Najib vs Adly Zahari Di Melaka

DALAM sebuah buku kajian politik yang menghimpunkan lebih 20 orang saintis politik dan pengamalnya, terbitan ISEAS-Yusuf Ishak bertajuk ‘The Defeat of Barisan Nasional’, suntingan Francis E. Hutchinson dan Lee Hwok Aun; kedua-duanya membuat beberapa rumusan hasil dari pengamatan ahli akademik yang objektif. Salah satu kesimpulan yang besar dibuat oleh mereka adalah, Barisan Nasional tewas pada tahun 2018 ketika Pilihan Raya Umum ke-14 kerana faktor ‘wajah buruk’ Najib Razak dan rupa hodoh UMNO.

Francis E. Hutchinson dan Lee Hwok Aun misalnya menuliskan ayat begini dalam rumusan buku setebal 509 halaman itu;

‘the former prime minister was ultimately a greater liability for BN’s cause than anticipated; atau ‘bekas perdana menteri adalah beban besar buat Barisan Nasional dari yang dijangkakan.’

Bukan itu sahaja, kedua-duanya, sang saintis politik berpengalaman menyatakan Najib gagal membantu BN kerana pertama, gagal membersihkan wajahnya dari korupsi. Wajahnya tercemar teruk. Kedua, beliau gagal memisahkan dirinya dari Rosmah Mansor. Ketiga, pengamatan salah seorang felo ISEAS, Serina Rahman bahawa Najib mementingkan diri sendiri, boleh dibeli (istilah yang digunakan adalah venal satu kata yang dihubungkan dengan rasuah); malah angkuh.

Tentu sahaja, pada tahun 2018 itu terdapat beberapa faktor lain yang membawa kepada kejatuhan Barisan Nasional; antara lain isu atau faktor yang mendorong kepada penolakan terhadap BN adalah isu-isu nasional yang berkesan, faktor Tun Mahathir, dan beberapa faktor lain termasuk ekonomi. Akan tetapi kita tidak akan membincangkan itu di sini.

Oleh sebab Najib Razak menyatakan beliau akan melewatkan pemergiannya ke Singapura (untuk menemankan anak perempuannya yang akan bersalin) demi turun berkempen di Melaka, akan ada pengamatan yang menarik untuk menguji apakah tanggapan-tanggapan mengenai Najib Razak pada tahun 2018 oleh Francis E. Hutchinson dan Lee Hwok Aun itu masih terpakai.

Misalnya, apakah sekarang Najib masih dianggap sebagai satu beban buat UMNO dan Barisan Nasional. Ini bahkan selepas Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan tersebut selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam erti kata lain, jika pada tahun 2018 beliau hanya sekadar ‘dianggap’ terlibat dengan isu SRC, namun pada tahun 2021 ini beliau telah pun ‘didapati bersalah’. Cuma dalam kes SRC beliau masih diadili di Mahkamah Rayuan. Harus diingat, beliau juga sedang berdepan dengan kes lain, iaitu perbicaraan berhubung penggubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apakah pengundi di Melaka, khususnya orang Melayu akan membersihkan Najib memandangkan saintis politik sepakat melihat Najib sebagai pemimpin bermasalah lantaran isu korupsi, juga bayangan isterinya Rosmah Mansor dan, terakhir pengamatan Serina yang mendakwa Najib mementingkan diri sendiri, serta boleh dijualbeli.

Apakah tanggapan 2018 itu masih terpakai atau sudah dilupakan oleh pengundi Melayu pada tahun 2021 ini. Sayugia juga diingatkan minggu lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Tun Razak dan anaknya, Mohd. Nazifuddin untuk menangguhkan pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bukan itu sahaja, isteri Najib juga turut berdepan dengan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Wajah dan imej terpalit yang dibawa Najib pada tahun 2018 ini, dalam erti kata lain makin keruh pada tahun 2021. Apakah orang Melayu sedar mengenai ini?

Dengan imej beginilah Pilihan Raya Negeri Melaka akan diadakan pada bulan November 2021. Ia jadi lebih meletup memandangkan Najib akan turun padang berkempen. Untuk itu, Najib akan mendepani panglima negeri Melaka yang sebelum ini kurang dikenali di peringkat nasional iaitu bekas Ketua Menteri ketika pemerintahan Pakatan Harapan, Adly Zahari.

Adly berbanding Najib, mempunyai imej yang jernih dan baik sepanjang perkhidmatannya. Pun rakyat Melaka tidak sempat merasai penuh pentadbiran di bawah beliau memandangkan terjadinya Langkah Sheraton. Akibatnya Adly, Ketua Menteri Melaka yang cekap, cekatan dan bersih digantikan dengan Ketua Menteri Perikatan Nasional Sulaiman Md Ali yang sering dikaitkan duduk di bawah bayangan Speaker Dewan Undangan Negeri, Ab Rauf Yusoh. Sulaiman dan Ab Rauf memang pemimpin tidak dikenali, malah oleh orang Melaka sendiri.

Najib akan berdepan dengan imej Adly sebagai pemimpin Melaka yang berjaya, meskipun singkat. Rakyat Melaka akan kini melihat bagaimana Najib yang terjejer isu-isu berat sejak 2018, malah disahkan dakwaan-dakwaan itu pada tahun 2020 dan 2021, untuk berlaga citra dengan Adly.

