Isu tuntutan Sulu menjadi hangat kembali apabila Mahkamah Arbritasi di Paris, Perancis telah memutuskan ‘Final Award’ yang membenarkan pihak waris Kesultanan Sulu menuntut pampasan berjumlah RM62.5 bilion dari Malaysia. Laporan berita awal menyebut bahawa aset Petronas di Luxembourg dan Azerbaijan telah dirampas oleh peguam pihak yang menuntut. Ia bagaimanapun telah dinafikan oleh pihak Petronas yang juga akan menggunakan saluran undang-undang untuk melindungi kepentingan mereka.
Keputusan Mahkamah Arbritasi tersebut bagaimanapun telah digantung oleh Mahkamah Rayuan Paris susulan permohonan oleh Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan asas kepada rayuan Malaysia adalah keputusan ‘Final Award’ tersebut boleh menjejaskan kekebalan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Namun, ketika Malaysia sedang berdepan tuntutan dari pihak luar ada pula pihak di dalam negara kita sendiri yang menjadikan kemelut ini sebagai satu isu politik. Mantan Perdana Menteri ke-6, Najib Razak tanpa berlengah menimbulkan kegusaran awam bahawa kononnya aset Petronas telah dirampas sambil menuding jari kepada mantan Peguam Negara, Tommy Thomas dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca berlakunya kemelut tuntutan ini.
Salah satu sasaran utama Najib Razak adalah dengan mendakwa surat dari mantan Peguam Negara kepada peguam pihak yang menuntut sebagai punca kepada tuntutan pampasan bernilai RM62.5 bilion. Najib Razak juga menyebut kegagalan kerajaan menghantar pasukan peguam ke mahkamah di Sepanyol sebelum ini sebagai satu lagi sebab kenapa tuntutan Sulu dibenarkan oleh mahkamah. Berlagak seperti hero, Najib Razak juga mendakwa tuntutan saman oleh Sulu berlaku semasa era kerajaan PH kerana ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya, tidak ada mana-mana waris Kesultanan Sulu yang berani menuntut pampasan dari seorang panglima Bugis seperti beliau.
Apakah benar seperti yang didakwa Najib Razak?
Surat oleh Tommy Thomas bertarikh 19 September 2019 adalah bagi menjawab surat dari peguam pihak yang menuntut bertarikh 3 September tahun yang sama. Di dalam surat tersebut jelas dinyatakan Malaysia tidak mengiktiraf sebarang proses timbang tara yang dibuat di luar Malaysia, dan surat tersebut juga bukanlah perakuan terhadap apa-apa keputusan mahkamah yang dibuat di luar Malaysia. Tommy Thomas seterusnya dalam surat tersebut menyatakan bahawa Malaysia bersedia untuk membayar tunggakan ‘cession money’ dari tahun 2013 hingga 2019 dan seterusnya membuat bayaran tahunan seperti biasa. Dengan kesediaan Malaysia untuk membayar tunggakan dan menyambung pembayaran seperti dalam Perjanjian 1878, maka segala pertikaian yang sedang berlaku dianggap selesai.
Tidak ada sekali pun di dalam surat tersebut mantan Peguam Negara memohon maaf kepada Sulu atau mengiktiraf kedaulatan mereka ke atas Sabah seperti yang didakwa oleh Najib Razak.
Keputusan kerajaan era PH untuk tidak menghantar pasukan peguam ke perbicaraan di luar Malaysia juga dibuat kerana Malaysia berpendapat bahawa sebarang pertikaian berkaitan Perjanjian 1878 hendaklah diselesaikan melalui saluran undang-undang di dalam Malaysia. Sebagai negara berdaulat, kekebalan negara tidak boleh digadaikan di mahkamah negara asing. Keputusan kerajaan PH ini diulang oleh kerajaan yang sama hari ini (BN-PN).
Dakwaan Najib Razak bahawa pihak Sulu tidak berani membuat sebarang tuntutan ketika beliau menjadi Perdana Menteri juga adalah meleset. Rekod mahkamah menunjukkan bahawa waris Kesultanan Sulu telah memulakan proses undang-undang dan tuntutan mereka pada tahun 2017 ketika Najib Razak masih bergelar Perdana Menteri. Selepas beberapa tahun tidak dilayan, tentu sekali pihak di sebelah sana akhirnya menggunakan saluran undang-undang. Dan mereka tidak perlu menunggu kerajaan berubah bagi memulakan tindakan saman mereka. Tiada alasan kononnya Sulu takut dengan panglima Bugis.
