Mungkin Sudah Tiba Masanya Pakatan Harapan Menerima MUDA

Semenjak parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) pada 6 September 2022, reaksi dari PH adalah bercampur-baur. Umum tahu penerimaan MUDA ke dalam PH disambut positif oleh parti DAP dan AMANAH, tetapi hal yang sama tidak boleh diungkapkan mengenai PKR.

Lantaran hasrat MUDA menyertai PH berubah menjadi isu yang mengundang pertikaian dalaman buat PH. Walaupun permohonan MUDA itu belum lagi dibincangkan di Majlis Presiden PH, akan tetapi di kalangan pimpinan bawahan dan akar umbi sudah timbul pergeseran mengenainya. Lebih-lebih lagi di kalangan DAP dan PKR yang merupakan dua parti komponen terbesar dalam PH.

Pergeseran di kalangan parti komponen ini telah berlarutan seminggu lamanya dan jika tidak dibendung, nescaya boleh menjadi punca kepada keretakan dalam blok PH. Ia juga boleh menjadi asbab yang menghindarkan sebilangan pengundi pro-PH dan atas pagar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Harus juga diingat ketika PH sedang sibuk bertekak sesama sendiri, MUDA yang sudah menyatakan hasrat kini hanya perlu fokus pada persiapan PRU15 kerana mereka sudah ‘meletakkan bola di gelanggang PH’. Kini terpulang kepada PH untuk menerima atau menolak permohonan MUDA, satu keputusan yang sebenarnya bersifat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

Justeru, apakah yang perlu dilakukan PH dalam menjawab permohonan MUDA?

Pengajaran Dari Selatan

Mungkin satu hal yang boleh dirujuk sebagai pengajaran buat PH dalam menjawab permohonan MUDA adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan Mac lalu.

PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang menyaksikan MUDA turun bertanding. Sebanyak tujuh kerusi DUN ditandingi MUDA iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin. Enam dari tujuh kerusi ditandingi MUDA diperolehi hasil rundingan bersama DAP dan AMANAH yang bersetuju memberikan laluan di kerusi tersebut. Rundingan bersama PKR bagaimanapun menemui jalan buntu dan kesudahannya menyaksikan dua parti ini bertembung di Larkin.

Namun dari tujuh kerusi ditandingi, MUDA hanya menang satu kerusi iaitu di Puteri Wangsa. Sementara pertembungan di Larkin pula berakhir dengan kedua calon MUDA dan PKR tewas kepada Barisan Nasional (BN). Di kerusi-kerusi lain pula prestasi MUDA adalah sederhana, kecuali di Tenang dan Bukit Permai di mana calon MUDA memperolehi undi kedua terbanyak.

Apa yang berlaku dalam PRN Johor melibatkan MUDA mengajar kepada kita beberapa perkara penting. Yang pertama, MUDA sebagai sebuah parti baharu bergantung harap kepada kelompok pengundi yang sama disasarkan oleh PH yakni pengundi bandar dan sub-bandar. Kedua, MUDA juga lebih berpeluang untuk menang di kerusi campuran yang hampir seimbang komposisinya di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu. Yang ketiga dan paling penting, rundingan MUDA dengan setiap parti komponen PH yang dibuat secara berasingan menyukarkan pembahagian kerusi yang boleh memuaskan hati semua pihak.

Ini boleh dilihat dalam penyerahan kerusi Puteri Wangsa oleh AMANAH kepada MUDA yang menimbulkan rasa tidak senang PKR kerana kerusi tersebut dilihat sebagai kerusi ‘mudah’ untuk PH dan seeloknya diserahkan kepada PKR jika AMANAH berniat mengundur diri. Pertembungan di Larkin juga menjadi duri dalam daging kerana MUDA melihat tindakan mereka ‘melanggar’ Larkin sebagai perselisihan faham dengan PKR, tidak kepada PH secara keseluruhan akibat rundingan yang dibuat secara berasingan.

Menerima MUDA

Pengajaran dari PRN Johor ini cukup untuk PH mengubah pendirian mereka mengenai MUDA. Natijahnya, MUDA boleh menjadi sekutu strategik yang baik jika dibawa masuk ke dalam ‘khemah besar’ PH tetapi boleh juga menjadi lawan yang sulit jika sebaliknya dibiarkan bertanding sendirian.

Hasrat MUDA untuk menyertai PH sebaiknya digunakan oleh pucuk pimpinan PH untuk mengukuhkan kedudukan mereka menjelang PRU15. Sasaran MUDA untuk bertanding tidak lebih dari 15 kerusi parlimen sepatutnya diambil kira bahawa parti muda itu tidak berniat untuk menjadi salah satu kuasa besar dalam PH. Bahkan ia memberi isyarat bahawa MUDA melihat PRU15 hanya boleh diredah dengan sokongan dari PH sebagai sekutu mereka.

Dalam hal ini, PH boleh meletakkan beberapa syarat untuk menerima MUDA sebagai parti komponen yang baharu.

Kerusi-kerusi yang ditandingi BERSATU semasa PRU14 lalu boleh diserahkan kepada MUDA dengan tawaran sokongan dari jentera parti komponen PH lain di kerusi tersebut. Dengan cara ini insiden pertembungan seperti yang pernah berlaku di Larkin dapat dielakkan selain tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan parti komponen seperti yang berlaku dengan kerusi Puteri Wangsa dalam PRN Johor.

Menerima MUDA sebagai salah satu parti komponen PH juga bermakna rundingan secara berasingan seperti yang berlaku dalam PRN Johor lalu dapat dielakkan. Sebaliknya sebarang rundingan kerusi akan berlaku dalam keadaan terbuka melibatkan semua parti komponen dan sebarang pembahagian kerusi dibuat setelah mendapat persetujuan bersama semua pihak.

Yang paling utama, ia akan membantu menghilangkan rasa curiga di antara MUDA dan PKR yang sebenarnya menjadi batu penghalang utama dalam merealisasikan konsep ‘khemah besar’. Suka atau tidak, kita perlu akui bahawa MUDA dan PKR sebenarnya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya adalah parti pelbagai kaum yang dipelopori bangsa Melayu dan mengharapkan pada kerusi berbilang kaum di kawasan bandar dan pinggir bandar dengan kemajmukan Melayu tetapi tanpa majoriti.

PRU15 akan menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru di antara pelbagai blok politik sedia ada. Semua parti politik sedar mereka tidak boleh bertanding dalam PRU15 secara sendirian. Maka blok-blok politik adalah perlu dan dalam gabungan sebegini, keupayan menarik lebih banyak parti politik untuk menjadi rakan sekutu adalah perlu.

MUDA memerlukan PH dan sebaiknya PH menggunakan peluang ini untuk kelebihan pakatan tersebut.

Komen