KELAZIMAN setiap tahun, ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina disambut meriah di Malaysia. Perayaan untuk kumpulan etnik kedua terbesar di Malaysia ini turut diraikan oleh kaum yang lain. Ia sudah dianggap sebahagian dari tradisi dan budaya Malaysia, malahan ada beberapa ciri Tahun Baharu Cina yang unik hanya di negara ini seperti tarian singa tiang tinggi atau berasal dari Malaysia seperti yee sang yang dicipta oleh datuk kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Tetapi kali ini sambutan Tahun Baharu Cina kita diuji dengan satu insiden yang berlaku di sebuah sekolah elit di Johor. Ketika ramai pelajar sekolah bercuti panjang perayaan, sekumpulan pelajar SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru menempuh bengkel SPM selama dua hari satu malam di sebuah hotel.
Apa yang menjadi pertikaian adalah, bengkel tersebut diadakan khusus untuk pelajar beragama Islam. Sedang pelajar bukan Islam disisihkan manakala ibu bapa pelajar bukan Islam tidak tahu menahu kewujudan bengkel SPM tersebut, melainkan khabar bahawa satu bengkel berkaitan keagamaan dianjurkan oleh penaja swasta.
Bengkel yang khabarnya berkaitan agama itu rupa-rupanya turut melibatkan modul untuk mata pelajaran lain seperti Kimia dan Matematik Tambahan. Hasil risikan lanjut ibu bapa yang prihatin, maka akhirnya diketahui bahawa ianya adalah sebuah bengkel persediaan untuk SPM yang khusus untuk pelajar beragama Islam sahaja.
Apa yang berlaku seterusnya menimbulkan perselisihan antara ibu bapa pelajar bukan Islam yang tersisih dan pihak pentadbir sekolah yang dilihat tidak berterus-terang dalam hal ini dan seakan mengamalkan sikap pilih kasih. Ibu bapa yang kecewa mengambil jalan untuk menularkan isu ini di media sosial sehingga mendapat perhatian pihak media.
Kementerian Pendidikan terpaksa ‘overtime’ dengan mengeluarkan kenyataan bahawa tiada diskriminasi atau pilih kasih dan bengkel yang serupa sedang dirancang untuk pelajar bukan Islam dalam minggu akan datang. Selanjutnya pihak kementerian memberikan penjelasan bahawa bengkel yang diadakan pada Tahun Baharu Cina hanya melibatkan pelajar beragama Islam kerana tidak mahu mengganggu sambutan perayaan pelajar berbangsa Cina.
Sayang sekali, penjelasan kementerian pendidikan itu dilihat meragukan. Timbul persoalan kenapa perlu diadakan bengkel SPM ketika waktu cuti perayaan dan tidak pada hujung minggu biasa yang lain? Apa yang lebih meragukan, kenapa pelajar bukan Islam yang berbangsa India yang tidak menyambut Tahun Baharu Cina tidak dilibatkan dalam bengkel sama seperti pelajar Islam berbangsa Melayu?
Kenyataan meragukan itu membuatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dihentam kiri dan kanan kerana dilihat cuba melindungi pihak tertentu dengan memberikan alasan yang tidak masuk akal.
Kenyataan oleh DYMM Sultan Johor dilihat lebih neutral dan tidak memihak sesiapa, sebaliknya memberikan amaran tegas bahawa apa-apa tindakan yang dilihat bersifat mendiskriminasi dan pilih kasih tidak akan dibiarkan berlarutan sehingga menjadi punca perpecahan Bangsa Johor (istilah muhibah yang digunakan Sultan Johor bagi merujuk kepada seluruh rakyat negerinya tanpa mengira latar kaum dan agama).
Dalam hal ini, Fadhlina Sidek mungkin perlu insaf dan mengambil iktibar dari DYMM Sultan Johor dalam memberikan kenyataan yang tidak berat sebelah tetapi sebaliknya mendukung aspirasi perpaduan negara.
Walau apa jua alasannya, sekolah bukan tempat untuk sebarang unsur diskriminasi atau pilih kasih dibiarkan berlaku. Ketegasan pihak menteri pendidikan dan kementerian pendidikan adalah perlu dalam menyampaikan mesej bahawa tiada tolak ansur terhadap sebarang unsur diskriminasi atau pilih kasih oleh pihak pentadbir sekolah.
Kita tidak mahu masyarakat merasa ragu terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Jika sebuah sekolah mubaligh seperti SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru tidak terlepas dari diskriminasi, maka apakah jaminan terhadap pelajar bukan Islam di sekolah kebangsaan atau menengah kebangsaan lain yang mungkin tiada perkataan ‘convent’ atau ‘methodist’ pada namanya? Adakah sekolah-sekolah ini akan menjadi sarang diskriminasi di mana sekelompok pelajar diberikan layanan istimewa kerana agama atau bangsanya berbanding kelompok pelajar yang lain?
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum tibanya Tahun Baharu Cina telah memperkenalkan gagasan Malaysia Madani beliau, sebuah konsep pembinaan negara yang akan mengangkat pemikiran dan kerohanian masyarakat merentasi kaum dan agama. Madani yang dibawa oleh Anwar adalah untuk sebuah Malaysia yang makmur dan bersaudara tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan.
Sekolahlah tempat terbaik di mana Malaysia Madani boleh dihidupkan bagi mendidik generasi masa depan tentang keharmonian pelbagai kaum di Malaysia.
Justeru, kita berharap tidak akan berulang lagi insiden yang sama seperti yang berlaku di SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru. Setiap pelajar sekolah, tanpa mengira warna kulit atau agamanya perlu dilayan secara saksama oleh para pendidik mereka.
Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.