Selepas rakyat dan ahli parlimen lantang meminta parlimen dibuka sejak proklamasi darurat, akhirnya kerajaan mempertimbangkan alternatif untuk meneruskan fungsi parlimen.
Pada 4 Jun 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menyatakan jemaah menteri sedang ‘mengkaji’ pelaksanaan parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam tempoh darurat dan pandemik. Namun, cadangan untuk melaksanakan parlimen hibrid ini dilihat agak lewat. Persoalannya, mengapa sekarang?
Terdapat banyak usul Rang Undang-Undang (RUU), khususnya RUU Perbekalan Tambahan dan melibatkan perbelanjaan pandemik yang masih belum dibahaskan lagi. Malah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) masih belum dibentangkan di parlimen setelah ditangguhkan hampir setahun.
Hakikatnya, sekiranya kerajaan PN menangguhkan sidang parlimen lebih lama, meskipun melanjutkan tempoh darurat, ada kemungkinan urusan Belanjawan 2022 yang dijangka akan dibentangkan pada bulan Oktober ke atas akan terganggu oleh kerana perlu mendahulukan perkara di atas apabila parlimen bersidang semula.
Sebab itu, parlimen hibrid adalah pilihan untuk menyelesaikan kemelut ini. Tetapi, masih ramai tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan parlimen hibrid dan sejauh manakah ia mampu dilaksanakan, memberi impak kepada tadbir urus negara.
Parlimen Hibrid Pendekatan Jalan Tengah
Parlimen hibrid boleh ditakrifkan sebagai persidangan parlimen yang membenarkan sebahagian ahli parlimen hadir secara fizikal ke parlimen dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan seperti penjarakan fizikal antara tempat duduk ahli parlimen di dalam dewan sidang. Manakala sebahagian ahli parlimen yang lain bersidang secara maya dalam perbahasan dan pertanyaan kepada menteri.
Pendekatan ini telah digunakan oleh beberapa parlimen di dunia seperti United Kingdom (UK) untuk memastikan peranan semak dan imbang parlimen dapat diteruskan meskipun pandemik melanda.
Pelaksanaan parlimen hibrid ini ada dua kebaikan. Pertama, ia dapat mengurangkan jumlah orang ramai yang hadir di parlimen. Menurut Institute of Government, sebuah badan pemikir di UK, parlimen secara hibrid dapat mengawal risiko penularan wabak di parlimen, khususnya ahli parlimen dan kakitangan parlimen yang mempunyai risiko kesihatan kerana terdedah dengan kerja-kerja lapangan dan berjumpa orang ramai.
Kedua, ahli parlimen dapat meneruskan tugas mereka dalam menyemak dan meneliti tadbir urus kerajaan meskipun berada dalam pandemik. Mereka juga boleh menyumbangkan idea dan membangkitkan isu-isu rakyat yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Namun, terdapat juga beberapa cabaran yang bakal dihadapi ketika melaksanakan parlimen hibrid. Parlimen hibrid akan menghadkan ruang dan masa penyertaan buat ahli parlimen, khususnya ketika perbahasan berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU).
Institute of Government yang memerhati pelaksanaan parlimen hibrid di parlimen UK mendapati ahli parlimen tidak mempunyai waktu perbahasan yang cukup dan berkualiti, khususnya perbahasan atas talian, kerana gangguan teknikal yang kerap berlaku.
Masalah ini menyebabkan beberapa prosedur parlimen, seperti urusan pengundian ditangguhkan Speaker kerana ia mengambil masa yang lama untuk mengumpulkan keputusan secara fizikal dan maya.
Walau apa pun, parlimen hibrid sebenarnya adalah jalan tengah yang membolehkan parlimen berfungsi menyemak ketelusan kerajaan ketika kes jangkitan COVID-19 masih tidak menentu.
Namun, harus ditekankan juga parlimen hibrid ini hanyalah sementara dan persidangan parlimen yang sebenar merupakan medan terbaik untuk membuktikan parlimen benar-benar berfungsi dah ahli parlimen dapat ‘bekerja’ semula untuk rakyat dan negara.
Mampukah Kita?
Speaker Dewan Rakyat secara konsisten memberitahu bahawa parlimen tidak bersedia mengadakan sidang parlimen secara maya. Beliau menyatakan perlembagaan persekutuan, proklamasi darurat, dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah untuk persidangan fizikal dan pindaan perlu dibuat sekiranya parlimen mahu bersidang secara maya.
Parlimen Malaysia masih lagi terikat dengan konsep persidangan secara fizikal. Ada hujah yang menjelaskan bahawa Perkara 62 (5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli parlimen yang tidak hadir dalam sesuatu Majlis Parlimen tidak boleh mengundi.
Oleh itu, Perkara 62 (5) ini perlu dibahaskan dan interpretasi yang lebih jelas definisi ‘hadir’ dalam sesuatu sidang parlimen. Adakah ahli parlimen bersidang secara maya dikira sebagai ‘hadir’ dalam Majlis Parlimen dan dibenarkan mengundi? Adakah komposisi ahli parlimen pembangkang dan kerajaan bersidang secara fizikal sama? Adakah undi belah bahagian akan dilakukan seperti biasa atau tidak?
Persoalan-persoalan ini penting untuk dijelaskan oleh kerajaan supaya parlimen hibrid berfungsi dengan baik. Model parlimen hibrid juga harus mengutamakan prinsip kesaksamaan dan adil antara ahli parlimen bersidang secara fizikal dan maya dalam perbahasan dan sesi pertanyaan. Penting untuk kerajaan tidak memendekkan waktu persidangan atau sesi pertanyaan menteri sekiranya parlimen hibrid dilaksanakan.
Bagi memastikan parlimen hibrid ini dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sokongan ahli parlimen secara dwipartisan, kerajaan PN perlu melibatkan ahli parlimen dalam membincangkan cadangan ini. Ia amat penting untuk memastikan parlimen hibrid mengambil kira kepentingan ahli parlimen dan bukan menumpukan seluruh agenda kerajaan.
Perbincangan ini boleh melalui Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Isu-isu teknikal dan prosedur sementara parlimen hibrid boleh dibincangkan dalam jawatankuasa ini, selari dengan peranan mereka sebagai pihak yang menjaga urusan parlimen. Selain itu, penting juga kerajaan membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas parlimen berfungsi secara atas talian.
Kini, tidak ada alasan buat kerajaan PN melengahkan pelaksanaan parlimen hibrid memandangkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berpendapat parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan isu rakyat dan negara berdepan krisis pandemik.
Saya percaya, parlimen hibrid adalah pendekatan terbaik dalam memastikan parlimen ‘bernyawa’ untuk membahaskan keperluan rakyat ketika pandemik. Ahli parlimen pihak kerajaan dan pembangkang harus memanfaatkan konsep parlimen hibrid ketika ini bagi mencari penyelesaian terbaik untuk mengakhiri beban rakyat berhadapan pandemik.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.