Entri ini kategori: no fear, no favour. Siapa hati keropok yang senang berderai, mohon jangan baca. Ada orang mengomel: perubahan tampuk sosiopolitik nasional tidak menyumbang sebarang anjakan dalam pendidikan. Reformasi yang dihasratkan, tidak pun berlaku. Benarkah?
“Naratif Pendidikan Baru” sebenarnya sudah berdendang hampir setahun. Jika sepintas dengar, ia seolah-olah satu lagi retorik polisi. Bagi sesetengah orang, barangkali ia sekadar slogan — yang cuma cantik pada pendengaran, tapi cetek dengan pengisian.
Saya fikir itu satu andaian yang tersasar. Selaku ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (satu-satunya dari Borneo), juga seorang pendidik sejak 25 tahun dulu — mari kita berkenalan, sambil saya berkongsi sedikit pandangan tentang hal ini.
Nama saya Rem Dambul, anak Momogun Dusun. Saya lalui empat fasa pendidikan yang berwarna-warni. Bermula dari desa terpencil di pedalaman Sabah, sebelum ke sebuah pekan semi urban di negeri jelapang padi. Kemudian melanjutkan pendidikan tertiari di kota metropolis, Kuala Lumpur. Kemuncaknya di England, negara bangsawan Inggeris nan tersohor.
Sejak Kementerian Pendidikan Malaysia beralih pimpinan tahun lepas, naratif baru itu sudah mula bercambah. Beberapa anjakan besar bersifat dasar berlaku, disusuli aneka perancangan strategi dan implementasi di peringkat akarumbi.
Tapi kita semua tahu, perubahan tidak berlaku dalam vakum. Proses itu bergeser dengan seribu faktor, fitrah dan hukum. Ya, pembaharuan perlukan masa untuk benar-benar tumbuh matang. Ia bukan seperti menyemai taugeh. Hari Sabtu tabur benih, Isnin depan sudah boleh tuai.
Pendidikan adalah aspek yang begitu dekat di hati semua orang. Ia merentas segenap sektor. Maka ia juga amat mudah mengundang diversiti pendapat. Atas sebab ini, isu-isu pendidikan begitu rapuh kepada pertentangan ideologi dan manipulasi politik.
Sebagai misalan. Tan Sri Rafidah lebih gemar murtabak, bukan martabat. Prof. Tajuddin mengidam masyarakat utopia yang maksum. Tun Daim pula kepingin dinamik ekonomi yang serba-serbi global. Kemahuan manusia terolah mengikut pengalaman peribadi, dan alam materi di mana mereka hidup menua.
Ya, tiga impian tokoh itu cukup terhormat. Tapi hakikatnya, itu cuma mewakili suara urban, komuniti elitis. Di Ulu Kukut, ada rintihan Gundohing Maragang tentang tangga kayu sekolah yang sudah lama dikunyah anai-anai. Ada juga keluhan Tok Batin Rikie tentang kasut putih anaknya yang cepat kotor merentas denai di celah hutan Lemoi.
Apa yang Rafidah, Tajudin et. al mahukan, sememangnya agung. Jika dibanding dengan cerita tangga dan kasut oleh Maragang, Rikie et. al — argh, itu semua terlalu picisan. Namun setiap cetusan nurani rakyat ada harga tersendiri. Tiada hak pendidikan, meski sekecil mana pun, yang wajar dipinggir.
Persoalannya — bila sumber tidak mencukupi, tenaga pemacu terhad: bagaimana prioriti dipilih dan diangkat sebagai tunjang kepada suatu naratif besar?
Selama bertahun-tahun, suara atasan menguasai wacana pendidikan Malaysia. Minoriti T20 (mereka yang mengisi 20% teratas segmen sosioekonomi) menentukan bagaimana naratif pendidikan diolah. Sebab mereka lebih mudah tembus pada akses media dan penguasa. Bahkan status dan kedudukan mereka pun, sudah memberi pemberat tinggi pada suara yang dilempar.
Tiada masalah dengan “soaring upwards” dari segi matlamat. Ia membawa mimpi mulia, mahu berdaya maju seantero sejagat. Cuma isunya: sampai bila status quo yang tidak seimbang diwariskan? Sampai bila kita merajadewatakan teriakan burjuis, dan meremehkan rintihan marhaen?
“Pendidikan untuk semua” — mungkin kedengaran kurang gah. Tidak melangit bombastik. Tapi ia membawa nilai yang jauh lebih membumi dan inklusif. Inilah naratif baru pendidikan, mengangkat ceruk yang selama ini tersorok. Mengalih kuasa dominan arahtuju pendidikan — dari kaum elitis kepada komuniti marginal.
