DEMI kepentingan politiknya, PAS yang suka memfitnah dan tidak bermoral mula menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus. Hal ini terserlah apabila mereka melakukan fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH) dengan membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang, khususnya terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP).
DAP menjadi sasarannya apabila melihat kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berjaya mencapai jumlah kerusi kedua tertinggi dalam kalangan semua parti secara berasingan, di belakang PAS dan semua parti yang menjadi alat PAS dalam Perikatan Nasional (PN). Mereka menjumlahkannya sekali untuk menampakkan mereka banyak, walaupun PAS menjadi kepala yang terlalu besar daripada jasadnya.
Pandangan para fundamentalis dan konservatif sayap kanan yang paling menunggang Islam telah digunakan di Malaysia oleh PAS, sehingga dilaporkan maklumat yang salah terhadap DAP. Tindakan ini secara halus boleh mengelirukan mereka yang tidak mengkaji perlembagaan daripada sumber asalnya dan sejarah pelaksanaannya yang diterima tanpa sebarang paksaan.
PAS tidak mengambil iktibar walaupun beberapa ketika dahulu pernah berdialog bersama DAP secara langsung bagi menjelaskan banyak kekeliruan terhadap ideologi DAP yang menjadi modal mereka bagi memburukkan DAP dengan nyata. Namun, jawapannya adalah semata-mata kepentingan politik agama yang sempit dan masih menjadi pegangannya, sekalipun ia turut mengancam kaum, bangsa dan agamanya sendiri yang berada di tengah-tengah masyarakat majmuk.
Kalangan yang bercakap tentang Malaysia yang majmuk terus dilabelkan bersifat perkauman. Mereka juga menggunakan isu agama Islam dan isu bangsa Melayu sebagai bahan propaganda. Strategi ini digerakkan melalui media sosial dengan PAS menjadi dalang di belakangnya.
Hak Melayu Islam yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan terancam dan dalam bahaya, laksana dikepung musuh dari segenap penjuru. Malah, keistimewaan Bumiputera dan agama Islam sebagai agama rasmi yang diizinkan dalam perlembagaan dianggapnya boleh dirampas. PAS terus bersikap melampau terhadap dakwaannya bahawa umat Islam sedang dirosakkan secara halus dan terancang.
Keganasan kaum yang berlaku seperti peristiwa 13 Mei 1969 difitnahkan sebagai salah DAP semata-mata, sedangkan salah satu pencetus utama rusuhan kaum itu ialah parti GERAKAN yang tidur sebantal dengan PAS di dalam PN. Sehinggakan, ramai pengundi Melayu Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah (negeri kubu PAS) percaya kepada fakta yang berat sebelah dan jelas berbau fitnah.
DAP dilabelkan laksana ejen Zionis yang berperang dengan Palestin di Timur Tengah, walhal DAP jugalah yang mempunyai hubungan akrab dengan parti Palestin Fatah melalui organisasi seperti Progressive Alliance dan sentiasa bersolidariti menentang Israel atas penindasannya terhadap Palestin yang dizalimi, namun keadaan yang sebenar ditutup oleh PAS.
Hukum Islam hudud dan qisas terus menjadi modal PAS tetapi tidak dilaksanakan ketika menjadi kerajaan, hingga memberikan suatu gambaran buruk terhadap Islam dan wajah PAS yang dilihat menunggang isu tersebut sebagai modal politik mereka.
PAS memejamkan mata walaupun DAP mengamalkan konsep demokrasi dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi mengikut perlembagaan negara. Walaupun DAP sudah mengikut proses membentuk kerajaan persekutuan berdasarkan semangat perpaduan, namun terpaksa bersabar dalam keadaan kerajaan pusat terus difitnah oleh PAS. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana pilihan raya umum telah dilaksanakan dan kerajaan perpaduan telah dibentuk berdasarkan nasihat dari Yang di-Pertuan Agong.
Apakah hak PAS untuk mentohmah kerajaan perpaduan yang dipimpin PH sebagai kerajaan yang memusuhi agama Islam dan bangsa Melayu? Adakah ini tindakan sebuah parti yang kononnya berjuang di landasan Islam?
Sebenarnya, PAS yang menyemai Islamofobia, walaupun mereka cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah ulama, ustaz dan sebagainya. Namun, ia sekali-kali tidak boleh menghalalkan ideologinya yang menunggang Islam demi kuasa dan wang, laksana tidak boleh menghalalkan fitnah dan penipuan walaupun ianya dibuat atas nama agama Islam.
Siapakah yang membawa cadangan supaya bukan abu mayat mendiang Chin Peng tetapi Chin Peng sendiri ketika masih bernyawa untuk dibawa pulang ke Malaysia jika bukan sekutu PAS iaitu GERAKAN? Siapakah yang mendesak kerajaan membenarkan abu mayat mendiang Chin Peng dibawa pulang dan pernah mengucapkan selamat ulang tahun ke-100 pada Parti Komunis China jika bukan MCA? Semua itu dilakukan oleh parti-parti Cina bersifat perkauman dan pernah menjadi rakan dalam kerajaan bersama PAS tetapi yang diserang masih juga DAP.
Sikap PAS yang gemar menyerang parti pelbagai kaum seperti DAP memburukkan nama Islam, malahan pada masa yang sama menyemai Islamofobia di kalangan rakyat bukan Islam. Oleh itu, pada saat begini menunjukkan wajah PAS yang tersembunyi sebelum ini laksana menunggang agama saat terdesak.
Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan PAS yang bergelumang dengan fitnah, walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan berlebai.
(Artikel ini adalah adaptasi dari artikel asal tulisan Hadi Awang di laman sesawang Harakah. Ia ditulis kembali secara satira bagi memberikan pemahaman betapa artikel tulisan Hadi Awang itu ditulis secara semberono tanpa asas dan fakta yang kukuh untuk menyokong hujah penulisan beliau, melainkan bersandar kepada tuduhan melulu dan fitnah semata)
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.