Menolak Kerajaan Kleptokrasi-Pengkhianat

Selepas perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021, rakyat mengharapkan adanya pemimpin dan kerajaan baharu yang boleh membawa perubahan drastik bagi menguruskan pandemik dan ekonomi yang kian tidak menentu.

Pada awalnya, adalah beberapa mencadangkan penubuhan War Cabinet atau versi Malaysianya Kerajaan Perpaduan, yang dianggotai setiap wakil parti politik untuk menerajui negara sebelum penggal tamat. Sudah tentu idea ini tidak munasabah kerana parti politik di Malaysia masih berpaksikan zero-sum game (menang dapat semua, yang kalah tidak dapat apa).

Tanggal 20 Ogos, berbekalkan sokongan 114 orang ahli parlimen yang sama menubuhkan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Sri Ismail Sabri pula dipilih sebagai Perdana Menteri. Ironinya, puak UMNO yang sebelum ini menentang Muhyiddin kini begitu lunak dengan kerajaan warisan kegagalan Muhyiddin Yassin.

Tidak sampai beberapa hari mengangkat sumpah, timbul perbalahan antara parti-parti Melayu dalam PN untuk menentukan nama bagi kerajaan Ismail Sabri. Ada yang mendakwa ini kerajaan PN dan ada pula berkata ini kerajaan Barisan Nasional (BN). Persoalannya, siapakah yang sebenarnya menerajui kerajaan Ismail Sabri?

Kabinet Kleptokrasi-Pengkhianat?

Berdasarkan susunan kabinet yang baharu, ia merupakan kerajaan Ismail Sabri – Muhyiddin. Dari membuat rombakan kabinet, Ismail Sabri lebih rela mengekalkan saiz kabinet yang besar dengan lebih 80 peratus menteri daripada pentadbiran Muhyiddin. Ini bermaksud, Ismail Sabri masih dibayangi kegagalan Muhyiddin Yassin dalam membentuk kabinet demi ‘survival’ politik.

Dari sudut yang berbeza, kerajaan ini lebih jelas dilihat sebagai kerajaan “Kleptokrasi-Pengkhianat”. Kerajaan Ismail Sabri telah memberi ruang kepada beberapa ahli parlimen yang mempertahankan Kleptokrat sebelum ini untuk bernafas semula dalam politik negara. Beliau melantik bekas menteri di zaman Najib Razak seperti Noh Omar, Shahidan Kassim dan Mahadzir Khalid di dalam kabinet baharu.

Sedangkan kita tahu bahawa mereka ini didakwa mempunyai rekod buruk dan terpalit dengan beberapa kes mahkamah yang mampu menggugat kewibawaan kerajaan. Tetapi, integriti dan prestasi seseorang bukan menjadi sandaran kabinet Ismail, tetapi sekadar pertaruhan sokongan menjadi keutamaan untuk memastikan kabinet ini kekal dalam tempoh dua tahun lagi.

Sayangnya Ismail Sabri kepada Muhyiddin Yassin sehinggakan bekas Perdana Menteri yang sudah hilang kepercayaan parlimen itu dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Dikhabarkan juga ada dakwaan yang mengatakan Najib Razak pula akan diangkat sebagai penasihat ekonomi bertaraf menteri kepada Ismail Sabri dalam tempoh terdekat.

Ternyata kerajaan Ismail Sabri ini dibina berdasarkan sokongan Kleptokrasi dan kumpulan pengkhianat mandat rakyat. Segala jawatan dan MPN telah digunakan untuk mengembalikan pendukung Kleptokrasi, tetapi bukan untuk generasi masa hadapan. Faktanya, kerajaan ini masih terbuai dengan era romantis lama pentadbiran BN yang sukar menerima hakikat kekalahan mereka semasa pilihan raya lepas.

