MUDAxSOLIDARITAS Berjaya Kumpul Lebih RM50 Ribu Dalam Tiga Jam!

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Susulan kelembapan dan ketidak tentuan hala Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad serta kementeriannya dalam isu pendafataran pelajar universiti ketika gelombang COVID-19 naik mendadak, ribuan siswa dan siswi di seluruh negara telah terkandas. Permulaan sesi pengajian baru yang dijangka pada Oktober 2020 telah ditangguhkan pada saat akhir, ketika siswa dan siswi sudah pun menjejak kaki melepasi pagar universiti masing-masing.

Akibat dari ini, pelbagai masalah timbul. Para pelajar dihalang dari menduduki kolej dan kini terpaksa berpatah balik ke tempat asal. Ia mungkin tidak terlalu membebankan bagi sesetengah dari mereka, tetapi ada segelintir pelajar yang mungkin dihantar oleh ibu bapa dari jauh atau pun pelajar yang terbang merentasi Laut China Selatan di antara Malaya dan Borneo. Bagi mereka yang tidak menduduki kolej pula, kini berdepan dengan situasi telah membayar rumah sewa yang langsung tidak akan diduduki kerana penutupan universiti. Mereka yang datang dari golongan keluarga B40 atau menetap di pedalaman, kini berdepan dilem ketiadaan liputan Internet yang sangat diperlukan untuk pembelajaran dalam talian.

Melihat pada situasi kritikal akibat kealpaan menteri ini, SOLIDARITAS dan Parti MUDA bertindak melancarkan tabung kecemasan secara crowdfunding untuk membantu mahasiswa yang terkandas. Sasaran kutipan adalah RM50,000 dan sumbangan dirayu dari rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik. Kutipan yang dimulakan pada jam 8.40 malam, 2 Oktober 2020 berjaya melebihi sasaran ditetapkan dengan jumlah akhir sebanyak RM51,145.92 dicapai pada pukul 11.40 malam. Dalam erti kata lain, lebih RM50,000 berjaya dikutip dalam tempoh hanya tiga jam.

Sejumlah RM2,030 lagi diterima selepas kutipan ditutup, manakala pihak SOLIDARITAS menyumbangkan tambahan RM1,824.08 lagi bagi menggenapkan jumlah keseluruhan menjadi RM55,000.

Dari dana sedia ada ini, sejumlah 555 siswa dan siswi telah mendapat manfaat kewangan untuk sama ada pembelian tiket pengangkutan awam, bayaran penginapan atau pun sebagai wang saku untuk kegunaan harian. Jumlah ini pastilah lebih kecil dari ribuan siswa dan siswi yang terjejas, tetapi sekurangnya ia dapat meringankan beban segelintir dari para pelajar ini.

 

Komen