Sebab itu juga, cerita kasut tiba-tiba berkumandang sebagai polemik nasional. Ini sebenarnya bukan tentang warna. Yang lebih utama, itu memberi isyarat awal bahawa akan berlaku satu peralihan naratif yang signifikan. Kasut itu cuma alat, bukan matlamat. Mesej yang mahu disampaikan: apa yang Natasya di Kuala Lumpur inginkan, sama penting dengan apa yang Sapok di Pensiangan mahukan.
Malang sekali, ramai yang tidak nampak pembaharuan tersirat ini. Yang didendang dengan kuat, hanya sepatu sekolah hitamputih. Padahal itu cuma simbol anjakan mentaliti. Itu bukan paradigma teras yang mewakili naratif pendidikan terkini. Yang benar-benar membina tunjang naratif itu adalah NILAI: yang dipacu cinta dan keadilan inklusif.
Kenapa agaknya semua citra penting “Naratif Pendidikan Baru” ini digelapkan? Yang suka-suka diulangtubi hanyalah warna kasut, spekulasi khat dan hal-hal remeh yang sewaktu.
Mungkin ini sengaja dilakukan oleh kaum kuasawan pendidikan (baca: the so-called socioeconomic bourgeois) pada era yang lalu. Mereka mahu kekal dominan sebagai penentu naratif, lalu mengalih perhatian majoriti kepada hal-hal negatif. Mungkin mereka fikir, dengan tekanan begini, mereka boleh mendapat kembali status quo elitis — yang selama ini merajalela sebagai kuasa penentu.
Apakah aspirasi dan cita-cita kuasawan burjuis ini pincang? Tidak juga. Segala impian mereka tentang pendidikan melangit “soaring upwards” masih lagi diteruskan. Kita masih perlu berdayasaing dalam jagat globalisasi.
Yang bertukar cuma posisi dan prioriti. Ya, naratif utama telah dialih. Dari berpaksikan KPI yang mengejar segala bentuk nombor, kepada nilai-nilai yang lebih insani. Bukan lagi taksub dengan keagungan numerikal. Jika naratif ini tidak diubah; maka kuasawan burjuis akan selamanya menentukan ke mana pendidikan negara harus dihalakan.
Kita terkinja-kinja mengagungkan mutu pendidikan Jepun dan negara-negara Scandinavian. Tapi kita cuma terpesona dengan kurikulum dan sistem mereka. Sedangkan kita buta pada nilai yang menjadi fundamental. Di negara-negara ini, fasiliti OKU lengkap nombor satu; tiada komuniti marginal yang dipinggir oleh polisi dan implementasi. Gila apa kita mengidam sistem yang serupa, jika kita belum pun mencapai prasyarat asas yang mereka ada?
Sesudah 56 tahun Malaysia dimahsyurkan — kita tidak boleh lagi memandang isu pendidikan dari kacamata yang sama. Hanya mahsyuk dengan tuntutan trend dan cita-cita mekanikal, bukan melihat keperluan nilai. Kita tidak boleh lagi sekadar menambahbaik falsafah, arahtuju, matlamat dan strategi. Sedangkan NARATIF yang menghidupkan seluruh roh pendidikan itu sendiri, tidak pernah diperbaharui.
Konsep pendidikan untuk semua — salah satu tujahan penting naratif pendidikan baru — mengangkat isu marginal dan peminggiran. Supaya jurang dan segregasi yang selama ini menjarakkan kaum elitis dan marhaen dapat dirobohkan.
Sebab itu pelan tindakan inklusif OKU dapat dimeterai di IPT, selepas berpuluh tahun mandatnya terbenam. Lebih separuh isu sekolah daif dapat diselesaikan dalam tempoh setahun, sedangkan magnitud penyelesaian yang setara mengambil masa lebih sedekad dalam naratif lama. Isu-isu pendidikan marginal lain (komuniti Orang Asli dan natif Borneo; juga pelajar tanpa dokumen) diberi pemerkasaan bertaraf nasional.
Jika status quo kekal meraja, kita akan terus terpenjara dalam budaya pemikiran kosmetik. Yang hanya rakus mengunyah kulit, tapi tidak reti menghadam isi. Bebal tidak bertempat; bengap sampai mendap.
(Tulisan ini dikongsikan kembali dari Facebook Rem Dambul dengan izin beliau)

Rem Dambul atau Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul adalah seorang klimatologis asal Sabah. Beliau juga merupakan penulis buku antaranya Alien Menchari Chinta, Déjà Vu Cinta Pencari Katarsis dan Dari Cinta Kepada Cinta, selain pernah menjadi penyunting utama buku ‘Sabah Priority Issues: Setting the Course for Change’.