Aku mahu bercerita tentang seorang buruh binaan dari Indonesia bernama Ahmad yang aku kenal sewaktu memancing dan betulkan beberapa tanggapan salah orang tentang pendatang asing tanpa izin (PATI). Kalau anda rasa mahu belajar dan ubah diri jadi lebih baik, bacalah.
Aku kenal Ahmad waktu memancing di lombong dalam kawasan perumahan aku. Dia bekerja siapkan perumahan sekitar dan tinggal di ceruk belakang lombong, betul-betul di gigi air. Waktu aku jumpa dia, rumah sudah siap dan dia serta buruh binaan lain diabaikan majikan mereka sendiri.
Nasib PATI ini biasanya selepas siap kerja, majikan akan laporkan mereka dan boleh lepas tangan bab bayar gaji. Kalau pun tidak dilapor, gaji tidak dibayar kemudian majikan lari. Mereka tidak boleh buat apa apa, dengan tidak ada duit dan tidak berani mengadu kerana bimbang ditangkap.
Ahmad makan roti canai sekeping, dengan kos RM1 saja setiap hari. Itupun, suku daripada roti akan disimpan untuk dijadikan umpan memancing waktu petang. Ada tuah sekali sekala, dapatlah ikan untuk malam. Aku pula beli umpan RM3 di kedai, tangkap ikan hanya sekadar suka-suka.
Lepas mengenali Ahmad, kalau dapat ikan besar memang kami beri saja pada dia dan kawan-kawannya untuk dimakan. Waktu berbual, aku tanya dia kalau dia kenal penulis popular Indonesia. Daripada banyak-banyak nama aku sebut, dia kenal Hamka sahaja.
Ahmad berasal dari kawasan pedalaman, keluarga miskin dan tidak berpelajaran. Dia datang Malaysia kerana terpengaruh dengan ejen yang tawarkan gaji lumayan dan kehidupan lebih baik di Malaysia. Kebanyakan PATI datang dari golongan begini, mereka terdesak dan diambil kesempatan.
Orang anggap PATI sebagai manusia licik yang ambil kesempatan terhadap kemewahan negara kita. Bila kita sudah pun tanam rasa benci dalam hati, maka tidak akan wujudlah usaha untuk berempati. Tidak ada orang yang mahu tinggalkan tanah air dan keluarga secara sengaja, tanpa keperluan yang memaksa.
Pada satu petang, aku ajak Ahmad ikut pergi event di Studio Pundi Kacang. Germbira dia nak ikut sebab aku beritahu itu acara seni, orang baca sajak, menyanyi dan sebagainya. Malam itu, kami naik kereta ke sana. Dalam perjalanan, dia tidak senang duduk dalam kereta dan asyik tengok depan dan belakang.
Bila ditanya kenapa, Ahmad beritahu takut ada polis atau roadblock. Aku terlepas cakap, apa nak takut kita tak buat salah apa. Tapi aku tidak sedar yang dia hidup dalam ketakutan sepanjang masa. Semua dokumen urusannya (Ahmad sendiri tidak pasti sah atau tidak) ada pada ejen dan majikan.
Tapi sekarang dia dan rakan pekerja lain, ditinggalkan terkontang-kanting. Setiap masa paranoid mereka akan diserbu penguasa. Yang tanya kenapa tidak balik negara asal saja, anda faham atau tidak gaji tidak dibayar, duit makan pun tiada, tidak ada siapa peduli lalu mahu balik bagaimana?
Waktu acara, aku perasan yang Ahmad semacam tidak mahu duduk dekat dengan aku. Selesai saja aku perform stand up komedi, dialah yang tepuk paling kuat sekali walaupun aku yakin dia tidak faham sangat pun loghat dan bahasa aku guna. Dalam perjalanan pulang, aku tanya dia.
Runtun hati aku dengar jawapan Ahmad. Dia cakap dia segan nak duduk sebelah aku sebab dia rasa aku ni macam orang penting (salah faham tengok ramai kawan aku datang salam dan tegur). Ahmad rasa nanti memalukan aku pula sebab dia rambut kusut, baju buruk dan pakai selipar sahaja.
