Apa yang dibongkar melalui Op Pedo 2.0 bukan sekadar satu operasi polis. Tetapi ia adalah cermin yang memantulkan wajah hitam masyarakat kita. Baru setahun lalu, Op Pedo 1.0 membongkar jaringan pengedaran bahan lucah kanak-kanak. Kini, dalam masa tidak sampai setahun, kengerian yang sama muncul kembali. Kali ini dengan 31 suspek terlibat, termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.
Lebih menyedihkan, seorang remaja 17 tahun dilaporkan meraih RM76,000 hasil jualan bahan lucah kanak-kanak hanya dalam sembilan bulan pertama tahun 2025. Di mana silapnya? Apakah undang-undang kita terlalu lembut sehingga pelaku berani menjadikan penderitaan kanak-kanak sebagai mata pencarian?
Ini bukan sekadar statistik. Ia adalah tragedi nasional yang menggambarkan betapa undang-undang kita gagal mengikuti tempo kelajuan jenayah digital. Op Pedo 2.0 dijalankan merentasi sembilan negeri, dari Kedah hingga ke Sabah dengan rampasan lebih 880,000 fail digital lucah kanak-kanak. Untuk perbandingan, Op Pedo 1.0 hanya menemukan sekitar 40,000 fail. Ini bukan lagi kes terpencil. Ia kini satu industri jijik yang beroperasi dengan aplikasi sulit, penyimpanan awan dan dompet digital.
Kelemahan Undang-undang Dan Kekebalan Teknologi
Kita sering bercakap mengenai perlindungan kanak-kanak, tetapi realitinya pelaku lebih cepat menyesuaikan diri berbanding pengukuhan undang-undang. Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terlalu longgar dalam konteks jenayah siber masa kini. Hukuman penjara dan denda yang ringan tidak memberi kesan kepada pemangsa digital yang kini lebih celik kripto daripada celik moral.
Kerajaan Madani perlu berhenti sekadar menzahirkan simpati. Sudah tiba masanya reformasi perundangan dibuat secara menyeluruh. Mewajibkan platform teknologi bertanggungjawab atas kandungan yang disebarkan, mengenakan hukuman mandatori yang setimpal dan memperkukuh mekanisme pengesanan serta pencegahan di peringkat akar umbi.
Syerleena Abdul Rashid: Suara Tegas Di Parlimen
Dalam kekecohan ini, seorang wanita berdiri teguh menentang arus ketakutan dan keengganan politik: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid. Beliau antara yang paling lantang bersuara menentang eksploitasi seksual kanak-kanak dan kelemahan kawalan digital negara. Syerleena menuntut agar isu ini tidak lagi dianggap “isu sampingan” tetapi sebagai ancaman keselamatan nasional.
Ketegasan beliau bukan sahaja menggugat budaya diam, tetapi juga menonjolkan satu hakikat: bahawa perlindungan kanak-kanak adalah juga isu feminisme. Ia menyentuh soal kuasa, keadilan dan ketidakseimbangan dalam struktur sosial yang membenarkan pemangsaan berulang kali. Syerleena tidak hanya menegur pelaku, tetapi juga sistem yang membiarkan mereka wujud.
Masa Depan Anak Kita
Tidak ada reformasi ekonomi, digital mahupun sosial yang bermakna jika negara gagal melindungi generasi mudanya. Apabila kanak-kanak menjadi komoditi, tamadun kita sedang reput dari dalam. Maka setiap ibu bapa, guru dan pemimpin komuniti perlu menjadi benteng pertama — mendidik, memantau dan melapor.
PDRM dan SKMM telah menunjukkan keberanian dan profesionalisme luar biasa. Namun, mereka tidak boleh berjuang bersendirian. Tanpa pembaharuan undang-undang, tanpa akauntabiliti syarikat teknologi dan tanpa kesedaran masyarakat, Op Pedo 2.0 hanya akan menjadi satu episod dalam kitaran kegagalan moral kita, yang akan disusuli dengan Op Pedo 3.0 dan seterusnya.
Kita harus menolak normalisasi eksploitasi dan memperjuangkan undang-undang yang melindungi, bukan sekadar menghukum selepas tragedi. Kerana apabila anak-anak dijadikan mata wang nafsu, maka seluruh bangsa sedang kehilangan jiwanya.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.









