Palestin Memerlukan Sokongan Dunia

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Ketegasan dan kesungguhan Malaysia terutamanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyokong, mempertahan dan membela hak dan nasib rakyat Palestin tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Sejak dulu hingga kini nama Malaysia dan Dr Mahathir cukup sinonim dan konsisten dalam soal ini termasuk menyatakan pendiriannya dengan berani di pelbagai forum dan patform antarabangsa. Walaupun sedar kedudukan dan kuasa kita sebagai sebuah negara yang kecil tidak seberapa, namun itu tidak pernah menjadi halangan untuk pemimpin negara tampil mengutuk dan menegur kezaliman Israel seterusnya membela nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Misalnya baru-baru ini ketika merasmikan Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk al-Quds, Dr Mahathir sekali lagi mengajak masyarakat dunia membuka mata melihat kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara blok Eropah terhadap rakyat dan negara Palestin. Naratif yang beliau mahu masyarakat dunia faham dan sedar ialah, krisis dan konflik di Asia Barat terutamanya antara Israel dan Palestin adalah soal ketidakadilan dan krisis kemanusiaan, dan bukannya berkaitan isu agama semata-mata.

Dr Mahathir mahu masyarakat dunia memahami isu sebenar di sebalik konflik Israel-Palestin ini. Hal ini sangat penting kerana selama ini Israel dengan bantuan AS dan negara barat sekutunya yang lain berjaya menggaburi pandangan masyarakat dunia dengan meyakinkan isu ini adalah soal berkaitan pertempuran antara umat Islam dan yahudi. Akibatnya Israel terus mendapat pelbagai sokongan dari negara luar tanpa mereka sedari ianya menbabitkan penindasan, ketidakadilan dan krisis kemanusiaan yang sangat meruncing. Justeru umpama sudah terang lagi bersuluh, Palestin dan rakyatnya sangat memerlukan sokongan dan ihsan masyarakat antarabangsa bagi keluar dari kemelut dan krisis kemanusiaan yang boleh dikatakan antara yang paling tragis dalam sejarah peradaban manusia ini.

Dalam konteks ini, masyarakat dunia juga perlu memahami dan menyokong pandangan Dr Mahathir bahawa pelan damai Israel-Palestin yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang juga kononnya dikenali sebagai Deal Of The Century, hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik kepada Palestin dan menghadirkan lebih banyak bantahan dari jutaan penduduk di seluruh dunia. Pelan damai yang dibentuk tanpa rundingan dengan Palestin ini sudah semestinya sangat berat sebelah, dan akan memberi lebih banyak kuasa kepada Israel. Muslihat dan agenda tersembunyi Israel dan sekutu kuatnya AS perlu difahami dengan jelas oleh masyarakat dunia.

Justeru masyarakat dunia tanpa mengira agama dan latar belakang yang menyanjung keadilan dan hak asasi kemanusiaan perlu bangkit membantah pelan damai ini. Jika kita berdiam diri atau menyokong pelan damai ini, kita wajar dilabel sebagai bersubahat dengan kuasa besar lain yang ingin mengambil kesempatan ke atas negara dan rakyat lain dengan cara menafikan dan menidakkan hak serta menindas dan menzalimi mereka. Masyarakat dunia perlu malu jika membenarkan kezaliman dan penindasan ini terus berlaku. Cukuplah kita berdiam diri selama ini, jangan terus tutup mata dan memekakkan telinga dari melihat dan mendengar rintihan penduduk Palestin. Ingat, mereka juga adalah manusia yang ada hak untuk menikmati kehidupan yang bebas, tenang, aman dan selamat. Sikap masyarakat dunia yang tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling kita menyebabkan sebuah negara yang berdaulat semakin hilang dari peta dunia, dan rakyatnya menjadi pelarian di negara sendiri. Malah projek penghapusan etnik secara sistematik dan terancang sedang giat dilaksanakan depan mata kita semua dan kita hanya berpeluk tubuh menjadi penonton yang tidak terdaya. Jangan lupa apa yang sedang berlaku ke atas Palestin dan rakyatnya boleh berlaku di mana-mana negara lain pada bila-bila masa jua jika kita terus berdiam diri.

Jadi kita di Malaysia marilah terus menzahirkan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan Dr Mahathir supaya terus berjuang mempertahankan hak dan nasib negara dan penduduk Palestin. Kita sepatutnya berbangga tatkala negara Islam dan pemimpin dunia yang lain berdiam diri, berpeluk tubuh atau tunduk menikus dalam soal Palestin ini, negara kita dan Dr Mahathir tampil secara konsisten dan berani untuk terus menegur kezaliman Israel dan kuasa besar yang lain. Jadi cakap-cakap seperti kita tidak perlu masuk campur hal orang lain serta bergaduh dengan negara lain adalah tingkah laku dan sikap yang sangat tidak bertanggungjawab, mementingkan diri dan bersifat kebudak-budakan. Prinsipnya kita memang mahu berkawan dengan semua negara dan menghormati kedaulatan mereka namun itu tidak boleh dijadikan alasan dan sempadan untuk menegur kesilapan yang berlaku di depan mata dan memperjuangkan ketidakadilan serta mempertahankan hak mereka yang bertindas. Sebagai manusia dan anggota masyarakat dunia kita juga ada peranan yang perlu dizahirkan mengikut kemampuan masing-masing.

Tentang Penulis

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat.

Komen