerika.

Kehidupan seorang imigran tersangat kompleks. Nyaris sulit untuk dimengerti bagi mereka yang tidak ditakdirkan melalui jalan-jalan berliku merantau ke sebuah negeri yang tak siapa pun mengiktiraf haknya.

Sehinggalah pada suatu hari ketika Phuy berusia 40, dia menemukan dirinya dengan masakan.

Selama pegangan hidupnya berkmazhabkan vegan, Phuy melalui masakannya menggabungkan makanan tradisi Vietnam dan Amerika menjadi satu.

Perlahan-lahan proses memasak menjadi pemula buat wanita ini mendakap erat kenyataan dan merayakan tiap detik kehidupannya. Phuy kini bahagia bersama anak, ibu dan warung kecilnya, Mama Dut.

Keterpesonaan cerita hidup Thuy pantas terganggu apabila kemudiannya saya melayari akaun Facebook.

Saya menyesal; mengapa tangan ini gatal melayari video-video di garis masa Facebook. Kalaulah saya meneruskan episod ke-3, tak mungkin kebahagiaan, keterujaan dan rasa kagum terhadap perjalanan hidup imigran dirampas begitu sahaja.

Ini semua salah video pendek yang diterbitkan oleh seorang bekas wartawan yang kini sibuk mengendalikan video-video di media sosial.

Menurut beliau, nasib hidup tokey-tokey bundle di Malaysia kini dalam keadaan yang merbahaya. Ini kerana warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia sekarang sudah pandai berniaga bundle.

Sebagai Melayu-tulen yang berdarah pendekar (merujuk kepada karakternya yang berkilau sinar semangat Melayu-Islam), dia memberi amaran agar warga tempatan berjaga-jaga dengan keadaan ini.

Kapsyen video bikinan dia itu berbunyi begini,

“Satu-satu sektor dalam negara warga asing dah tawan. Pertanian pun dah lama depa sapu. Khabarnya, bisnes bundle pun depa nak conquer dah. Sana sini dah ada kampung depa. Adakah ini penjajahan dalam diam?”

Ada dua perkara yang dikatakan dia membuatkan saya rimas dan mahu termuntah.

1. Apabila dia mengatakan “satu demi satu hak kita depa rampas, bang”.

2. “Depa sudah menguasai ekonomi kita”.

Sesungguhnya saya menyesali perbuatan sendiri menonton video itu sehingga tamat.

Dua minit 42 saat dari kehidupan saya disia-siakan dengan melayani cakap dari seorang lelaki yang saya anggap sebagai gemar membaja syak wasangka, kebencian dan ketakutan lapuk kepada 1.8 ribu warga media sosial yang merespon ‘like’ kepada video itu.

Jadi terpaksalah saya mencabar idea video itu dengan menyajikan 3 perkara yang barangkali 1.8 ribu warga media sosial yang hanya tahu menuruti rutin media sosial “like, share dan komen” tanpa mendapat apa-apa keberkatan.

Adakah warga asing, pekerja imigran sama ada sah atau tidak punya dokumen lengkap datang ke Malaysia semata-mata untuk menjajah dan merampas hak warga tempatan?

Pertama.

Warga imigran sama ada lengkap atau tidak dokumennya datang ke Malaysia seawal tahun 80-an silam kerana mencari perlindungan, rezeki dek kerana negara asal mereka miskin, berkonflik dan tidak selamat.

Ketika ditemuramah ManisFM mengenai topik pekerja asing di Malaysia tanggal 27 Januari tahun ini, Jarud Romadon seorang pengkaji dan penulis di Khazanah Research Institute mengatakan ada kajian membuktikan bahawasanya setiap 10 warga imigran yang bekerja di sini menciptakan 5 pekerjaan buat warga tempatan.

Jelas Jarud, secara amnya latar belakang pendidikan warga imigran yang bekerja disini lebih rendah berbanding kebanyakan warga tempatan.

Disebabkan itu, mereka-mereka ini mendapat tempat kerja yang berkemahiran rendah (low skilled work).

Untuk lebih mudah difahami, low skilled work didefinisikan sebagai pekerjaan berkemahiran rendah yang kotor, merbahaya dan payah.

Jadi apabila 10 orang warga imigran bekerja di bahagian ini, 5 pekerjaan semisal penyelia dan sebagainya telah tercipta untuk warga tempatan. Terang-terang ini adalah satu perkara yang baik.

Soalan saya, tang mananya yang dia sebut pekerja Bangaladesh, Myanmar, Indonesia merampak hak rakyat Malaysia yang berdaulat?

Kedua.

National Employment Returns (NER) mengakui sektor agrikultur dan kilang menggunakan 60% tenaga pekerja asing. Manakala survey yang dibuat Malaysian Employers Federation (MEF) melibatkan 101 majikan, 78% kompeni mengatakan ‘shortage of local workers to fill vacancies’ adalah penyebab mereka merekrut pekerja asing.