Tapi Ahmad seronok dapat ikut, terhibur tengok persembahan semua orang dan katanya lama tidak pergi pesta. Lagipun dia tidak pernah keluar jauh daripada kawasan rumah, bimbang kena tangkap. Aku ajak pergi makan pun Ahmad tolak baik-baik sebab lagi lewat malam, lagi besar risiko.
Aku hantar Ahmad pulang sampai depan penempatan buruh yang mereka bina sendiri dari kayu nipis. Nak panggil rumah pun tidak layak, dengan tumbuhan air semak tinggi di sekeliling. Kawan Ahmad yang lain semua keluar sambut dengan teruja mahu dengar pengalaman dia.
Esok petang itu kami memancing lagi. Pemancing lain semua yang tahu pasal buruh ini memang tidak lokek kongsi umpan dan bagi ikan. Ahmad sebelum turun kereta semalam sampailah esoknya tidak habis-habis ucap terima kasih. Padahal aku bawa pergi event saja.
Beberapa minggu selepas itu, Ahmad dan kawan-kawan pekerja lain hilang. Penempatan mereka pun sunyi dan tidak ada lagi kain baju tersidai. Dengar cerita, ada orang tawarkan pekerjaan jadi buruh binaan di tempat lain.
Besar kemungkinan, akan ditipu lagi dan mereka sendiri pun tahu perkara ini. Tapi apa pilihan yang mereka ada? Sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa bulan, ada makanan dan duit poket harian, walaupun gaji tetap majikan pegang sampai siap kerja, kemudian lesap begitu saja.
Inilah cerita yang orang pilih untuk tutup mata telinga kerana tidak ada hati perut dan memilih pendirian mudah PATI ini jahat, dan patut dilayan dengan tidak berperikemanusiaan kerana melanggar undang-undang negara. Bila tidak kena pada diri sendiri, bolehlah cakap itu ini.
Ironinya, kita warga Malaysia sendiri pun ditindas kemiskinan, sistem kelas dan undang-undang. Tengok sendiri sekarang membabi buta penguasa kompaun kerana langgar itu dan ini. Bila kena pada diri sendiri, baru terhegeh-hegeh kita minta undang-undang jadi manusiawi. Nampak tak?
PATI tidak hidup selesa, mereka tinggal dalam tempat sempit, buruk dan panas. Mereka lagi mudah ditindas sebab akhirnya mereka tidak boleh mengadu dan laporkan pada sesiapa, tiada hak pun dalam sistem undang -ndang. Apatah pula masyarakat layan mereka sebelah mata tidak seperti manusia.
Bila cakap PATI hidup susah, orang akan alih tiang gol kata warga kita sendiri pun hidup susah. Soalannya salah siapa? Salah pendatang asingkah ada warga Malaysia yang miskin dan hidup susah di tanah air sendiri? Kenapa tidak tanya soalan ini pada pemimpin dan pemerintah kita?
Aku tidak faham kenapa kita nak lagakan orang yang sama-sama ditindas dan hidup susah, tapi bukan main baik lagi dalam melayan mereka yang kaya dan selesa atas bukit dan istana? Sedang mereka inilah yang menciptakan sistem dan undang-undang yang terus-menerus tekan golongan bawahan.
Berhenti rasa iri hati dan dengki pada orang yang tidak memiliki kemewahan apa pun yang lebih dari kita. Halakan kebencian dan kemarahan pada kelas atasan dan golongan pemerintah yang nyenyak lena saat kita tidak tidur malam fikir bagaimana untuk hidup hanya sehari lagi.
Dan kalau benar pun anda semua orang yang berpegang kukuh pada undang-undang, aku nak tanya kenapa undang-undang gagal halang orang masuk ke negara tanpa izin?
Kita bangga Malaysia pintas pesawat China, sedangkan kalau betul mereka mahu hantar perisik lebih baik seludup naik tongkang dengan PATI.
Jangan lawan mangsa hasil kepincangan sistem, tapi lawan orang yang membenarkan kebobrokan ini berlaku. Migran juga manusia, aku tidak minta banyak pun tapi satu sahaja, layan mereka dengan penuh kemanusiaan seperti mana kita sendiri mahu dilayan.
Jadi manusia, tidak susah pun.
Penulis buku Melihat Anjing Bekerja, zine ZY, Kerinting Kecil, Smoke Low Ridsect dan Bak Kata Orang Manjoi. Kini sedang berkeliaran di Ipoh mencari tujuan hidup.