Apa yang jelas adalah kemelut tuntutan Sulu timbul hari ini kerana kegagalan Najib Razak dan kerajaan BN ketika itu untuk membayar ‘cession money’ tahunan kepada pihak Sulu bermula 2013. Dalam hal ini, Najib Razak mendakwa keputusan menghentikan bayaran dibuat susulan insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun yang sama.
Najib Razak menggunakan alasan adalah tidak wajar membayar wang kepada pihak musuh yang telah menyerang wilayah negara dan membunuh anggota keselamatan kita.
Tindakan Najib Razak itu bersifat pendekar pastinya, tetapi ia dibuat dengan tidak cermat.
Ada tiga persoalan penting yang perlu dijawab apabila kerajaan menghentikan bayaran ‘cession money’. Dan tiga persoalan ini juga tidak disentuh langsung oleh Najib Razak di kala dia sibuk menyalahkan orang lain dalam kemelut tuntutan Sulu ini.
Persoalan pertama, jika kerajaan putuskan untuk menghentikan bayaran, adakah sebarang usaha dibuat untuk berunding, jelaskan dan dapatkan persetujuan dengan waris Kesultanan Sulu?
Persoalan ini penting kerana Perjanjian 1878 itu adalah perjanjian selagi ada bulan dan bintang. Ia tiada tempoh luput tidak seperti bagaimana ketika British memajak Hong Kong selama 100 tahun dari China. Dan di dalam Perjanjian 1878 juga tidak ada disebut apa-apa yang boleh membatalkan perjanjian tersebut, termasuklah serangan ke atas satu pihak oleh pihak yang lain.
Tetapi selepas insiden Lahad Datu dan bayaran dihentikan, tidak ada rekod mengatakan kerajaan memanggil waris Kesultanan Sulu untuk rundingan. Pentingnya rundingan diadakan adalah supaya Malaysia boleh mengemukakan hujah kenapa bayaran dihentikan, dan sebagai saluran untuk waris Kesultanan Sulu memberi respon sewajarnya, sama ada bersetuju atau tidak.
Dan jika persetujuan berjaya dicapai, maka perlu ada penutup untuk Perjanjian 1878 agar ia tidak tergantung. Ini supaya di hari mendatang tidak akan wujud lagi pertikaian tentang Sabah dan tuntutan Kesultanan Sulu ke atasnya. Lebih molek jika dapat dilibatkan Filipina untuk batalkan terus tuntutan mereka ke atas Sabah.
Namun semua haram tidak dibuat oleh Najib Razak dan kerajaan BN ketika itu.
Sebaliknya, Najib Razak dan kerajaan berhenti bayar dan buat bodoh. Sama seperti dia buat bodoh apabila LHDN hantar surat menuntut bayaran tunggakan cukai.
Sebab buat bodoh inilah, maka waris Kesultanan Sulu bertindak menggunakan saluran undang-undang selepas tuntutan mereka secara langsung tidak dilayan oleh kerajaan dahulu.
Namun kita andaikan Najib Razak adalah betul untuk menghentikan bayaran kerana waris Kesultanan Sulu telah mencerobohi Lahad Datu, maka kita beralih ke persoalan kedua.
Jika betul waris Kesultanan Sulu yang serang Lahad Datu, apa buktinya?
Ratusan militan yang masuk ke Sabah pada tahun 2013 dahulu dikatakan adalah pengikut Jamalul Kiram III. Gerombolan militan ini diketuai pula oleh adik Jamalul iaitu Agbimuddin Kiram.
Tetapi Jamalul hanya individu dari satu faksi dalam banyak faksi yang wujud di kalangan waris Kesultanan Sulu. Bahkan setahun sebelum insiden Lahad Datu, status Jamalul sebagai waris yang berhak telah dinafikan oleh kumpulan waris yang lain.