Oleh kerana sokongan puak Kleptokrasi dan Pengkhianat ini jugalah, Ismail Sabri didakwa meminggirkan kepentingan melakukan undi percaya sebagai bukti kerajaannya terbuka untuk menguji keabsahan di parlimen. Tindakan  ini sekali lagi membuktikan bahawa parlimen hanyalah institusi ‘rubber-stamp’ dan alat bagi pemerintah untuk berkuasa tanpa semangat demokrasi.

Kerajaan Kleptokrasi-Pengkhianat ini dilihat hanya mampu membuat pengumuman yang menggembirakan rakyat seperti pembukaan semula sektor, rentas negeri dan kejayaan kadar vaksinasi yang tinggi. Menjelang Belanjawan 2022 akan datang, tentunya gula-gula dan dasar populis akan menjadi sandaran kerajaan Kleptokrasi-Pengkhianat sebelum melangkah ke pilihan raya.

Apa yang pasti, dasar populis seperti ‘Cash is King’ mungkin menjadi sandaran kerajaan Ismail Sabri untuk menarik sokongan rakyat kepada BN atau PN. Tetapi, adakah mereka mampu mengatasi jurang kaya miskin yang kian melebar, limitasi sistem kesihatan dan pekerjaan anak muda yang terkesan teruk akibat pandemik?

Mampukah Mereka Bertahan?

Apakah mereka yakin peruntukan yang diberikan ini dapat diterjemahkan dalam undian untuk menang pilihan raya akan datang? Mungkin sebilangan, tetapi kebanyakannya tidak. Rakyat sudah pandai menilai, berapakah bantuan ‘one-off’ yang diberi kerajaan jika dibandingkan duit poket sendiri melalui pengeluaran KWSP yang digunakan untuk survive ketika pandemik.

Covid-19 sebenarnya telah mengubah pemikiran rakyat dalam menilai politik. Majoriti sudah sedar bahawa tidak ada maknanya mempunyai kerajaan yang besar tetapi dasar dibuat lemah. Tidak ada faedahnya bergantung kepada Perdana Menteri tetapi pasukan kabinetnya caca marba, seperti yang berlaku ke atas Muhyiddin dan Ismail Sabri.

Kelemahan ini sepatutnya digunakan pembangkang, khususnya Pakatan Harapan, untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka menawarkan tadbir urus dan idea lebih baik bagi mengatasi cabaran dihadapi negara serta bersedia menjadi kerajaan semula. Sebaliknya, ada beberapa pihak pembangkang sanggup bergaduh tentang isu bendera. Ada pula yang menyanjung sosok pemimpin Kleptokrasi BN untuk dijadikan menteri dan Speaker Dewan Rakyat. Ada pula yang sanggup menjatuhkan pemimpin sendiri ketika kerajaan kuat dan kukuh. Sandiwara seperti ini, jika tidak diuruskan dengan baik, maka bertahan lamalah kerajaan Kleptokrasi-Pengkhianat di Putrajaya.

PH sepatutnya lebih bijak menilai antara kaca dan permata. Kejujuran harus diutamakan dalam mendukung prinsip politik tetapi ia ada batasnya. Tidaklah kejujuran itu sehingga menilai yang dahulunya jahat dikatakan baik sehingga dibaham musuh di depan mata. Bak kata pepatah “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

Saya berharap agar rakyat sedar bahawa rasa bosan dan jemu terhadap perkembangan politik negara akan menggembirakan sang Kleptokrat dan Pengkhianat untuk terus memerintah negara tanpa mengetengahkan aspirasi yang dibawa rakyat.

Masa yang berbaki ini perlu dimanfaatkan rakyat bagi bertindak dan merencana agar Malaysia tidak lagi jatuh di tangan Kleptokrasi-Pengkhianat. Jika puak-puak PN dan BN mampu bersama-sama demi merebut kuasa, rakyat juga boleh mengumpulkan tenaga dan hasrat untuk memastikan puak-puak ini tidak menodai demokrasi dan kehidupan rakyat pada masa hadapan.

Komen