Nasib Pemegang Kad Pengenalan ’14’

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Semua rakyat maklum, nombor 14 sinonim dengan kod negeri dalam kad pengenalan kepada mereka yang lahir di Kuala Lumpur. Jika pergi ke negeri lain dan mereka terlihat kad pengenalan nombor 14 ditengah-tengah digit, perkara pertama yang akan diungkap atau difikirkan adalah ‘budak bandar’.

Memang ada tanggapan daripada orang luar Kuala Lumpur bahawa anak bandar dilihat hidup selesa, banyak kemudahan dan dikelilingi hutan konkrit dan bangunan pencakar langit. Mungkin andaian ini benar, tetapi ia tidak menggambarkan realiti hidup di kota raya yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat, anak bandar lebih terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi dan kesan bebanan ini boleh dirasai dalam tempoh yang panjang.

Sebab itu, isi rumah berpendapatan rendah dan miskin di bandar bergantung penuh kepada bantuan kerajaan untuk memastikan mereka dapat menampung bebanan hidup. Namun, saya boleh katakan, bantuan kepada warga kota begitu terhad dan tidak mencerminkan ‘kemewahan’ yang sering disebut orang ramai.

Penduduk negeri lain boleh mendapat bantuan daripada kerajaan negeri masing-masing, tetapi untuk penduduk Kuala Lumpur, mereka sukar untuk mendapatkan bantuan daripada sebuah kerajaan negeri atau tempatan. Meskipun belanjawan tahunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mencecah berbilion-bilion ringgit, melebihi beberapa belanjawan negeri lain seperti Perlis dan Melaka, tetapi rakyat bandar tidak banyak mengetahui skim dan bantuan yang diperuntukkan kepada mereka.

Jika ada sekalipun peruntukan bantuan dan skim untuk warga kota, ia amat terhad dan selalunya bersifat “one-off”. Begitu juga dalam bantuan pendidikan, biasiswa yang disediakan oleh Yayasan Wilayah dan pusat zakat terlalu kecil sehingga ada yang mendakwa ia bersifat pilih kasih, hanya dirasai oleh kumpulan tertentu.

Mesti ramai yang bertanya apakah punca perkara ini berlaku? Mengapa bantuan kepada orang bandar berpendapatan rendah terhad?

Dominasi parti politik sebagai ‘ejen’ atau orang tengah dalam pengagihan bantuan kepada warga kota merupakan punca utama masalah ini berlaku. Disebabkan warga Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa memilih sebuah kerajaan ‘negeri’ dan Datuk Bandar, maka Menteri Wilayah (yang tidak dipilih warga kota) mempunyai kuasa melantik anak-anak buahnya dalam pentadbiran Kuala Lumpur.

Selalunya, ejen atau orang tengah politik akan oleh dilantik Menteri Wilayah dan DBKL sebagai Majlis Perwakilan Penduduk  (MPP) di setiap zon mengikut kawasan parlimen dan ada juga diserap sebagai pegawai di pejabat cawangan DBKL.

Orang tengah lantikan politik ini mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan agihan bantuan kepada warga kota. Contohnya, penduduk yang mahu mendapatkan bantuan MyBeras@Wilayah dan MyFood@Wilayah perlu mendapatkan kupon daripada MPP di zon masing-masing. Persoalannya, mengapa kupon atau peruntukan ini tidak diberikan secara langsung kepada ahli parlimen di Kuala Lumpur yang telah dipilih rakyat secara sah dan demokratik?

Terdapat kebimbangan sekiranya bantuan ini juga dipolitikkan, diberikan kepada penduduk tertentu tanpa satu sistem yang telus dan adil. Ada kemungkinan segelintir penduduk tidak dapat agihan bantuan daripada MPP kerana bukan penyokong parti kerajaan.  Cara mempolitikkan bantuan kepada warga kota akan memburukkan lagi keadaan ekonomi rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang kian menggila.

Penilaian prestasi MPP ini juga tidak telus dan masih bersifat politik. Jika kerajaan persekutuan bertukar, MPP yang dilantik kerajaan terdahulu perlu ditukar tanpa mengira kecemerlangan perkhidmatan mereka kepada rakyat.  Perkara ini pernah berlaku apabila Menteri Wilayah kerajaan Perikatan Nasional (PN), Annuar Musa menstrukturkan MPP dilantik kerajaan terdahulu di tengah-tengah pandemik Covid-19 awal bulan Mac 2020.

Ironinya, ahli parlimen Kuala Lumpur paling terbeban di Malaysia. Berbeza dengan ahli parlimen negeri lain yang selalunya dibantu ahli Dewan Undangan Negeri dan kerajaan tempatan, ahli parlimen Kuala Lumpur terpaksa menjalankan tugas sendirian. Mereka tidak menerima peruntukan kawasan sama ada di peringkat DBKL mahupun kerajaan persekutuan. Ironinya, ahli parlimen pembangkang masih lagi bertahan dan mencari dana sendiri untuk meneruskan bakti kepada pengundi di kawasan masing-masing walaupun peruntukan mereka dinafikan.

Amalan mempolitikkan sumber bantuan kepada warga kota akan mewujudkan pengagihan ekonomi yang tidak adil. Ia hanya menguntungkan pihak yang menyokong parti pemerintah dan meminggirkan warga kota yang tidak mempunyai pengaruh dengan elit politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur. Sistem lapuk ini seperti membunuh masa depan golongan berpendapatan rendah untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

Inilah nasib yang terpaksa diharungi warga kota. Sudah beratus-ratus ulasan dan kajian mengenai miskin bandar dan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur. Tetapi, ramai warga kota masih tidak sedar bahawa masalah ekonomi di bandar ini akan menjadi lebih buruk sekiranya agihan sumber kekayaan itu dibolot oleh satu pihak, dibelanjakan secara tidak telus, dan diuruskan oleh pemimpin yang tidak dipilih warga kota.

Sejujurnya, tidak ada kaedah yang lebih baik mengatasi masalah ini selain memberi semula kuasa kepada warga kota untuk menentukan  bentuk pentadbiran yang mereka mahukan supaya ia kekal berfungsi. Lebih baik Kuala Lumpur mempunyai pentadbiran seperti kerajaan negeri yang mempunyai perwakilan yang boleh menguruskan pentadbiran bandar dengan telus dan berfungsi.

Sistem pentadbiran di Kuala Lumpur ini telah gagal menguruskan nasib warga kota dalam aspek ekonomi. Kemajuan bandar metropolitan sejak empat dekad yang lalu telah melebarkan jurang kaya dan miskin kota. Tidak ada sebab yang rasional untuk meneruskan sistem tadbir urus yang merugikan seluruh warga kota sejak berpuluh-puluh tahun lamanya selain membina semula asas pentadbiran Kuala Lumpur  yang berfungsi demi mengangkat kesejahteraan warga kota.

Komen