Mesej Tuhan Dari Wuhan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Dunia dikejutkan dengan penularan wabak koronavirus (2019-nCOV) dari Wuhan, China. Proses penyediaan makanan eksotik seperti ular di pasar makanan laut Huanan, Wuhan dilaporkan antara punca yang mencetuskan penyebaran virus ini. Dalam sekelip mata virus ini tersebar dan menjadi wabak di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Jumlah kematian juga dilaporkan mula meningkat. Walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyifatkan masih terlalu awal untuk mereka mengisytiharkan wabak ini sebagai darurat kesihatan global namun situasi panik mula melanda masyarakat antarabangsa.

Anggota masyarakat kita juga tidak terlepas dari sindrom cemas ini kerana sudah ada beberapa kes positif yang sedang dirawat, dan ini ditambah pula dengan pelbagai berita palsu yang terus disebarkan dalam media sosial sehingga mengelirukan rakyat. Keadaan menjadi lebih rumit apabila virus baru ini belum ada vaksin untuk menyembuhkannya, manakala simptom atau gejala pula tidak terhad sehingga dilaporkan sukar dikenalpasti. Jadi tidak hairanlah jika masing-masing cemas, risau dan panik.

Ironinya sebagai orang Islam, penulis sangat percaya kepada ketentuan Ilahi yakni qada dan qadar serta yakin setiap kejadian ada sebab musabab dan hikmahnya. Harus diingat sebelum koronavirus ini kita telahpun diberi peringatan melalui penularan beberapa lagi virus seperti SARS, MERS, Influenza A, JE, dan juga H1N1. Jadi persoalannya di sini apa yang kita dapat pelajari dan ambil iktibar daripada ‘bencana kesihatan’ yang diturunkan oleh maha pencipta secara silih berganti? Berapa ramai dari kalangan kita dapat mentafsir sekaligus melihat isu-isu ini dalam konteks ianya merupakan sejenis amaran dan peringatan dari yang maha berkuasa.

Penulis percaya majoriti dari kita melihat kesemua ujian ini sekadar penularan satu lagi wabak penyakit sahaja, di mana kita menghadapinya seperti biasa satu demi satu apabila ianya menyerang. Selepas itu keadaan akan kembali tenang sekejap sebelum kita perlu berhadapan dengan satu lagi ancaman wabak yang lain pula. Itulah rutin kehidupan majoriti masyarakat kita yang tidak mampu berfikir tentang hikmah dan amaran yang tesirat di sebaliknya.

Hakikatnya sedar atau tidak, baik dalam kitab agung Al-Quran mahupun melalui pelbagai hadis Nabi yang diwariskan kepada kita, isu amaran dan peringatan oleh Allah SWT diperincikan dengan sangat jelas yakni peringatan itu akan hadir dalam berbagai cara dan bentuk. Cuma bezanya sama ada kita baca, memahami dan ambil langkah waspada atau kita langsung tidak baca dan ambil peduli semua peringatan tesebut. Tepuk dada tanya minda dan iman masing-masing.

Walau apapun sikap dan tingkah laku kita, mahu ambil iktibar atau tidak, percayalah selagi mana kita tidak beringat, memperbetulkan keadaan, memperbaiki kemungkaran serta bersyukur, amaran dan peringatan Tuhan akan terus menghujani kita dalam pelbagai bentuk dan rupa. Ingatlah kita tidak mampu melawannya.

Jadi sebelum terlambat dan sementara kita terus diberi ruang untuk hidup di muka bumi ini marilah kita sedar dan ambil ingatan betapa ini semua adalah ujian dan dugaan dari Allah SWT yang masih sayangkan kita dan mahu kita segera insaf dan bertaubat, seterusnya memperbaiki keadaan. Ancaman penyakit seperti ini adalah hikmah dan nikmat terbesar yang dihadiahkan kepada kita supaya kita tidak terus lupa, leka dan lalai. Justeru, ayuh ini masanya untuk kita bermuhasabah melihat apa sebenarnya yang telah kita lakukan sehingga Allah menurunkan pelbagai ujian dan dugaan dalam bentuk penyakit dan wabak bagi mengingatkan kita.

Ironinya tidak cukupkah segala kerosakan dan kemungkaran yang telah kita lakukan di muka bumi selama ini. Hakikatnya kezaliman sesama manusia serta kepada alam terus kita lakukan tanpa sedikitpun rasa malu, segan, dosa dan takut. Kita terlalu ego untuk ditegur kerana sentiasa ingat kita yang betul dan paling berkuasa, lupa ada yang lebih berkuasa dari kita. Kita begitu tamak dan bernafsu besar sehingga lupa rezeki setiap orang sudah ditentukan sebelum kita dilahirkan lagi. Kita juga lupa tentang pelbagai kemudahan yang dinikmati sejak lahir hingga sekarang, lantas langsung lupa kepada Tuhan yang cipta dan memberikan segala-galanya kepada kita.

Jadi nikmat apa yang mahu kita terus dustakan lagi? Tidak cukupkah dengan peringatan demi peringatan yang sedang diturunkan ini? Jangan sesekali lupa tentang janji Allah yang akan menurunkan bala kepada kaum yang terus angkuh, membuat kemungkaran dan mencabar kewujudan Tuhan. Tuntasnya, kalau masih belum mampu sedar dan ambil iktibar, tidak keterlaluan untuk disifatkan kita sudah tidak layak untuk berada di muka bumi ini. Sama-samalah kita renung-renungkan. Semoga rakyat dan negara ini terus dilindungi hendaknya.

Tentang Penulis:

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.

Komen