Adly mempunyai rekod yang memberangsangkan. Kreativiti beliau dalam menyelesaikan masalah air di Melaka, dan masalah kekerapan banjir sedikit sebanyak turut dirasai meskipun semua usaha itu terbantut oleh tindakan BERSATU dan UMNO membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Salah satu kreativiti Adly ialah usaha jangka pendek dengan kerja menaik taraf longkang di kawasan yang sering berlaku banjir kilat dan penyelenggaraan pam air. Sebagai salah seorang pengundi di Melaka, kawasan kejiranan saya misalnya didatangi oleh kontraktor yang membetul, mendalam dan meluruskan longkang. Meskipun berlaku banjir pada 20 Oktober 2021 lepas, sedikit sebanyak ia tidak seburuk tahun-tahun sebelum.

Di Kampung Chetti misalnya Adly memasangkan pam air bagi mengatasi masalah banjir kilat. Untuk pelan jangka panjang pula, kerajaan Melaka di bawah Adly meneruskan pelan tebatan banjir yang diluluskan Kerajaan Pusat, berjumlah RM280 juta. Selain itu Adly, seorang jurutera ingin menawarkan pembangunan Melaka Smart River yang boleh berperanan sebagai teknologi pemantauan bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Sayangnya semua ini tidak berlaku, kerana kerajaan Melaka dijatuhkan oleh Sulaiman Md Ali dan Ab Rauf Yusoh. Rakyat Melaka rata-rata ingat pencurian mandat ini.

Dalam hal masalah kekurangan bekalan air di negeri ini, Adly secara kreatif mengusahakan sumber dari kolam takungan air termasuk lombong terbiar, termasuk memanfaatkan perjanjian air dengan negeri jiran menerusi bekalan air mentah sebanyak 270 juta liter air sehari dari Sungai Gersik, Johor serta membeli bekalan air bersih dari Negeri Sembilan.

Ketika pemerintahan Adly juga Melaka sempat memuktamadkan tender bagi projek Tasik Air Biru di Chinchin, Jasin bernilai RM35 juta iaitu sebagai pelan jangka sederhana bekalan air. Menerusi projek Tasik Air Biru ini, Melaka dijangkakan beroleh sebanyak 200 juta liter air yang dapat dipam ke Empangan Durian Tunggal.

Sayang manfaat untuk negeri Melaka ini menjadi sia-sia ekoran tindak-tanduk sesetengah pemimpin Perikatan Nasional dengan kerjasama PAS, yang sengaja mengganggu mandat rakyat pada tahun 2018 itu. Kerajaan pimpinan Adly dijatuhkan untuk menaikkan Sulaiman Md Ali dan Ab Rauf Yusoh (yang saya ulangi tidak dikenali).

Lebih menjengkelkan lagi, di tengah pandemik Covid 19 yang baru mereda ekoran kejayaan vaksinisasi sejagat, pemimpin yang menjatuhkan Adly Zahari ini bercakar pula sesama sendiri ekoran isu pasir. Apa yang ikut dahsyat adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghubungi bekas Ketua Menteri Melaka era Barisan Nasional ekoran dakwaan Idris Haron terdapatnya penyelewengan projek melibatkan pembolotan projek ekonomi dan penipuan terhadap kerajaan persekutuan berhubung royalti pasir di Melaka.

Maka terbuktilah pemimpin UMNO yang sejak 2018 terlumur dan terlumpur dengan korupsi tidak berubah pada tahun 2021.

Di tengah perebutan dan meruapnya skandal pasir inilah Najib Razak yang juga pada tahun 2018 sudah terpalit isu korupsi, dan kini membawa wajah bersalah kes SRC (meskipun sedang diputuskan di Mahkamah Rayuan); akan turun ke Melaka untuk berkempen memenangkan Sulaiman Md Ali dan Ab Rauf Yusoh yang menjatuhkan Adly Zahari seorang pemimpin yang cekap dan berbudi. Betapa aneh.

Kita semua tahu Melaka adalah pusat ketamadunan negara ini. Di Melaka, bermula segala-galanya. Jika rakyat Melaka memilih wajah Najib yang menurut pengamat dan saintis politik ‘bermasalah’ berbanding Adly, maka kita tahu hasil kelak yang akan kita perolehi ketika Pilihan Raya Umum ke-15. Jika Melaka memilih Najib dan tergamak menaikkan Sulaiman Md Ali dan Ab Rauf Yusoh, juga PAS yang kerjanya menenggek di mana-mana, maka kita boleh talkinkan orang Melayu. Ini kerana itu membuktikan Melayu sudah tidak apa dengan korupsi dan rasuah. Harus diingat, Melaka jatuh di tangan Portugis pada tahun 1511, bukan sangat kerana kelemahan teknologi persenjataan dan strategi, tetapi lebih kerana percakaran sesama sendiri. Persis 1511 itu 2021.

Justeru pertembungan Adly dengan kuasawan UMNO ini menarik untuk diperhatikan. Ia pertembungan orang cerdik, Adly, dengan orang yang sudah didapati bersalah.

Komen