Dalam kertas perbincangan Khazanah Research Institute, Covid 19: We Must Protect Foreign Workers bertarikh 5 Jun 2020, mereka tegas mengatakan,

“In summary, our economy (Malaysia) has created an expanding demand for low- and semi-skilled workers that has not been sufficiently supplied by our increasingly educated native labour force. The employment of foreign workers was therefore partly a solution to the labour market mismatch. Foreign workers have since filled the roles shunned by most Malaysian workers, yet essential for the continued development of the country.”

Maka dengan itu izinkan saya bertanya sekali lagi; tidakkah kita merasa diri ini busuk hati, tak reti bersyukur serta bodoh sombong di saat berjuta kaum imigran miskin datang ke sini untuk menambah sumber tenaga kerja demi menyiapkan projek-projek pembangunan ekonomi sedangkan warga tempatan berdarah pendekar mudah benar gementar, merasa tergigit dengan kebanjiran ‘kedai Acheh’, ‘mini Jakarta’ atau ‘pasar Dhaka’ dan mengatakan ini sebuah penjajahan?

Ketiga.

Menuduh warga imigran sebagai penjajah dan merampas hak keistimewaan rakyat tempatan secara mengkhinzir buta adalah sebuah tuduhan berbau fasisme yang selekeh.

Tidak ada dapatan yang membuktikan warga imigran yang tinggal di Malaysia menjadi penggubal polisi negara bertujuan merampas serta mengikis hak rakyat tempatan.

Tidak ada perbincangan akademik menyatakan sejumlah angka kaum imigran yang bekerja di sini kini sudah menjadi jutawan dan memperhambakan rakyat tempatan.

Yang ada adalah berita diskriminasi terhadap pekerja asing. Yang berkumandang adalah kemelut upah gaji pekerja imigran. Yang selalu disebut-sebut ialah rumah tempat tinggal pekerja asing yang kotor dan tidak selamat. Dan selalu kita bertindak tuli apabila diceritakan kisah benar autoriti di Malaysia membuli, mengugut wang dari pekerja imigran.

Lagipula, tidakkah kita lupa dokumentari sensasi terbitan Al Jazeera dua tahun lalu mengenai layanan negara terhadap pekerja asing di era Covid?

Setelah kajian demi kajian, laporan-laporan demi laporan, adakah logik membayangkan sesuatu yang absurd; warga imigran yang rapuh, miskin dan tak berdaya punya potensi menjajah Malaysia dalam diam? Ya saya tahu. Bunyinya kelakar.

Tetapi saya kecewa, keliru dan tak mengerti mengapa seorang bekas wartawan yang kini rancak menerbitkan video di media sosial tergamak bercakap benda-benda lapuk dan tak berfaedah.

Kalau mahu membincangkan soal jenayah di kalangan warga asing saya fikir ia relevan. Kerana bukan sahaja Malaysia yang mengalaminya. Tanyalah Jerman, Jepun, Kanada dan negara-negara yang menerima lebih ramai pelarian dan imigran.

Mereka menghadapi hal tidak berbeza dengan kita.

Jenayah wujud barangkali kerana polisi dan dasar yang tidak adil. Boleh jadi kerana upah yang sedikit. Boleh jadi kerana hak sebagai manusia dinafikan. Boleh jadi macam-macam.

Namun apabila menuduh setiap jiwa yang datang ke mari sebagai penjajah dan perampas, saya kira kita mesti mengukur sendiri siapa sebenarnya perampas, siapa pula penjajah.

Sekian lama orang Melayu terutamanya redha hasil kederatnya dirampas free loader sebagai tanda kesetiaan, tak pernah pula mereka bangkit memberontak. Sekian lama, orang Melayu terutamanya dikhayalkan dengan hak keistimewaan yang entah apa-apa itu, tetapi akhirnya merekalah yang banyak mengisi peratusan-peratusan golongan B40. Sekian lama, orang Malaysia dibuai-buai bahawa mereka adalah bangsa yang merdeka, namun kenyataannya mereka masih feudal, masih mengemis jasa bakti kelas atasan, masih dipaksa memilih tuan-tuan yang bakal memperbudakkan mereka.

Ada orang Malaysia terutama orang Melayu bangkit bersilat berjuang menuntut hak serta tenaganya yang dicuri free loader, orang politik, syarikat gergari korporat dan pemerintah? Ada?

Jadi saya fikir, elok benarlah tukang penglipur lara bekas wartawan tadi tumpukan sahaja minat beliau bercakap mengenai silat atau keris atau busana Melayu di dalam video-video yang akan datang.

Hapuskanlah kebencian dan syak wasangka tak tentu hala. Hidup ini bukan semuanya tentang hak bangsa kita semata. Hak orang lain jugak wajib diperkira.

Tak gitu bang?

Komen