Beberapa hari yang lepas, saya dikepong oleh beberapa orang kawan yang bertanya sama ada saya akan menyertai Saudara Syed Saddiq dalam usaha beliau membina sebuah parti anak muda yang baru.
Saya jawab dengan ringkas dan yakin, TIDAK.
Mereka yang bertanya mula menuduh saya memilih jalan mudah. Mereka mendakwa saya seorang konservatif dan tidak berani mengorak langkah bagi membawa perubahan. Mereka memberi amaran bahawa saya akan digigit, dikunyah dan ditelan oleh politik dan politikus lama.
Ada pula yang menasihatkan supaya tidak terlampau dogmatik sehingga terlepas peluang keemasan untuk saya ‘naik’ lagi . Saya yakin apa yang mereka sampaikan adalah dengan penuh keikhlasan, sangka baik dan ketulusan.
Tetapi, bagi saya, keanggotaan dalam sesebuah parti politik punya makna selain dari sekadar kuasa dan peluang untuk membawa perubahan. Saya seorang demokrat sosial. Dan parti yang saya pilih sejak 12 tahun yang lalu, sudah pasti sebuah parti yang bertunjangkan demokrat sosial.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah satu-satunya parti demokrat sosial di Malaysia, yang merupakan anggota Social Democrat Asia di peringkat Asia dan Progressive Alliance di peringkat antarabangsa.
Anak muda yang memilih wadah lama tidak semestinya tergolong sebagai memilih jalan mudah, malah mendedahkan diri kepada persaingan terbuka tanpa kira usia.
Anak muda yang berideologi bukan berfikiran ketinggalan zaman, hanya punya kecenderungan yang telah dikaji, diuji dan diperhalusi oleh ramai buat sekian lama.
Anak muda ini, tidak menolak pandangan mereka yang lebih berusia tetapi berunding dan mencari titik persamaan, tak perlu dihina; yang sesama lawan perlu kita kurangkan, supaya lebih ramai sesama berkawan.
Anak muda ini, yang tidak lagi semuda dahulu, menceburi politik bukan untuk ‘naik’. Meskipun begitu, saya pernah menjawat jawatan tertinggi, dalam pertubuhan politik belia terbesar di dunia. Sebelum pengkhianatan pula saya pernah diamanahkan sebagai EXCO Negeri. Sudahlah.
Yang saya mahu, adalah peluang untuk membawa perubahan, kalau ia bermaksud saya lepaskan peluang untuk ‘naik’, biarlah. Bukan saja begitu, cara perubahan dibawa itu pun perlu mengikut pegangan dan kaedah yang serasi dengan ‘world view’ saya.
Saya menyambut kedatangan wadah baru Syed Saddiq dengan penuh keikhlasan. Walaupun Syed Saddiq tidak pernah menjemput, beberapa orang kawan yang terlibat dari awal pernah membawa cadangan kepada saya untuk turut terlibat.
Tetapi, bagi saya, saya kekal dan akan terus kekal sebagai seorang demokrat sosial, yakni, bersama DAP.
Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).