Tetapi Najib Razak memutuskan untuk menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu walaupun yang terlibat dengan insiden Lahad Datu hanya Jamalul dan adiknya Agbimuddin.
Dan sayugia diingatkan, Malaysia juga tidak pernah berusaha untuk membuktikan Jamalul dan Agbimuddin adalah dalang insiden Lahad Datu. Tidak ada usaha undang-undang untuk seret dan dakwa dua individu ini pasca insiden Lahad Datu.
Sebaliknya, kita hanya berpuas hati tangkap, bicara dan hukum para militan yang sebenarnya tidak lebih dari hanya bidak-bidak catur.
Namun katakanlah Jamalul dan Agbimuddin adalah waris Kesultanan Sulu yang sah dan memang terlibat langsung dengan insiden Lahad Datu maka atas sebab itu bayaran ‘cession money’ dihentikan, ini menimbulkan pula persoalan ketiga.
Kenapa selepas Jamalul dan Agbimuddin mati, bayaran ‘cession money’ tidak diteruskan seperti biasa?
Jamalul Kiram III meninggal dunia 7 bulan selepas berakhirnya insiden Lahad Datu. Individu yang dikatakan ‘mastermind’ serangan ke atas Lahad Datu sudah mati pada tahun yang sama kerajaan putuskan untuk hentikan bayaran.
Adiknya pula, Agbimuddin Kiram yang memimpin gerombolan militan mencerobohi Lahad Datu meninggal dunia pada tahun 2015 ketika bersembunyi di Tawi-Tawi.
Kalau benar bayaran dihentikan kerana dua sosok ini, maka apa pula alasan untuk kita tidak sambung bayaran selepas mereka mati?
Perlu kita fahamkan, waris Kesultanan Sulu yang lain masih ada dan mereka tidak terlibat pun dengan insiden Lahad Datu. Mereka inilah yang sekarang memulakan proses undang-undang untuk menuntut hak mereka.
Jelas, ada tiga silap besar kerajaan (baca Najib) yang telah dibuat sejak 2013 bila mereka hentikan bayaran ‘cession money’. Tiga kesilapan yang sepatutnya dijawab oleh Najib Razak sendiri tetapi seperti biasa, dia lebih suka menuding jari menyalahkan pihak lain.
Menuduh surat Tommy Thomas sebagai punca kenapa waris Kesultanan Sulu kini menuntut pampasan RM62.5 bilion adalah merepek.
Fakta kes menunjukkan waris Kesultanan Sulu memulakan prosedur undang-undang seawal tahun 2017 dengan menyebut jelas bahawa Malaysia telah melanggar Perjanjian 1878 bermula dari tahun 2013, tahun di mana Najib Razak dan kerajaan BN memutuskan untuk menghentikan bayaran.
Hakikatnya selama 135 tahun bayaran dibuat seperti biasa dan pihak Sulu tidak pernah berpeluang untuk mempertikaikan perjanjian tersebut. Malah bila Persekutuan Malaysia ditubuhkan bayaran ‘cession money’ tetap diteruskan seperti yang telah dilakukan oleh British sebelum ini.
Ia bukanlah petanda bahawa Malaysia mengiktiraf hak Kesultanan Sulu ke atas sebahagian dari Sabah. Tetapi ia tidak lebih dari membuktikan kita adalah sebuah negara berdaulat yang menghormati perjanjian dan bijak dalam berdiplomasi.
Tetapi apabila kita berhenti membayar pada tahun 2013 lagak seperti sebuah negara pariah dan tiada sebarang usaha dibuat untuk mewajarkan tindakan tersebut, ianya ibarat membuka kotak Pandora untuk waris Kesultanan Sulu membangkitkan semula isu tuntutan ke atas Sabah dan pampasan yang setimpal untuknya.
Kalau tidak kerana ada si pakar Facebook kononnya panglima Bugis yang buat keputusan dangkal untuk nampak hero, rasanya tiada sebab untuk waris Kesultanan Sulu buat bising dan seret isu ini ke merata mahkamah seperti yang berlaku sekarang.
Sebab dari dulu setiap kali mereka buat bising, kita hanya perlu tunjuk resit bayaran RM5,300 setahun dan tanya kembali;
“Dah bayar, nak bising apa lagi?”
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.