Akhirnya mantan Perdana Menteri ke-6, Mohammad Najib Abdul Razak didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Kesalahan Najib adalah menyeleweng dana milik SRC International sebanyak RM42 juta.
Duit ini dikatakan masuk terus ke dalam akaun peribadi Najib untuk kegunaan peribadi. Salah satunya digunakan untuk membeli jam berharga lebih setengah juta ringgit untuk Rosmah Mansor, mantan First Lady of Malaysia di Hawaii bagi memujuk Rosmah yang merajuk kerana Najib terpaksa pulang mengejut ke Malaysia akibat bencana banjir.
Perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International bermula sejak 4 Julai 2018. Ia melalui tiga peringkat mahkamah, dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan dan akhirnya ke Mahkamah Persekutuan. Sehinggalah tarikh akhir perbicaraan iaitu 23 Ogos, keseluruhan proses perbicaraan dan rayuan telah mengambil masa selama 1,498 hari lamanya.
Kes SRC International sebenarnya hanyalah satu dari lima kes yang perlu dilalui oleh Najib. Masih ada empat kes mahkamah lain yang sedang menunggu Najib yang kini meringkuk di Penjara Kajang.
Empat Lagi Menanti
Hari kedua meringkuk di dalam penjara, Najib sudah dibawa keluar untuk hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. Najib berhadapan empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Jumlah ini jauh lebih besar berbanding nilai RM42 juta dalam kes SRC International yang baru selesai.
Najib juga akan hadir ke mahkamah sekali lagi esok, untuk perbicaraan kes ketiga beliau. Kali ini menjawab pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang dilakukan beliau secara bersubahat dengan mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. Pindaan laporan audit ini dibuat bagi mengelirukan khalayak tentang situasi sebenar kewangan 1MDB, khususnya Jawatankuasa Kira-kira Wang (Public Accounts Committee) bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan ke atas beliau.
Jika sabit kesalahan, Najib dan Arul Kanda boleh dihukum penjara 20 tahun dan didenda lima kali ganda dari jumlah wang yang terlibat.
Kes keempat melibatkan Najib pula adalah enam tuduhan pecah amanah bersama Irwan Serigar, mantan Setiausaha Perbendaharaan. Jumlah wang yang terlibat adalah sebanyak RM6.64 bilion dan kesalahan dikatakan berlaku di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.
Jika sabit kesalahan, Najib dan Irwan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Kes kelima yang menanti Najib untuk dibicarakan adalah satu lagi kes melibatkan SRC International, iaitu tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta. Najib dikatakan melakukan jenayah ini di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Kesemua empat kes yang masih belum selesai ini akan mengambil masa yang lama. Seperti kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International yang memakan masa lebih empat tahun atau 1,498 hari lamanya. Berapa lama yang diperlukan untuk empat lagi kes yang menanti ini selesai, hanya masa akan menentukan.
Namun, bezanya kali ini Najib akan menghadapi empat perbicaraan ini dari penjara. Najib tidak lagi bebas seperti dahulu apabila mendapat penangguhan hukuman dan dibebaskan dengan ikat jamin. Kali ini Najib akan menjalani hukuman penjara 12 tahun beliau dan pada masa yang sama berdepan dengan perbicaraan empat kes yang sedang berlangsung.
Belum pernah dalam sejarah Malaysia seorang mantan Perdana Menteri dibicarakan di mahkamah, apatah lagi sebanyak lima kes semuanya. Belum pernah juga dalam sejarah Malaysia seorang mantan Perdana Menteri didapati bersalah dan dihukum penjara seperti apa yang dialami Najib sekarang.
Sayang, Najib tidak meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Tun Abduk Razak sebagai mantan Perdana Menteri kedua. Najib sebaliknya mencipta legasi beliau sendiri, iaitu legasi yang penuh onar jenayah.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial antarabangsa. Gadis liberal yang juga mendukung idea-idea demokrasi sosial dan percaya Malaysia asasnya sebuah negara sekular.